Total Pageviews

Tuesday 2 October 2018

Ubi Kayu Ganti Plastik




Ubi Kayu Ganti Plastik  


Kanji ubi gajah hasilkan plastik






Banyak gesaan supaya cawan dan mangkuk makanan atau seumpamanya yang diperbuat daripada polisterin tidak digunakan lagi dalam sajian makanan kerana bimbang boleh membahayakan kesihatan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya cawan dan mangkuk makanan atau seumpamanya yang diperbuat daripada polisterin tidak digunakan lagi dalam sebarang majlis baginda kerana bimbang boleh membahayakan kesihatan.
Baginda juga berharap jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah akan menghentikan penggunaan produk tersebut.
Pada 24 Julai lalu ketika bertitah melancarkan Kempen Kesedaran Kesihatan di Istana Arau, Raja Muda Perlis mencadangkan barangan plastik mudah urai atau terbiodegradasi dan kertas yang mudah dilupuskan digunakan segera.
Negara maju tidak menggunakan polisterin sebaliknya menjadikan kertas sebagai pembalut bahan makanan.
Hasil penyelidikan menunjukkan sterin dan benzin dalam produk polisterin mendatangkan kesan penyakit melibatkan rasa berdebar dan mencemarkan alam.
Begitu juga kesan amalan penggunaan beg plastik pada masa kini untuk membungkus atau membalut makanan.
Beg plastik konvensional yang berasaskan bahan petroleum tidak mudah mereput apabila ditanam di dalam tanah dan akan menyebabkan masalah kepada alam sekitar.
Akibatnya ia boleh mencemarkan alam sekitar termasuk saliran air, merosakkan tanaman dan kehidupan haiwan.
Jika dilupuskan, produk plastik mengandungi bahan beracun.
Sebaliknya produk bioplastik atau plastik terbiodegradasi (mereput) apabila dilupuskan akan bertindak balas cepat kesan aktiviti bakteria dalam tanah dan bertukar bentuk menjadi unsur bahan karbon secara kitaran semula jadi.
Oleh itu penggunaan produk plastik terbiodegradasi yang mudah dilupuskan bersama sampah merupakan penyelesaian kepada masalah pencemaran plastik konvensional yang sukar untuk dilupuskan..
"Teknologi moden telah menemukan kita dengan resin bioplastik daripada kanji jagung, ubi kentang dan ubi gajah. Bahan-bahan asas ini mudah hancur di dalam tanah," kata Pengarah Urusan Indochine Bio Plastiques (ICBP) Sdn. Bhd. Amir Abul Hasan Ashari.
Beliau yang telah menubuhkan syarikat ICBP memberitahu, lebih 10 tahun lalu resin bio untuk pembuatan bioplastik adalah berasaskan daripada jagung dan ubi kentang.
Kanji daripada jagung dan ubi kentang itu telah menimbulkan tanggapan 'makanan untuk plastik' dan perdebatan hebat turut ditimbulkan kerana kedua-dua tanaman itu daripada sumber tanaman yang telah diubah suai genetiknya, beracun, berbahaya kepada persekitaran dan bermusim.
''Pada masa kini kebanyakan pengeluar resin bio untuk produk bioplastik di dunia menggunakan kanji daripada jagung dan ubi kentang. Keadaan ini memberi kelebihan kepada pengeluaran resin bio daripada kilang ICBP di Malaysia," jelas Amir.
Resin bio ICBP mesra alam sekitar. Faedah untuk alam sekitar dengan mengurangkan kesan karbon hasil penggunaan bioplastik mendorong kerajaan Malaysia menyediakan insentif dan undang-undang yang mempercepatkan penerimaan bioplastik.
"Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-15 di Copenhagen, Denmark pada Disember 2009, Malaysia komited dan sedaya upaya menangani perubahan cuaca.
"Ini termasuk menerima secara sukarela mengurangkan karbon dioksida sehingga 40 peratus menjelang 2020 berbanding dengan cadangan awal pada 2005.
"ICBP sealiran dengan inisiatif yang diambil oleh Perdana Menteri terhadap kesan korbon dioksida apabila syarikat ini diberi Sijil Teknologi Hijau daripada Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air," kata Amir.
Sijil yang dianugerah pada Julai 2010 itu di bawah Skim Kewangan Teknologi Hijau yang mengiktiraf ICBP dalam usaha menggalakkan projek hijau di negara ini melalui pengurangan CO2 dan kesan gas rumah hijau.
Harga atau kos pengeluaran bioplastik terbiodegradasikan bukan satu halangan jika dipertimbangkan kesan 'positif' terhadap alam.
Jadi kerajaan perlu galak dan bantu pengilang tempatan untuk membuat produk plastik terbiodegradasikan daripada kanji dan bahan yang bersesuaian.





.




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.