Terkubur
dalam lumpur hitam
Palu:
“Mayat salah seorang mangsa yang dikeluarkan dari dalam selut lumpur itu sudah
mengembung, reput dan dipenuhi ulat berenga,” ujar pegawai logistik Majlis
Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Hidayat Abdullah yang turut sama
mencari mayat mangsa korban gempa bumi dan banjir lumpur di penempatan Petobo
di sini.
Pada
operasi jam 11 pagi semalam, beliau bersama Naib Presiden MAPIM, Dr Ahmad Sani
Araby Al-Kaherydan dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten (PA) Nik
Abdul Aziz Nik Mohd menyertai puluhan anggota sukarelawan tempatan, Palang
Merah Indonesia (PMI) serta Tentera Nasional Indonesia (TNI) mencari baki mayat
mangsa di tapak tragedi itu.
Hidayat
berkata, bau busuk mayat menusuk berikutan tubuh lelaki berusia 30-an itu dalam
keadaan terendam dalam lumpur hitam.
“Selain
itu, mayat dua wanita dan seorang bayi juga ditemui tidak jauh daripada
kedudukan mayat pertama. Semua mayat dipercayai empat sekeluarga yang gagal
menyelamatkan diri apabila perkampungan itu dihanyutkan lumpur yang memancut
keluar dari bumi,” katanya.
Menurutnya,
usaha memindahkan mayat itu perlu dilakukan berhati-hati berikutan bimbang
anggota tubuh mangsa terpisah atau tercabut ketika diangkat ke dalam plastik
khas.
“Saya
difahamkan ketika tragedi pada 28 September lalu, berlaku gempa bumi kuat
sebelum lumpur hitam memancut keluar tanpa henti daripada perut bumi.
“Lumpur
setinggi bangunan empat tingkat itu kemudian menelan perkampungan berkenaan
sebelum ribuan kediaman dan hampir 7,000 penghuni digulung ‘ombak’ lumpur
hitam. Hanya seratus mayat mangsa ditemui setakat ini dan ribuan lagi tertanam
di dalam timbunan lumpur dan tanah,” katanya.
Dia
menganggap malapetaka itu sukar dijelaskan dengan kata-kata dan menyifatkan ia
sesuatu yang begitu menakutkan.
Nik
yang mewakili APM dalam operasi itu memaklumkan, kawasan bencana lumpur Petobo
terlalu luas menyebabkan operasi mencari mangsa yang tertimbus hampir mustahil
diselesaikan dalam tempoh seminggu dua.
Tragedi
membentuk timbunan sisa runtuhan rumah dan tanah membukit yang menutupi
perkampungan dengan keluasan lebih 444 ekar.
Sementara
itu wartawan NSTP yang turut berada di lokasi bencana semalam mendapati,
penduduk Petobo yang terselamat dilarang memasuki kawasan itu oleh pasukan TNI.
Rata-rata
mereka masih memenuhi tapak lokasi tragedi bagi mengetahui nasib ahli keluarga
masing-masing sejak lapan hari lalu.
Kebanyakan
mangsa menghuni khemah sementara bagi mangsa gempa bumi di Desa Ngatabaru, Loru
dan Parovo, Kawatuna.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober
2018 @ 8:01 AM
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.