Teknologi
fertigasi gantung
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my
Industri pertanian di negara kita kini kian selari dengan arus
teknologi dari semasa ke semasa. Wujudnya inovasi di dalam industri pertanian
mampu memacu ke arah kehidupan yang lestari.
Teknologi fertigasi gantung adalah satu revolusi dalam
perusahaan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memastikan kitaran tanaman
sentiasa berkualiti serta konsisten.
Kini, dengan teknologi yang dikembangkan Jabatan Pertanian (DOA)
mampu mengoptimumkan penggunaan tanah untuk industri berkenaan.
Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur),
Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Raub, Pahang Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata,
dulu sistem tanaman di atas tanah berbatas hanya terhad kepada kawasan dan
topografi yang sesuai.
“Kelebihan teknologi ini juga dapat meningkatkan pendapatan yang
baik disebabkan peningkatan hasil melalui penggunaan baja secara efisien,
konsisten dan jangka hayat ekonomik tanaman lebih lama.
“Risiko serangan penyakit daripada ‘soil borne’ dapat
dikurangkan kerana antara kelebihan utama sistem ini ialah kedudukan tanaman
tidak berada di atas tanah dan sistem pengudaraan yang lancar,” katanya yang
ditemui di PPD Raub, Pahang, baru-baru ini.
Mohd Ali Hanafiah berkata, konsep asas yang membezakan teknologi
ini dengan kaedah lain ialah pokok ditanam dalam beg semaian bermedia secara
tergantung berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong.
“Antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang
panjang, petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran
tanaman.
“Kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah dapat
mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga
perosak, penyakit serta kerja memungut hasil.
“Secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat
dikurangkan hingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa,”
katanya.
Menurutnya, hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding
biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10 hari
berbanding penanaman secara konvensional.
“Hasil dapat dipungut dengan mudah, cepat kerana kedudukan beg
semaian lebih tinggi dan jangka hayat tanaman lebih lama.
“Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani
apabila jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit
bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya
menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus,” katanya.
Menerangkan kaedah penggunaan teknologi ini, Mohd Ali berkata,
sistem para dipasang dengan kukuh untuk menggantung beg semaian dan sistem
pengairan menggunakan PE tubing.
“Setiap beg semaian yang diisi media tanaman akan digantung
menggunakan kawat duri dan semai benih tanaman di dalam dulang semaian dengan
media peat moss.
“Anak benih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang
disediakan,” katanya.
Menurutnya, baja larutan fertigasi (baja fertigasi set A+B)
dipam masuk melalui PE tubing yang dipasang bersambungan antara beg semaian dan
mempunyai ‘nipper’ pada setiap pokok.
“Kekerapan pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang
disyorkan dan bergantung kepada cuaca semasa. Kebiasaannya pembajaan dibuat
tiga hingga enam kali sehari dan diulangi dengan air selepas dua hingga tiga
jam pembajaan dibuat.
“Penggunaan baja organik seperti asid amino dan plant booster
mampu meningkatkan kualiti tanaman dan pulangan hasil,” katanya.
Mohd Ali Hanafiah berkata, tunas yang baru keluar perlu dididik
untuk menjalar di atas para dawai yang disediakan. Penuaian mudah dijalankan
kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutip .
“Potensi
bagi satu beg semaian untuk tanaman timun boleh mencecah tujuh hingga 10
kilogram (kg) semusim,” katanya.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.