Total Pageviews

Tuesday, 2 October 2018

Permintaan tinggi ketum di Amerika



Permintaan tinggi ketum di Amerika Syarikat, Eropah



KANGAR - Seorang pengesksport daun ketum hari ini tampil mendakwa bahawa produk berasaskan daun ketum digunakan dengan meluas untuk ubatan alternatif di Amerika Syarikat dan Eropah sejak lebih 10 tahun.
Usahawan Ooi Teik Lee, 53, yang mengusahakan eksport bahan itu di Indonesia, juga mendakwa produk-produk tersebut telah dipatenkan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal di AS yang mengeluarkannya.
"Saya terpaksa dedahkan maklumat ini kerana isu ketum menjadi topik hangat dibualkan oleh masyarakat (Malaysia) berikutan cadangan Pihak Berkuasa Pekebun-Pekebun Kecil Getah (Risda) untuk menanamnya secara komersial ditolak oleh kerajaan.
"Kita sebenarnya cuba menidakkan khasiat ketum apabila mengaitkannya dengan gejala tidak sihat. Khasiat tumbuhan ini menjadi rosak apabila ia dicampurkan dengan bahan-bahan terlarang, dan akhirnya ketum mendapat nama buruk," kata Teik Lee.
Beliau ditampilkan oleh Gabungan Setia Melayu Pulau Pinang, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib penanam-penanam ketum di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, pada sidang akhbar di sini, hari ini.

 
Turut hadir pengerusi NGO tersebut, Mohd Ridzuan Ibrahim dan hampir 100 orang penanam berkenaan, kebanyakannya pekebun kecil getah dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, produk berasaskan daun ketum banyak berada dalam pasaran di AS dan Eropah antaranya dijadikan teh (uncang), kapsul untuk pelbagai penyakit dan juga jus.
"Ketum yang dieksport dilabelkan dengan nama kretom, tidak boleh nama lain kerana penyelidik barat menggunakan nama kretom. Jika tumbuhan ini memudaratkan seperti dadah sudah pasti AS dan Eropah mengharamkannya," tambahnya.
Teik Lee berkata, beliau melantik wakil pengedar di Washington DC dan Florida dan turut menjadi laluan masuk ke Eropah.
Teik Lee berkata, beliau menjalankan perniagaan mengeksport daun ketum (dalam bentuk daun kering dan serbuk) di Medan, Indonesia sejak 2008 kerana kerajaan negara tersebut tidak melarang penanaman dan pengeksportannya.
"Sebelum menjadikan Medan pusat operasi, saya menjadikan Pulau Pinang pusat eksport dengan mendapatkan bekalan daripada penduduk dari Kedah dan Perlis tetapi undang-undang negara menyekat usaha saya.
"Kebenaran eksport hanya perlukan surat izin kerajaan Indonesia," kata anak jati Pulau Pinang itu dan menambah Indonesia kini menjadi pengeksport terbesar ketum ke AS dan Eropah.
Teik Lee berkata, selain mengusahakan ladang secara usahasama dengan pelabur di Medan, beliau membeli daun ketum daripada penanam tempatan namun enggan mendedahkan nilai eksport tahunan sejak mengeksportnya lapan tahun lepas. 
Menurutnya harga eksport daun ketum yang dikeringkan seperti daun teh Cina atau diproses menjadi serbok adalah antara USD50 hingga USD60 satu kilogram (USD1 = RM4).
"Industri ketum sebagai herba dalam bidang perubatan sangat besar, bernilai berbilion ringgit dan berpotensi berkembang di Malaysia jika kerajaan memberi sokongan," tambahnya.
Katanya, beberapa syarikat farmaseutikal negara China menunjukkan minat untuk mendapatkan daun ketum sejak tahun lepas namun ia masih dalam peringkat rundingan.
Teik Lee berkata beliau turut dihubungi usahawan dua negara di timur tengah awal tahun ini untuk merundingkan eksport bahan berkenaan. - Bernama





.
.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.