Total Pageviews

Tuesday, 2 October 2018

Singapura Tolak Sayur Malaysia



Singapura larang masuk ratusan lori bawa sayur, buah dari Malaysia








JOHOR BAHRU 21 April - Kekecohan berlaku di sepanjang Tambak Johor hari ini apabila beratus-ratus lori membawa puluhan ribu bakul sayur-sayuran dan buah-buahan dilarang masuk ke Singapura berikutan kebimbangan wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) di republik itu.

Dianggarkan 10,000 bakul yang diangkut oleh kira-kira 200 buah lori sepatutnya dihantar ke Pusat Jualan Borong Pasir Panjang (PPWC), Singapura telah diarah berpatah balik oleh pihak berkuasa di pusat pemeriksaan Woodlands.

Malah, lebih memeritkan keadaan, pemandu dan pekerja lori yang dibenarkan masuk terpaksa melalui pemeriksaan SARS yang ketat termasuk mengambil suhu badan dan mengisytiharkan kesihatan masing-masing.

Tindakan itu dibuat kerana pasar borong berkenaan diarah tutup selama 10 hari setelah wabak tersebut dikatakan menjangkiti pekerja di situ.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kekecohan akibat kesesakan di Tambak Johor bermula dari pukul 1 pagi hari ini apabila lori-lori dari Cameron Highlands tidak dibenarkan memasuki pusat pemeriksaan Woodlands.

Menurut Timbalan Pengarah Kastam Johor, Roslan Yusof, pihak berkuasa di pusat pemeriksaan Singapura di Woodlands telah menghalang kemasukan lori-lori sayur dari Malaysia.

``Saya dimaklumkan lori sayur dari Malaysia tidak boleh masuk ke Singapura disebabkan oleh SARS.

``Pihak kami tidak menerima sebarang makluman daripada pihak berkuasa Singapura mengenai sekatan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Singapura merupakan negara keempat terbesar di dunia dijangkiti SARS dengan setakat ini 178 kes yang disahkan dan 14 kematian termasuk seorang pekerja dari pasar borong di Pasir Panjang itu.

Singapura mengimport sejumlah 359,350 tan sayur-sayuran bernilai kira-kira RM600 juta tahun lalu, dengan 45 peratus daripadanya datang dari Malaysia.

Pada masa yang sama, 70 peratus daripada jumlah import sayur-sayuran Singapura dikendalikan di pasar borong Pasir Panjang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peladang-peladang Sayur Malaysia, Tan So Tiok berkata, fenomena itu jika berpanjangan akan menjejaskan ahli-ahlinya.

Kata beliau, pihaknya telah dimaklumkan tentang penutupan pasar borong itu selama tiga hari sahaja tetapi tidak menjangka ia ditutup selama 10 hari lagi.

Beliau berkata lagi, pihaknya tidak mempunyai masa yang panjang untuk memberitahu kesemua ahlinya mengenai penutupan pasar borong Pusat Borong Pasir Panjang menyebabkan berlaku kesesakan pada hari ini.

``Kami berharap selepas 10 hari situasi itu akan kembali normal atau kami akan menghadapi masalah yang lebih besar lagi,'' katanya.

Seorang pengusaha sayur dari Kulai yang enggan dikenali berkata, pihak berkuasa di pusat pemeriksaan di Woodlands, Singapura telah menghalang lori-lori membawa sayur dari Malaysia memasuki Singapura.

Katanya, bekalan sayur yang ingin dibawa adalah untuk dihantar ke Singapura dan jika berterusan, beliau dan peniaga-peniaga lain akan mengalami kerugian.

``Kerugian boleh mencapai RM5 juta sekiranya sayur-sayuran ini tidak boleh dibawa masuk ke Singapura jika pasar itu (Pusat Borong Pasir Panjang) ditutup selama 10 hari,'' katanya di sini hari ini.

Sementara itu menurut akhbar The Straits Times yang memetik Menteri Kesihatan Singapura Lim Hng Kiang berkata, tindakan menutup pasar borong itu adalah untuk `memutuskan rantaian jangkitan dan mencegah SARS dari merebak'.

Ini berikutan kejadian beberapa penjual sayur di pasar raya borong itu yang menghidapi SARS.

Ekoran penutupan itu, kesemua 2,400 pemilik gerai dan pekerja di pasar borong tersebut telah dikuarantin di rumah selama 10 hari.

Penutupan itu juga bermakna ke semua bekalan sayur dari Malaysia yang dirancang dihantar ke pusat tersebut tidak akan dibenarkan memasuki Singapura.

Dianggarkan sekitar 200 buah lori menghantar bekalan sayur ke pasar itu sehari, namun bekalan sayur dari Malaysia masih boleh memasuki negara itu menerusi saluran lain.

Malah, Menteri Pembangunan Kebangsaan republik itu, Mah Bow Tan menurut akhbar itu telah memaklumkan kepada Menteri Pertanian Malaysia, Datuk Mohd. Effendi Norwawi mengenai penutupan pasar borong tersebut.

``Saya juga meyakinkan Mohd. Effendi bahawa sayur-sayuran dari Malaysia adalah selamat dan kami akan melakukan yang terbaik untuk meningkatkan bekalan sayuran dari Malaysia menerusi pasar raya,'' katanya.

Menteri itu juga berkata langkah untuk menampung bekalan, termasuklah menambah import dari Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Hng Kiang pula berkata, pasar raya yang membawa masuk sayur-sayuran secara berasingan dan menerusi pengedar mereka sendiri, akan membawa lebih banyak sayur-sayuran.

Singapura kata beliau, akan menambahkan import sayur-sayuran dari lain-lain negara selain Malaysia bagi memastikan bekalan sayur untuk penduduk republik itu tidak terjejas berikutan penutupan pusat borong tersebut.








.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.