Total Pageviews

Tuesday 2 October 2018

Kedah paling awal tenggelam

Kedah dijangka paling awal tenggelam



KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kira-kira 18 peratus daripada permukaan bumi Ma­laysia berkemungkinan tenggelam dalam tempoh 84 ta­hun lagi ekoran fenomena pe­ningkatan paras laut.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian saintifik antarabangsa yang dibuat oleh sekumpulan pakar mendapati sebahagian besar kepulauan Asia Pasifik termasuk Malaysia akan tenggelam menjelang 2100.

“Berdasarkan keadaan bentuk muka bumi yang rendah, Kedah dikenal pasti sebagai antara lokasi yang mempunyai risiko tinggi untuk tenggelam.

“Selain Kedah, kebanyakan kawasan pesisiran pantai turut berdepan dengan masalah itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembangunan Hu­tan Mampan Mengenai Perubahan Iklim (SFDCC) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setia­usaha Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Azizan Ahmad; Timbalan Naib Canselor bahagian Akademik dan Antarabangsa, UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin; Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Seri Dr. Abd. Rahman Abd. Rahim dan Ketua Pengarah Ins­titut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kajian menunjukkan peningkatan karbon dioksida (CO2) sebanyak 450 bahagian dalam setiap sejuta (ppm) sudah memadai untuk mencairkan ais di kawasan Kutub Utara.

“Melihat kepada keadaan sekarang, pemanasan global boleh mencecah kira-kira 560ppm menjelang tahun 2100. Keadaan ini mampu meningkatkan paras air laut kira-kira 25 meter,” katanya.

Selain pembebasan CO2, kecairan ais yang berlaku katanya, adalah berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh pembuangan sisa industri yang tidak dikawal dan pertambahan penduduk manusia.

Beliau berkata, langkah terbaik untuk memperlahankan pen­cairan ais ialah dengan menge­hadkan aktiviti yang menyebabkan pemanasan global.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kegagalan Malaysia untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Konven­syen Rangka Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perubahan Iklim (UNFCCC) juga akan menyaksikan negara berdepan dengan masalah-masalah lain seperti kesukaran untuk meramalkan perubahan iklim termasuk pe­ningkatan suhu, ribut taufan, hujan dan sebagainya.

“Kajian-kajian berkaitan de­ngan perubahan iklim serta strategik perlu dipertingkatkan lagi untuk memastikan bekalan hutan yang mampan dan fung­sinya tidak terjejas agar dapat di­manfaatkan kepada ge­nerasi akan datang,” ujarnya.



.





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.