Nurul
Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my
Deretan bekas plastik memenuhi sisi kiri kediaman dua tingkat
milik Abdul Karim Sainuddin dan isterinya, Mawati Sholinah Ahmad Nurihi di
Taman Batu Caves berjaya mencuri perhatian penulis untuk mengintai
kandungannya.
Bekas plastik jenis gentian kaca bersaiz besar digunakan sebagai
kolam kecil bagi ternakan tiga spesies ikan iaitu tilapia, siakap hibrid dan
juga baka dari Australia. Sementara bekas plastik kecil digunakan bagi tujuan
penanaman sayur-sayuran.
Bagi mereka yang tidak asing dengan kaedah hidroponik, taman
mini diusahakan Karim bersama isterinya itu ialah satu lagi peningkatan tahap
dalam kaedah penanaman yang sesuai dilakukan bagi pemilik kediaman di bandar
iaitu akuaponik.
Akuaponik ialah kombinasi antara ternakan ikan bersama tanaman
menggunakan medium air. Kedua-dua ini mengaplikasikan sistem simbosis iaitu
ikan dan tumbuhan saling bergantung untuk terus hidup. Tanaman menggunakan sisa
buangan ikan sebagai baja bagi tanaman manakala tanaman pula bertindak sebagai
penapis semula jadi membersihkan air.
Malah taman akuaponik Karim ini mampu menampung bekalan
sayur-sayuran dan juga ikan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tanaman lain
dimulakan. Selain dapat memberi pemandangan malar hijau untuk ruang kediaman,
ia berfungsi sebagai sumber makanan organik untuk keluarganya.
Bagi Karim, dia mula mengenali akuaponik berkenaan menerusi
Facebook (FB) dan sejak itu dia belajar mengenainya menerusi laman sosial itu
dan medium lain seperti YouTube.
“Sebenarnya saya bermula sejak Jun 2016 lagi apabila bertemu
penanam akuaponik dari Bangi dan penerangan yang beliau berikan menarik
perhatian saya. Sejak itu saya sering bertanya menerusi mesej FB dan
sehinggalah ke kediaman beliau untuk melihat projeknya.
“Lama-kelamaan saya mulalah membeli peralatan asas termasuk
medium utama sistem ini iaitu ‘leka’ atau tanah liat dibakar, tanaman serta
barang lain seperti paip, pam udara dan air membolehkan saya menyiapkan projek
pertama.
“Ketika itu ikan yang saya bela hanyalah ikan keli dan memilih
untuk menanam kacang panjang, bayam dan timun. Lepas dua bulan saya lihat
tumbuhan makin subur sehinggalah sedia dipetik kemudian ikan keli sudah boleh
dituai enam bulan kemudiannya. Perasaan seronok mula timbul dan sehinggalah
hari ini saya sudah ada dua tiga projek termasuk tangki paling besar yang mampu
memuatkan sehingga lebih 100 ikan.
“Projek pertama saya terpaksa keluarkan bajet RM900 hingga ke
RM1,000 bagi membeli barang termasuk bekas gentian kaca kerana ia tahan lasak.
Selain itu kos yang tinggi untuk membeli ‘leka’ kerana untuk pek satu kilogram
berharga RM80.
“Disebabkan pasu pertama saya bersaiz besar, saya menggunakan
enam pek bagi dua bekas tanaman. Sebenarnya untuk pasu besar seperti saiz
berkenaan sesuai untuk sayuran berbuah seperti terung, timun mahupun tomato.
“Apabila sudah mahir dengan kaedah ini, saya buat projek lebih
besar di balkoni tingkat atas dengan kos mencecah RM3,000 yang mempunyai lebih
50 jenis tanaman serta sayuran untuk isi rumah. Penggunaan ‘leka’ juga kurang
kerana saiz pasu lebih kecil untuk tanaman sayuran berdaun,” katanya kini
membangunkan projek akuaponik menegak.
Turut berkongsi ilmu dan pengalaman dengan rakan komuniti
akuaponik Malaysia lain, kata Karim, dia teruja apabila ada antara kenalan
bertindak menempah sistem akuaponiknya.
“Paling jauh pernah saya pergi ialah ke Terengganu atas
permintaan kenalan meminta agar saya siapkan sistem akuaponik di kediamannya.
Biasanya caj sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bergantung pada keluasan kediaman
dan saiz projek.
“Pengurusan tidak sukar asalkan air, pam dan juga medium tanaman
dalam keadaan baik. Selain itu boleh juga letakkan penapis tambahan untuk air
ikan supaya kualiti air jernih,” katanya.
Sementara itu isterinya lebih mesra dikenali dengan Atie berkata,
hobi taman akuaponik dilakukan suaminya itu banyak memberi manfaat meskipun
pada awalnya memerlukan pelaburan besar.
“Saya turut membantu kerja menanam kerana ia mudah. Hendak jaga
juga tidak sukar kerana air sedia ada mengalir dan membekalkan nutrien untuk
tumbuhan serta tiada penggunaan racun. Jadi kaedah ini jauh lebih selamat dan
menawarkan sumber makanan sihat untuk keluarga.
“Malah bagi saya dan keluarga, waktu lapang kami juga terisi dan
gembira apabila dapat lihat hasil tanaman. Impak lain ialah kami sekeluarga
rasa tenang melihat ikan dan pokok tersusun cantik di ruang terbuka,” katanya.
.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.