Total Pageviews

Tuesday 11 December 2018

Pesawat tertinggal jantung manusia



Pesawat patah balik kerana tertinggal jantung manusia





CHICAGO: Pesawat milik syarikat penerbangan Southwest Airlines yang dalam perjalanan dari Seattle ke Dallas terpaksa berpatah balik, selepas mendapati bekas mengandungi jantung manusia, tertinggal di dalam kapal terbang itu.
Kehadiran bekas mengandungi organ itu hanya disedari ketika pesawat sudah berada di timur Idaho, iaitu kira-kira 950 kilometer dari Seattle.
“Sebaik sahaja kami menyedari kesilapan sudah berlaku, kami segera berpatah balik ke Seattle,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu, Dan Landson kepada AFP.
Jantung manusia bagi tujuan pembedahan pemindahan organ itu dikatakan diperoleh dari California sebelum diterbangkan ke Seattle menggunakan penerbangan itu.
Bagaimanapun, Southwest Airlines tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai nama syarikat yang menghantar organ itu atau mengesahkan maklumat lain mengenai insiden berkenaan.
Namun, Seattle Times dalam laporannya berkata, juruterbang memaklumkan penumpang pesawat bahawa kargo terbabit adalah jantung manusia.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 12:36 pm





.

Klinik gigi sebabkan kematian


Klinik gigi didenda RM320,000 sebabkan kematian

-







KUALA LUMPUR: Pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd, didenda RM320,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas 5 pertuduhan berhubung kematian menantu bekas timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika menjalani rawatan gigi di situ.
Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin membuat keputusan itu ke atas pusat tersebut yang diwakili ahli lembaga pengarah syarikat itu Dr Alice Wong Yen Lin, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.
“Mahkamah mengambil kira faktor-faktor yang selaras dengan peruntukan undang-undang supaya menjadi pengajaran dan teladan kepada semua pengamal perubatan dengan mematuhi standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya sebelum menjatuhkan hukuman.
Mahkamah turut membenarkan hukuman denda itu dibayar secara berperingkat iaitu RM25,000 hari ini manakala bakinya RM295,000 dibayar bermula 21 Jan 2019 hingga 28 Jun 2019 dan OKS juga diperintahkan membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda itu bagi pertuduhan ke-2, ke-3, ke-6, ke-7 dan ke-8 yang dihadapi pusat pakar pergigian itu.
Bagi pertuduhan ke-2 dan ke-3, OKS sebagai pemegang lesen didakwa gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi, 26, berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (ortopantomogram) terhadap Syed Alman Zain dan pusat tersebut sebagai pemegang lesen juga didapati gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu “Daftar Kakitangan”.
Pertuduhan ke-6 pula, OKS dituduh gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan oksigen.
Bagi pertuduhan ke-7, pusat itu didakwa gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menerima pemindahan kecemasan pesakit iaitu Syed Alman Zain satu salinan semua rekod perubatan pesakit seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 31(1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Di bawah pertuduhan ke-8, OKS didakwa gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 49(5) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.
Pada 5 April lepas, mahkamah memerintahkan pusat itu membela diri atas 5 pertuduhan tersebut manakala selebihnya iaitu pertuduhan pertama, ke-4, ke-5 dan ke-9, pusat itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di pusat pergigian itu yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000 dan di bawah Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kedahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara 3 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kes ini melibatkan nyawa dan menjadi tumpuan masyarakat.
“Walaupun pertama kali dituduh tetapi klinik ini berhadapan dengan 5 pertuduhan. Ekoran sikap sambil lewa yang dilakukan klinik ini menyebabkan nama buruk kepada institusi klinik pergigian yang lain,” katanya.
Bagaimanapun, pusat pakar pergigian itu yang diwakili peguam P Sreekant merayu hukuman denda minimum atas alasan klinik tersebut banyak membuat penambahbaikan selepas kejadian itu.
Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2017, seramai 13 saksi pendakwaan dan 2 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Syed Alman Zain, suami kepada Datuk Nurulhidayah, anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.



.
.

Empat lelaki belasah Muhammad Adib dibebas



Empat lelaki disyaki belasah Muhammad Adib dibebas dengan jaminan






PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan empat suspek yang disyaki membelasah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, di pekarangan kuil Maha Mariamman , USJ, Subang Jaya, dibebaskan. 

Majistret Nurshahirah Abd. Salim membenarkan dua daripadanya dibebaskan dengan bon mahkamah berjumlah RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua suspek diwakili peguam R. Sritheren. 

Semua suspek berusia lingkungan 21 hingga 24 direman bermula Jumaat lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. 

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang merupakan anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya patah tulang rusuk selepas dipercayai dibelasah kumpulan perusuh di pekarangan Kuil Maha Mariamman, USJ, Subang Jaya. 

Dalam perkembangan sama, seorang lagi lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di kuil berkenaan. 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd. Ikhwan Mohd. Nasir terhadap lelaki itu tadi. Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).




.

Pemergian Adib ditangisi ramai



Pemergian Adib ditangisi ramai




PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Melalui laman Twitter rasminya, @chedetofficial, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahiwa innailaihi rajiun.. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib atas pemergian beliau,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga turut berkongsi kesedihan melalui laman Twitternya, @drwanazizah.

“Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Saya cukup hiba mendengar pemergian saudara Muhammad Adib. Takziah diucapkan buat keluarga, sahabat handai dan seluruh warga bomba.

“Saya doakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah,” kata beliau.

Ucapan takziah dan rasa sedih turut dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengetahui berita kematian Muhammad Adib menerusi satu sesi ‘live’ di media sosial.

“Saya berasa amat sedih. Selepas sesi live tadi saya dimaklumkan bahawa anggota bomba kita Muhammad Adib Mohd Kassim telah pulang ke rahmatullah.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau menerusi laman Twitternya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan, turut menzahirkan rasa duka cita dengan berita itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa pelakunya ke muka pengadilan.

“Saya mengulangi keyakinan akan kemampuan PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.

“Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.,” kata beliau.

Turut berkongsi pendapat sama adalah Mufti Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebabkan Muhammad Adib cedera dalam kejadian itu.

“Hari ini adalah hari berduka bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami menuntut supaya tragedi ini tidak tamat di sini sahaja.

“Ianya patut diselesaikan secepat mungkin oleh pihak berwajib dengan seadil-adilnya,” kata beliau di Twitter.

Dalam pada itu, ribuan netizen melalui laman Facebook dan Twitter turut mengucapkan takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga Muhammad Adib selain berkongsi kesedihan masing-masing dengan berita mengejutkan itu.




Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 11:39 PM






.