Total Pageviews

Tuesday, 2 October 2018

Tabiat-buruk-rakyat-malaysia


tabiat-buruk-rakyat-malaysia




KITA sering dimomokkan dengan kejahatan masyarakat Barat. Budaya Barat sering juga diterjemahkan sebagai kurang sesuai untuk serapan dan hadaman masyarakat negara ini.

Budaya seks bebas, mabuk dan menghisap dadah, berpakaian mencolok mata, melantun kata-kata kesat dan pelbagai lagi perlakuan negatif sering disinonimkan dengan mereka ini.

“Jangan terikut sangat budaya barat, tiada yang elok!,” kata majoriti rakyat kita.

Ya, tidak pula menafikan mana-mana budaya serong dan mampu memesongkan akhlak, wajar ditentang dan ditolak bulat-bulat. Namun, mengapa perlu meniru yang jahat, sedangkan banyak lagi yang baik boleh diteladani?

Pernahkah melihat mat saleh mengemas meja sendiri, angkat talam, lap meja dengan tisu dan buang sampah serta sisa makanan di tong sampah disediakan selepas makan di mana-mana restoran?

Contohnya, memastikan tandas awam bersih dan kering selepas digunakan, meletak semula troli pasar raya di tempat disediakan selepas digunakan, tidak merokok di tempat awam, memberi peluang orang keluar daripada tren terlebih dahulu, dan banyak lagi etiket moral lain.

Bukan sahaja masyarakat barat seperti di Eropah dan United Kingdom, negara-negara maju lain seperti Jepun, Korea Selatan dan juga Singapura, lebih keterhadapan dalam kesusilaan dengan rakyatnya menuju ke arah mentaliti kelas pertama.


Dianggap lumrah

Kita yang kononnya masyarakat yang penuh santun dan adab pula, tidak mengerti mengemas meja sendiri yang dikotorkan selepas makan. Lagilah hendak ikut amalan murni lain.

“Kan ada tukang cuci, ada tukang kemas, buat apa mereka dibayar gaji, kalau aku yang nak kemas sendiri." Itulah pemikiran sesetengah masyarakat kita.

Meninggalkan pinggan, tisu kotor, sampah dan segala sisa makan di atas meja selepas perut kenyang terutama di restoran makanan segera, medan selera atau kafe yang mengamalkan konsep layan diri, boleh dikatakan sikap majoriti rakyat Malaysia.

Itu belum lagi meja bersepah dan makanan berterabur bagaikan tongkang pecah, dan kemudian ditinggalkan sebegitu sahaja. Jangan lupa di wakaf atau bangku rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) misalnya juga menyaksikan nasib serupa.

Bukan setakat itu sahaja. Kita menganggap merokok di tempat makan sebagai sesuatu yang lazim walaupun ia kurang menyenangkan kepada mereka yang lain.

Kita tidak kisah dengan perokok yang selamba membuang abu dan puntung rokok atas meja atau lantai dan sehinggakan ada yang meninggalkannya atas pinggan mangkuk.

Sedihnya, perkara sebegini sudah dianggap lumrah. Lebih menyedihkan, mana-mana individu yang rela membersihkan meja sendiri pula dipandang sinis dan kadang-kadang ditertawakan.
Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan selepas makan di mana-mana tempat sekalipun, kita meninggalkan semuanya di atas meja atau campak ke lantai meskipun tong sampah dan tempat letak pinggan mangkuk hanya beberapa langkah daripada kita.
Dalam otak kita, kerja mengemas meja bukan tanggungjawab kita, tetapi tanggungjawab petugas restoran atau tukang cuci yang dibayar gaji.

Benar, ada pekerja yang akan membersihkan tetapi di mana ketamadunan kita sebagai manusia? Memang kita bayar bagi makanan tersebut, tetapi adakah itu lesen besar untuk kita menjadi pengotor dan pemalas?
Jika anda boleh melayan diri anda dengan membuat pesanan sendiri dan mengangkat dulang makanan ke meja sendiri, mengapa tidak mengutip sisa makanan yang anda sendiri sepahkan, lantas mengemas meja dan membuang sampah ke tempat sepatutnya?

Paling-paling malas, mengapa tidak satukan semuanya dalam talam, agar mudah pekerja mengemas, bukannya membiarkannya berselerak.    

Bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai sensitiviti dan mentaliti terpuji, mungkin kita sentiasa perlu diingatkan meskipun masing-masing sudah punya akal.
Namun adakah ia berkesan?




Ubah sikap!

Lihat sahaja di Ikea, gedung kelengkapan rumah dari Sweden yang terkenal dengan bebola dagingnya. Meskipun sudah ditampal notis besar terang-terang yang meminta dulang dan pinggan diletakkan di sudut khas selepas makan, namun berapa kerat sahaja yang melakukannya.

Meskipun siap ada pelekat ditampal di meja makan mengingatkan untuk mengemaskan meja selepas makan, namun majoritinya tetap tidak segan untuk angkat kaki dengan meninggalkan sisa makanan di meja.

Di dinding, Ikea menyatakan, mereka dapat meminimumkan harga makanan dengan cara tidak perlu menggajikan ramai atau membayar pekerja yang digajikan khas untuk mengemas meja makan, sekiranya pengguna sendiri dapat berbuat demikian.
Namun, mana-mana restoran makanan segera pun terpaksa akur kepada budaya sesetengah rakyat Malaysia yang terlampau sukar hendak membudayakan tabiat yang satu ini.

Kalau masyarakat Barat yang kononnya jahat boleh buat, tidakkah itu beri tamparan buat kita masyarakat yang santun dan berbudi bahasa?
Di rumah pun selepas makan, kita angkat pinggan dan kemas meja sendiri? Maka kenapa tidak kekalkan sikap sebegitu ketika berada di luar? Ia juga melambangkan kita sebagai masyarakat yang berpekerti mulia.
Pastinya pekerja sama ada yang makcik, pakcik, orang kurang upaya (OKU) atau pekerja asing pun turut berterima kasih. Mereka yang hendak guna meja selepas itu pun pastinya gembira.
Jadi mengapa tidak selepas ini, kita mulakan tabiat kemas, angkat dan buang. Tidak susahkan? - Bernama






.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.