Total Pageviews

Wednesday 3 October 2018

Ganda Koloni Kelulut semulajadi




Penggandaan Koloni cara semulajadi



Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my





Terdapat dua spesies utama lebah kelulut iaitu Heterotrigona itama (H. itama) dan Geniotrigona thoracica (G. thoracica) yang diternak secara komersial di negara ini untuk tujuan madu, propolis serta roti lebah.

Lebih 90 peratus daripada usahawan di Malaysia menumpukan kepada spesies H. itama kerana ia lebih mudah dikendalikan.

Habitat asal lebah kelulut adalah di dalam batang pokok di hutan. Pokok yang menjadi tumpuan lebah ini termasuk akasia, rambutan, sitrus, lemon, keruing dan belimbing.

Industri lebah kelulut mempunyai potensi yang memberangsangkan. Sekiranya skala penternakan bagi setiap usahawan sebanyak 100 koloni, ia bakal menghasilkan purata 80 kilogram (kg) madu sebulan dengan harga sekitar RM150 hingga RM200 sekilogram.

Justeru, Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Serdang, Selangor, berjaya menghasilkan empat kotak pemeliharaan Sarang Kelulut Modular (SKM) dalam pelbagai aktiviti penggandaan koloni terutama spesies H. Itama.

Pengarahnya, Aziz Mat Ali berkata, objektif inovasi yang dilaksanakan untuk mereka bentuk satu sistem sarang buatan untuk penggandaan koloni kelulut menggunakan kekotak kayu mudah alih, ringan dan mudah dibuka.

Beliau berkata, kaedah itu digunakan dalam menternak kelulut secara ‘standard hive,’ menjalankan pemilihan koloni bermutu, melaksanakan pembiakan dan pembentukan koloni yang sistematik.

“Konsep SKM ini dapat membina ‘standard hive’ yang mudah digunakan pada setiap aktiviti pembiakan koloni.

“Ia komponen yang boleh diubah suai, mudah dibawa menggunakan barang yang mudah didapati dan boleh digunakan untuk pembiakan dan pengeluaran madu.

“Empat SKM yang dikeluarkan membabitkan kaedah mengumpan (baiting), jambatan (bridging), pengasingan (splitting) dan penggandaan (duplicating),” katanya selepas sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian 2017 di Institut Pertanian Serdang, baru-baru ini.

Aziz berkata, kaedah mengumpan digunakan ketika terdapat koloni kelulut yang berdekatan dan kotak SKM ini akan diletakkan berhampiran untuk menarik koloni kelulut masuk ke sarang baru.

“Kaedah jambatan pula digunakan apabila terdapat koloni sedia ada di pokok, tiang, dinding dan lain-lain untuk dipindahkan sementara kaedah pengasingan digunakan ketika terdapat log kelulut yang rosak dan perlu dipindahkan ke sarang baru.

“Kaedah penggandaan digunakan apabila SKM yang matang dipilih untuk digandakan koloni,” katanya.

Katanya, kaedah pemindahan koloni sedia ada menyebabkan koloni akan menjadi lemah (kadar berjaya 25 peratus), mengambil masa lama, memerlukan tenaga kerja yang ramai serta memerlukan kepakaran tinggi.

Inovasi ini memenangi Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian (Kategori Pegawai) Pingat Emas membabitkan ahli kumpulannya iaitu Penolong Pengarah Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Mohamad Razi Mad Amin; Pembantu Penolong Pegawai, Mohd Shahrel Kamarul Bahrain; Penolong Pegawai Pertanian, Tukimin Musa; Penolong Pegawai Pertanian, Mat Seman Zakaria dan Penolong Pegawai Pertanian, Mohd Farhan Mohd Ali.





.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.