Total Pageviews

Tuesday 2 October 2018

Fahami manfaat mudarat Ketum


Fahami manfaat mudarat Ketum





POLEMIK tentang ketum masih tidak mempunyai penghujung. Kesamaran men­cari jalan keluar akan membawa kepada kekeliruan dalam masyarakat. Kebimbangan timbul tentang ketum sama ada benar-benar bermanfaat atau menjadi racun berbahaya sekiranya tidak dipantau atau diregulasi.

Justeru, penyelidikan dan penjelasan oleh penyelidik atau pakar berkelayakan akan membuka mata dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum, daripada hanya mendengar retorik dalam media massa dan media sosial.

Beberapa isu yang kerap di­timbulkan ialah undang-undang berkenaan ketum yang telah diwartakan dan akan ditambah baik, penggunaan ketum kepada penagih dadah dan persoalan piawaian dos yang boleh membawa manfaat atau mudarat.

Apakah penggunaan ketum boleh memarakkan kebejatan sosial atau mampu menjadi penawar kepada banyak penyakit seperti yang didakwa seterusnya dapat memperbaiki status ekonomi masyarakat?

Undang-undang ketum di Malaysia adalah di bawah Akta Racun 1952. Ia boleh ditanam untuk kegunaan sendiri tetapi tidak boleh dikomersialkan. Cadangan untuk mewartakan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1952 perlu dinilai dengan terperinci agar kita tidak tercicir daripada mendapat manfaatnya atau tidak terjerumus dalam kemudaratan sosial.

Menurut Pensyarah Kanan/Penyelidik dari Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Rusdi Abdul Rashid dalam ceramah beliau bertajuk Ketum: Use or abuse? di Pusat Perubatan Universiti Malaya menjelaskan bahawa ketum cenderung kepada penggunaan bukan penyalahgunaan. Ketum adalah alternatif yang berpotensi untuk menggantikan methadone bagi rawatan ketagihan dadah jenis opiat. Methadone yang diimport dari Itali kini digunakan untuk merawat penagih dadah, menelan belanja agak tinggi serta mempunyai banyak kesan sampingan kepada kesihatan seksual lelaki dan menyebabkan mengantuk. Sedangkan ketum tidak menyebabkan kesan-kesan tersebut. Ketum juga boleh mengubati penagih dadah jenis ATS (Amphetamine-Type-Stimulants). Penemuan ini penting kerana belum ada rawatan untuk penagih ATS (syabu dan pil kuda) yang mana sehingga kini hanya rawatan kaunseling digunakan untuk mengekang masalah berkaitan penggunaannya.

Salah satu dapatan yang menarik menurut pemerhatian beliau selama melaksanakan kajian penggunaan ketum mendapati bahawa tiada pengguna ketum yang mempunyai masalah disebabkan penggunaan ketum.

Bagi penagih dadah, tujuan mereka menggunakan ketum adalah untuk menghilangkan ketagihan dadah jenis opiat dan pil kuda. Individu yang telah biasa mengambil ketum, dilihat tiada masalah untuk berfungsi dalam masyarakat kecuali penagih dadah (dalam masa yang sama mengambil ketum). Ini menunjukkan tiada kesan negatif hasil daripada penggunaan ketum dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, kajian dan penyelidikan lanjut tentang ketum perlu dilaksanakan untuk melihat sejauh mana kegunaan dan manfaatnya. Dos dan piawaian yang tepat dalam pengambilan ketum perlu dilihat sebagai salah satu aspek penting dalam menilai manfaat dan mudaratnya seperti mana pengambilan ubat-ubatan atau farmaseutikal lain. Walaupun ketum berkesan dalam merawat ketagihan dadah, dikhuatiri pengambilan yang tiada kawalan dan keterlaluan boleh memberikan kesan ketagihan.

Menurut perspektif Islam, mudarat (mafsadah) yang lebih besar perlu dielakkan berbanding manfaat. Walau bagaimanapun, pertimbangan sewajarnya perlu diharmonikan dan tidak hanya melihat dari satu sisi keburukan mahupun kebaikan.

Oleh itu, isu ketum ini perlu dilihat secara holistik dan tidak bersifat mengikat serta menghukum khususnya melibatkan pandangan, fatwa mahupun undang-undang di samping keperluan melaksanakan penyelidikan secara berterusan.

Sekiranya manfaat perubatan kepada masyarakat diambil kira, isu kawalan untuk mengelakkan penyalahgunaannya perlu dilaksanakan walaupun agak mencabar supaya tidak diambil kesempatan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Penyelidikan tentang potensi ketum perlu dilaksanakan secara lebih mendalam dan menyeluruh bukan sahaja untuk melihat kepentingan, kebaikan dan manfaat tetapi juga perlu meneliti keburukan dan kemudaratan daripada penggunaannya.

Memandangkan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) juga telah mengharamkan ketum, barangkali boleh dikaji keseimbangan kesan manfaat dan mudaratnya serta dinilai menerusi perspektif Islam demi menjaga kemaslahatan ummah sejagat. Bahkan perlu dinilai asas dan faktor yang menyebabkan FDA mengharamkannya.

Penyalahgunaan ketum perlu dibasmi tetapi impak kebaikan penggunaannya dalam pelbagai sudut perlu diberi perhatian sewajarnya agar masyarakat kita tidak terlepas memanfaatkan khazanah alam yang dianugerahkan oleh Allah SWT.


PENULIS dari Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)







..
.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.