Berhenti jadikan Malaysia tong sampah dunia
Zamri Rambli
25 Julai 2018 1:40 AM
Kuala
Langat bukanlah satu daerah asing buat penulis. Mempunyai beberapa sahabat
zaman belajar dan kenalan kerja yang tinggal di sana, penulis agak kerap juga
singgah ke Telok Panglima Garang beberapa tahun lalu.
Selepas keluar dari
Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), penulis perlu melalui Jalan
Klang-Banting menuju ke Telok Panglima Garang. Antara yang boleh ditemui di
sepanjang jalan tersebut sudah tentunya lambakan kilang perindustrian.
Apa tidaknya dengan
jarak hanya kurang 20 kilometer dari Pelabuhan Klang, kawasan Telok Panglima
Garang dan Jenjarom adalah destinasi strategik dari segi logistik untuk
perdagangan.
Namun, di sebalik
ratusan kilang perindustrian di Kuala Langat, siapa sangka kilang-kilang kitar
semula plastik turut menjejak operasi di sana.
Bagaimanapun sejak tahun
lalu, pertambahan jumlah kilang kitar semula plastik di Kuala Langat semakin
mencanak. Dianggarkan sehingga tahun ini sahaja terdapat hampir 40 buah kilang
kitar semula plastik di tanah Kuala Langat.
Peningkatan operasi
kilang tersebut tidak lain tidak bukan bertitik tolak daripada keputusan
kerajaan China pada 31 Disember 2017 yang mengharamkan pengimportan 24 jenis
sampah pepejal dunia termasuk plastik.
Keputusan itu
mengejutkan negara maju seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan
Australia. Bayangkan 87 peratus sampah plastik dari Kesatuan Eropah dihantar
ke China untuk dikitar semula dan dilupuskan.
Pendek kata, China
sebagai negara keempat terbesar di dunia dengan keluasan 9,596,960 kilometer
persegi (km persegi) sudah sekian lama menjadi tong sampah negara maju.
Persoalannya ke mana sampah-sampah
itu akan dibawa selepas ini?
Apa yang diramal dan
ditakuti oleh beberapa aktivis alam sekitar Asia Tenggara pada akhir tahun lalu
gara-gara keputusan China itu akhirnya benar-benar berlaku.
Negara-negara Asia
Tenggara menjadi sasaran baharu negara maju.
Bayangkan Malaysia
sebagai negara ke-69 terbesar dunia dengan keluasan cuma 329,750 km persegi
bersama negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia menjadi tong
sampah baharu dunia.
Tidak terkecuali negara
seperti Turki, India dan Taiwan turut sudi mengimport sampah dunia.
Laporan oleh Badan
Penyiaran Kanada mendedahkan ekoran keputusan China mengharamkan import sampah
itu, jumlah sampah yang dihantar ke Thailand meningkat sehingga 400 peratus
manakala di Malaysia sebanyak 207 peratus.
Bahkan Malaysia menjadi
pengimport terbesar sampah dari United Kingdom sejak awal tahun ini.
Persoalannya adakah
Malaysia mampu menangani longgokan sampah dunia?
Memang benar mengitar
semula bahan buangan adalah cara terbaik untuk menyelamatkan alam sekitar,
tetapi lonjakan bisnes itu akhirnya turut memunculkan lebih banyak masalah
pencemaran alam lain apabila ia tidak dikendalikan dengan baik.
Sewaktu kilang yang
beroperasi secara sah sudah tidak mampu menangani sampah dunia, maka
bercambahlah kilang-kilang kitar semula haram.
Dengan tahap
penguatkuasaan yang lemah dan tidak mustahil wujudnya penyelewengan,
tauke-tauke kilang yang datang dari China semakin bermaharajalela.
Mereka tanpa takut-takut
membuat pembakaran terbuka, melepaskan asap yang berbau busuk dan tengik dari
kilang, sesuka hati mengalirkan air sisa kitar semula ke dalam longkang serta
membiarkan longgokan sampah plastik di merata-rata tempat.
Penduduk Telok Panglima
Garang telah menanggung derita sejak beberapa bulan akibat pencemaran, malah
bukan sedikit yang mengadu berdepan masalah sesak nafas, batuk dan sukar tidur
gara-gara asap busuk kilang plastik.
Sudah tibanya masa
kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor mengambil langkah segera
menamatkan perbuatan menjadikan Kuala Langat sebagai pusat pelupusan sampah.
Jika negara sebesar
China sudah mengangkat bendera putih kerana menyedari bahaya terhadap alam
sekitar, persoalannya mengapa kita masih berdegil menerima sampah plastik
dunia? Berhentilah sebelum terlambat!
....
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.