Air beracun
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang penternak lembu kerugian RM42,000 apabila 14 haiwan
peliharaannya itu mati dipercayai minum air yang dicemari racun dalam kejadian
di kebun limau Kampung Kubang Ulu, Penanti, di sini, kelmarin.
Kejadian itu hanya disedari pemilik haiwan terbabit yang berusia 34 tahun
kira-kira jam 4 petang selepas dia dimaklumkan ahli keluarganya berhubung
kejadian berkenaan.
Difahamkan, pemilik lembu itu sudah mengusahakan ternakan itu sejak hampir
20 tahun lalu dan dia adalah pembekal utama daging lembu di daerah Penanti.
Dua jam sebelum kejadian, dia melepaskan 22 lembu peliharaannya untuk
meragut rumput dalam ladang kelapa sawit berhampiran.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila diberitahu ahli keluarga, beberapa ekor
lembunya dilihat sudah mati dengan keadaan perut kembung selain mulut berbuih
serta mengeluarkan najis dipenuhi darah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor
berkata, pemilik lembu terbabit ada membuat laporan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian, lelaki itu mendapati enam
lembu peliharaannya mati, manakala lapan lagi dalam keadaan tidak bermaya.
“Pemilik haiwan terbabit kemudian mengambil keputusan menyembelih lapan
lembu yang masih bernyawa itu kerana tidak mahu melihat haiwan terbabit dalam
keadaan terseksa.
“Setakat ini, kita menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian
berkenaan dan tidak menolak kemungkinan semua haiwan itu mati akibat minum air
yang dicemari racun,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan awal juga mendapati ada air yang ditinggalkan dalam
bekas tong cat di tempat kejadian, namun pihaknya masih menjalakan siasatan
lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 429,
Kanun Keseksaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3
April 2016 @ 5:29 AM
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.