perpustakaan kayu
Xylarium FRIM – perpustakaan kayu terbesar, tertua di
M’sia
31 Mei 2018 (Khamis) – Xylarium
Kepong (KEPw) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang
ditubuhkan pada 1918 dengan 10,201 koleksi spesimen kayu telah mendapat
pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) pada 2012 sebagai xylarium yang
mempunyai koleksi kayu terbesar dan tertua di Malaysia.
Seumpama perpustakaan untuk
koleksi buku dan herbarium untuk koleksi spesimen tumbuhan, xylarium merupakan
pusat koleksi spesimen kayu. Koleksi-koleksi kayu yang telah ditentusahkan
(authenticated sample) ini juga sesuai untuk dijadikan bahan kajian.
Koleksi kayu tertua di KEPw telah
berusia 113-118 tahun. Sejak penubuhan pada 1918, KEPw memainkan peranan
penting dalam pengecaman kayu dan klasifikasi kayu komersil. Pada 1925,
pengambilan kayu didokumentasikan secara sistematik dan diklasifikasikan secara
berasingan mengikut negeri-negeri asal dalam negara manakala kayu-kayu luar
negara diperolehi secara pertukaran. Koleksi sampel kayu dari Sabah dan Sarawak
bermula pada 1963.
Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd
Latif Mohmod berkata, “Spesimen kayu amat berguna sebagai bahan rujukan dalam
perkhidmatan pengecaman kayu yang disediakan oleh FRIM untuk pelanggan dari
dalam dan luar negara, termasuk pihak industri, pihak berkuasa dan
perseorangan.”
Pihak industri seperti kontraktor
dan perseorangan memerlukan perkhidmatan tersebut bagi pengesahan bahan binaan
serta memastikan jenis kayu yang betul dan bertepatan dengan harga daripada
pembekal. Agensi-agensi kerajaan pula memerlukan perkhidmatan ini dalam
menangani isu-isu seperti eksport spesies terpelihara (Jabatan Kastam Diraja
Malaysia); pembalakan haram (jabatan perhutanan); kesesuaian spesies kayu dalam
pembinaan (Jabatan Kerja Raya); dan penipuan penjualan bahan kayu (polis).
Sesetengah spesimen kayu dikutip
bersama spesimen baucer yang disimpan di Herbarium FRIM. Ini adalah penting
dalam kajian taksonomi tumbuhan kerana dapat melakukan rujukan silang (cross
reference), tatanama spesimen juga dapat dikemaskini jika taksonomi tumbuhan
berubah.
Baru-baru ini, Ketua Makmal
Anatomi Kayu (WAL) FRIM, Dr Nordahlia Abdullah Siam telah membangunkan aplikasi
MyWood-ID dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Aplikasi
pengecaman kayu menggunakan telefon pintar ini dapat mengecam 100 jenis kayu
tempatan dengan cepat, tepat, melibatkan kos yang rendah serta mesra pengguna.
Inovasi tersebut juga memenangi pingat emas di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan
Teknologi Antarabangsa 2018 (ITEX’18), yang diadakan pada 10-12 Mei lalu di
Kuala Lumpur.
.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.