Total Pageviews

Wednesday, 3 October 2018

terapi semula jadi







Susun atur setiap tanaman bersama elemen hiasan lain pada setiap tema landskap juga membuatkan terbitnya rasa kagum penulis pada pengusaha Katsura Garden Centre ini.
Menurut pengurusnya, Lee Yoon Choon, 32, kepekaan terhadap cita rasa setiap peminat landskap di negara ini menjadi keutamaan di nurseri berkenaan.
“Sebut saja landskap, sudah tentu kita membayangkan suasana segar, tenang atau sesuatu yang boleh menjadi terapi semula jadi.
“Di atas kecenderungan itulah kami di Katsura Garden Centre berusaha sedaya upaya menampilkan kelainan panorama.
“Ia latar landskap yang semakin mendapat tempat di negara ini khususnya taman Jepun dan Bali apabila kebanyakan elemen hiasannya benar-benar asli serta tahan lasak dalam tempoh lama,” kata anak kelahiran Kulai, Johor itu.
Ditambah dengan cuaca panas yang melanda sejak kebelakangan ini, nurseri berkenaan mengambil pelbagai inisiatif supaya peminat landskap bersedia untuk berdepan situasi itu.
“Jika ada yang datang ke sini untuk memberi tanaman atau aksesori hiasan taman, kami turut memberikan panduan secara langsung berkenaan kesesuaian semua elemen itu.
“Sama ada ia sesuai atau sebaliknya dengan keadaan cuaca hari ini. Ia bagi mengelakkan kerugian apabila tanaman dan elemen landskap yang dibeli tidak sesuai dengan situasi sekarang.
“Latar landskap yang hambar dengan tanaman kurang segar dek kesan cuaca panas umpamanya membuatkan anda kurang berminat untuk menyerlahkan idea landskap seterusnya,” katanya.
Pengalaman menceburkan diri dalam bidang landskap sejak tamat bangku sekolah antara bonus buat anak muda ini berkongsi beberapa petua berdepan cuaca panas.
“Semua mungkin sudah maklum aspek penyiraman rutin pada setiap tanaman penting apatah lagi situasi sekarang.
“Bukan saja perlu tahu memilih tanaman jenis tahan panas atau lasak, mungkin anda boleh mengambil pendekatan meletakkan ia di kawasan tidak terlalu terdedah matahari,” katanya.
Pada masa sama Lee mencadangkan antara tanaman sesuai untuk cuaca panas adalah exora atau jejarum dan bunga kertas.
Mendapat tahu April adalah Bulan Seni Bina Landskap Sedunia, Katsura Garden Centre tidak terkecuali mengilhamkan idea penataan landskap sempurna.
“Sekurang-kurangnya setiap latar landskap yang ada di sini memberi panduan dan inspirasi buat anda menzahirkannya di kediaman atau pejabat.
“Dalam apa jua keadaan atau konsep taman, landskap seharusnya berperanan sebagai penyejuk mata atau terapi ketenangan,” katanya yang begitu mencintai dunia landskap itu.
Justeru lapangkan waktu anda mengunjungi Katsura Garden Centre yang terletak di Lot 18, Kawasan Landskap & Nursery Rezad, Jabatan Hutan Damansara, Petaling Jaya atau layari Facebook Katsura Garden Centre untuk sebarang keterangan lanjut.







.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.