Total Pageviews

Tuesday, 2 October 2018

Anda Wajib Asing Sampah


Anda Wajib Asing Sampah



ASING sampah? Kenapa pula aku yang kena buat? Sia-sia lah aku bayar Alam Flora. Kalau macam tu tak guna ada PBT.

Penulis biasa mendengar kata-kata ini diungkapkan dalam kalangan kita. Sudah tentulah sebagai alasan untuk tidak mengasingkan sampah seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Walaupun penulis percaya, mereka yang mengungkapkan kata-kata itu sedar kenapa galakan pengasingan sampah itu dibuat. Apa kebaikan dan manfaatnya kepada manusia, bumi dan alam, namun ramai yang buat-buat tak faham.
Sungguhpun Kempen Kitar Semula yang antara elemennya melibatkan pengasingan sampah mengikut jenis sudah lama dilancarkan, ramai yang buat-buat tak faham. Ada-ada sahaja alasan diberi untuk menghalalkan tindakan tidak mengasingkan sampah.

Di sesetengah ka­wasan misalnya, tong sampah pelbagai warna sudah pun diedarkan secara percuma ke premis kediaman dan komersial, namun pemiliknya te­tap bersikap tak en­dah. Lagi-lagi mereka mendakwa tidak tahu-menahu tentang peraturan baharu mengasingkan sampah.

Yang peliknya tahu pula mereka menggunakan tong sampah yang diberikan secara percuma itu. Sedangkan kalau hendak difikirkan logik akal, dalam zaman semua benda pun dikenakan caj, tidak mungkin tong sampah itu diberikan begitu sahaja, tanpa sebarang syarat atau terma.

Jika tidak ada-ada, masakan tempua bersarang rendah. Jika tidak apa-apa, masakan tong sampah percuma depan rumah. Alasan tidak tahu-menahu tentang kempen peng­asingan sampah, jelas sekadar alasan.

Justeru apabila diumumkan PBT akan mula mengenakan kompaun terhadap premis yang tidak mematuhi arahan pengasingan sampah mulai tarikh sekian-sekian, ramai yang melenting.

Bingkas undang-undang hak asasi dipetik kononnya PBT tidak ada hak untuk menyaman atau mendenda mereka. Tiba-tiba orang sama yang mengaku tidak tahu-menahu tentang kempen ini menjadi begitu peka pula akan hak-hak mereka.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan ke-60 akhir­ bulan ini. Pada usia 60 tahun, iaitu hanya tiga tahun sahaja lagi hendak mencapai status negara maju, agak malu untuk kita akui bahawa dalam kalangan kita masih belum tertanam sifat-sifat kesukarelawan selayaknya sebagai penduduk negara maju.

Kita kagum dengan tahap kebersihan di Finland, New Zealand, Jepun dan Korea. Kita bandingkannya de­ngan negara kita. Kita kecewa dengan tahap kebersihan yang masih rendah di dalam negara khususnya tempat awam terutama tandas. Kita puji sikap penduduk negara terbabit. Kita terikut-ikut cara mereka menjaga ke­bersihan dan menghargai alam sekitar ketika berada di luar negara.

Malangnya kita tidak bersedia mengamalkannya di negara sendiri. Sekembalinya ke tanah air sama ada selepas bercuti di luar negara, atau ‘pulang’ ke alam realiti selepas menyaksi­kan negara terbabit di kaca televisyen atau layar perak, kita kembali de­ngan perangai lama.

Istilah sukarela seolah-olah tidak ada dalam kamus hidup.

Hakikat yang pahit untuk ditelan, usahkan hendak mengasingkan sampah, membuang sampah di tempat yang betul pun belum menjadi budaya orang kita. Masih ramai yang membuang sampah merata-rata.

Jika membuang sampah di tempat yang betul sudah menjadi budaya orang kita, tidaklah pihak berkuasa baru-baru ini terpaksa mengeluarkan amaran akan menyaman pemandu yang membuang sampah dari kenderaan ma­sing-masing.

Memang bunyinya remeh malah ada yang menganggap sebagai tidak masuk akal, takkanlah ada orang yang buat begitu? Namun itulah hakikat yang berlaku di Malaysia. Masih ada yang dengan selamba membuang sampah dari kenderaan dipandu atau dinaiki mereka.

Penulis pernah menyaksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana seronoknya pemandu kenderaan di hadapan makan rambutan yang kulitnya dicampak keluar tingkap di sepanjang perjalanannya. Tanpa rasa bersalah, walaupun kulit rambutan itu melayang ke cermin kereta lain atau penunggang motosikal yang mengekor di belakang.

Itu baru kulit rambutan, ada bermacam-macam lagi barang yang dibuang dari tingkap kenderaan oleh pemandu Malaysia. Puntung rokok dan pembungkus gula-gula, itu biasa. Jangan terkejut, lampin pakai buang pun ada, yang kalau silap hari bulan boleh mengundang nahas kepada pengguna jalan raya.



Sukar hendak percaya? Namun itu fakta bukan auta.

Pernah juga ketika berhenti di lampu isyarat, budak-budak dari bas sekolah selamba mencampakkan bungkusan makanan ringan dan kotak minuman keluar tingkap. Penulis tidak percaya yang mereka ini tidak diajar tentang cara-cara membuang sampah dengan betul.

Namun bak kata pepatah Melayu, guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Jika orang dewasa sudah memberi contoh tidak baik dengan membuang sampah sewenang-wenangnya, kadang-kala di hadapan anak-anak, apalah yang boleh kita harapkan dipelajari oleh mereka.

Semuanya bermula daripada sikap kita, perasaan sukarela melakukan sesuatu dengan betul, mengamalkan sehingga menjadi budaya. Mulakan dengan membuang sampah ke dalam tong sampah atau tempat yang betul, susuli dengan mengasingkan mengikut jenisnya, Insya-Allah perlahan-lahan, lama-kelamaan pasti sempurna.

Seperkara lagi, belajarlah untuk tidak melihat semua­nya dengan mata prasangka.

Kempen Kitar Semula walau diperkenalkan di negeri yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional mahupun pembangkang, agendanya sama, untuk menambah baik sistem pembuangan sampah di negara kita, yang matlamat jangka panjangnya untuk memelihara alam sekitar.

Sebagai permulaan, apa kata kita tunjukkan ketamadu­nan kita itu sepanjang Sukan SEA ke-29. Janganlah di­ce­mari temasya KL2017 bertaraf dunia ini dengan menja­dikan stadium atau gelanggang acara umpama tapak pem­buangan sampah.

Untuk menjadi warga negara maju, kita kenalah berfikir dan bersikap yang selayaknya. Barulah cultured dan bertamadun.
















.
...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.