Total Pageviews

Tuesday 2 October 2018

Koleksi 99 spesies buah di FRIM



Koleksi 99 spesies buah di FRIM




Othaman Hasin, 58, dan Zawiah Ngah, 43, ( menghabiskan sebahagian besar daripada masa kerja mereka dengan pokok dan tanaman.
Selama lebih 30 tahun, Othaman bekerja sebagai pembantu am tapak semaian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan semasa menemani ahli botani dalam dan luar negara menjalankan kerja lapangan beliau telah banyak menimba ilmu.
Zawiah pula, seorang pembantu penyelidik bahagian hutan ladang FRIM yang telah banyak membantu pegawai penyelidik sekali gus mengumpul pelbagai pengalaman dan pengetahuan berharga sejak menceburi bidang pertanian seawal usia 20 tahun.
Apa pun, alam semula jadi telah lama menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan, sumber makanan dan kesihatan, malahan hingga kini masih terdapat beberapa kaedah kesihatan tradisional yang terus diamalkan.
"Kami masih menggunakan bedak pupur pucuk jambu batu dengan beras goreng yang ditumbuk halus untuk kesihatan kulit, selain minum air rebusan daun jambu untuk merawat cirit birit dan mengawal sakit perut," kata Zawiah.
Dia turut bercerita bahawa pada masa dahulu, sumber makanan mereka termasuk kulit pokok sentul, kulit rambai serta gajus yang boleh dimasak sebagai lauk, selain tampoi, asam paya, buah salam dan kamunting yang juga enak dimasak.
"Apabila tiba musim pokok asam gelugur berbunga, kami sering mengutip kudup bunga dan pucuknya yang mempunyai rasa masam-masam kelat tetapi amat enak dicicah garam," tambah beliau.
Bagaimanapun, cinta pasangan suami isteri ini terhadap pokok dan tanaman menghasilkan sebuah buku ilmu yang padat dengan gambar dan maklumat menarik bertajuk 99 Spesies Buah di FRIM.
Berkongsi minat yang sama nyata memudahkan mereka mengumpul gambar dan maklumat mengenai pelbagai spesies pokok buah-buahan ketika berada di lapangan.
Sementara kebanyakan rakyat Malaysia mengenali buah-buahan popular seperti durian, rambutan, ciku dan yang lain, buku bergambar ini juga menampilkan buah-buahan yang jarang orang ramai dengar.
Lebih menarik, buku ini menghuraikan khasiat bahagian tertentu pada pokok buah yang boleh digunakan dalam penjagaan kesihatan, perubatan tradisional dan kecantikan yang telah diwarisi oleh pelbagai kaum termasuk kaum Orang Asli.
Buku itu juga dilengkapi dengan keterangan pengenalan, taburan, sejarah nama tempat, kegunaan, pembiakan dan penanaman pokok selain huraian morfologi pokok, daun, bunga dan buah.
Selain menyenaraikan 99 spesies buah mengikut nama famili bagi memudahkan rujukan pantas, buku itu juga dilengkapkan dengan glosari dan indeks.
Menyentuh tentang buku bergambar ini, Othaman menjelaskan, FRIM sebenarnya mempunyai lebih daripada 100 spesies tumbuh-tumbuhan berbuah dengan pelbagai fungsi dan khasiat.
Bagaimanapun, mereka memilih hanya 99 spesies untuk dibincangkan sempena 99 nama Allah selain buah-buahan adalah kurniaan Allah untuk umat manusia.
Selain merupakan hasil tangan pertama pasangan itu, ia juga menandakan kali pertama FRIM menerbitkan buku mengenai kepelbagaian spesies buah yang terdapat di pusat penyelidikannya.
''Idea menerbitkan buku itu sebenarnya berasal dari Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd Latif Mohmod yang tidak pernah jemu berkali-kali memujuk kami melakukannya," kata Othaman.
Nyata, penghasilan buku itu mempunyai nilai tersendiri kepada Ketua Pengarah itu yang enggan membiarkan koleksi gambar dan catatan yang dikumpulkan selama bertahun-tahun itu sekadar terperuk dalam fail dan lesap begitu sahaja.
Apa pun, koleksi tumbuhan hidup itu adalah satu aset tidak ternilai yang wajar ditempatkan dalam koleksi peribadi mahupun perpustakaan, memandangkan generasi kini makin kehilangan ilmu pengecaman pokok apatah lagi untuk menghayati alam sebagai khazanah dan warisan semulajadi.
Dr Abd Latif turut menjadi penyunting buku itu bersama beberapa lagi ahli botani.
Kebanyakan gambar dalam buku itu dirakam di sekitar pusat penyelidikan FRIM, termasuk di Arboretum Buah-buahan Taman Botani Kepong (Kepong Botanical Garden) selain di stesen penyelidikan mereka yang terletak di seluruh negara.
Mereka merakam gambar pokok, daun, bunga dan buah bagi memudahkan pembaca terutama kanak-kanak mengenalpasti dan membuat rujukan dengan lebih pantas.
Bagi spesies pokok buah yang bermusim, penerangan musim berbunga dan berbuah turut disertakan. Bagaimanapun, kata Othaman, ada juga buah yang sukar untuk dirakamkan gambarnya seperti asam payang dan sepam memandangkan mereka bermusim panjang dari tiga hingga lima tahun.
Menariknya, pembaca akan sedar betapa banyaknya buah-buahan tempatan seperti cerapu, rawa, redan, jentik-jentik yang mungkin tidak pernah didengari nama ataupun dilihat sebelum ini.
Barangkali pembaca juga baru mengetahui pelbagai kegunaan lain buah tertentu, sebagai contoh, buah belinjau yang biasanya dibuat kerepek sebenarnya juga enak direbus untuk dimakan seperti kacang rebus.
Tahukah anda buah belinjau muda berfungsi sebagai pengempuk daging jika ditambahkan dalam masakan daging manakala pucuk belinjau mempunyai rasa manis dan sedap dibuat sayur masak lemak?
Selain mencatatkan kepelbagaian buah-buahan yang terdapat di sekitar FRIM, pasangan itu turut memantau pokok buah di sekitar Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) yang terdapat di Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.
Di SPF Setiu misalnya, keadaan tanah berpasir membolehkan pokok seperti gajus, belinjau, pauh, mangga dan ceri Terengganu hidup dengan subur.
Pokok seperti durian beludu, manggis dan rambutan tumbuh dengan baik di SPF Jengka, sementara pokok berangan paling berjaya hidup di SPF Pasoh.
Selain itu, pokok buah seperti sukun, pauh, mengkudu dan nangka banyak terdapat di SPF Bidor, manakala pokok buah-buahan masam seperti mangga, kedondong dan limau kasturi amat subur di SPF Mata Ayer Perlis.
Apabila ke lokasi luar, mereka turut membawa pulang anak benih untuk ditanam di FRIM bagi mengekang kepupusan spesies itu.
Othaman dan isterinya berharap agar buku itu dapat dimanfaat sebagai satu rujukan warisan semulajadi yang kekal subur untuk generasi akan datang.
"Jika diizinkan, kami berharap agar ia dapat diterjemahkan ke Bahasa Inggeris supaya lebih ramai pembaca dari dalam dan luar negara dapat manfaat, kami juga sedang berusaha untuk menerbitkan sebuah lagi buku iaitu jilid kedua dengan topik yang serupa," jelasnya.
Anak pasangan ini Nur Azirah, 13, bangga dengan nukilan ibu bapanya, bukti minat mendalam ibu bapanya terhadap tanaman dan pokok.-Bernama







.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.