Total Pageviews

Tuesday, 2 October 2018

Ubi Kayu Ganti Plastik



Ubi Kayu Ganti Plastik 


Kepelbagaian kegunaan ubi kayu





UBI kayu sebagai asas keperluan makanan memang sudah tidak dapat dinafikan lagi.
Banyak datuk nenek mahupun ibu bapa kita yang pernah mengalami situasi di mana mereka terpaksa menggunakan ubi kayu sebagai pengganti nasi - dan mereka selalu menyatakan bahawa rasanya tidak kurang hebat dari nasi biasa.
Sebagai makanan tambahan bahan ubi kayu atau lebih khusus tepung ubi memang banyak kegunaannya. Ia digunakan untuk membuat banyak jenis makanan ringan termasuk keropok ikan, keropok 'junk food' dan berbagai lagi. Ubi kayu sendiri bila dihiris nipis dan dijemur boleh dijadikan kerepek ubi atau 'tapioca chips' yang merupakan makanan yang lebih enak dari 'potato chips'.
Ubi kayu yang dijadikan tepung kanji mempunyai sangat banyak kegunaan. Di setiap tahun di seluruh dunia jumlah permintaan ke atas bahan kanji ini adalah melebihi 30 juta tan. Ini memerlukan lebih dari 5,500 kilang untuk mengeluarkannya.
Setiap kilang memerlukan pula ladang ubi kayu seluas 3,000 hektar. Antara kegunaan penting ubi kayu ini ialah seperti berikut:-
* Di dalam industri farmasi, tepung ubi digunakan sebagai bahan pengawaet (binder) bagi ubatan yang dibentuk sebagai pil. Semua jenis ubatan memerlukan bahan pengawet ini.
* Di dalam industri makanan, bahan kanji digunakan di dalam industri pengetinan dan penyediaan makanan untuk membuat 'kuah atau rempahan dan di dalam industri daging untuk membuat sosej misalnya.
* Di dalam industri minuman keras, industri keju dan lainnya yang melibatkan proses fermentation, bahan kanji digunakan untuk bahan 'capacity booster'.
* Bahan ubi kayu juga digunakan untuk membuat bahan glukosa yang sangat penting misalnya untuk membuat gula-gula, jenis drops yang lain dan untuk makanan di dalam tin.
* Selain dari industri makanan, bahan kanji adalah amat penting untuk industri kertas bagi membuat kadbod dan perekat .
* Di dalam industri bahan tekstil, bahan kanji adalah penting untuk membuat kain baju dan membuat perekat (wrap sizing).
* Di dalam industri cari gali minyak, bahan kanji digunakan untuk menjadi bahan 'mud suspension'.
Berasaskan pada gambaran di atas sebenarnya bahan kanji ini menjadi satu bahan yang sangat penting bagi keseluruhan hidup kita. Bagaimanapun di sebabkan kita tidak memakan kanji ubi kayu ini secara terus, kita tidak merasakan kepentingannya. Kita mengandaikan bahawa bahan tersebut wujud dan tidak menjadi masalah di dalam hidup kita. Sebenarnya jika kita melihat angka import Malaysia ke atas bahan kanji ini -- iaitu sebanyak RM22 juta, kita akan serta merta merasakan kepentingannya. Kita boleh juga melihat potensi peranan industri ubi kayu di Malaysia bila kita melihat daya maju projek penanaman dan perkilangan ubi kayu. Setiap hektar ladang ubi kayu boleh memberikan hasil bersih melebihi RM6,000. Ini adalah jauh lebih besar dari ladang kelapa sawit (RM4,500).
Kadar margin untung kilang bahan kanji ialah 44%. Ini menjadikan projek penanaman dan perkilangan ubi kayu dan bahan kanji ini menjadi sangat tinggi daya majunya. Apa yang lebih berpotensi ialah keupayaan untuk kita memikirkan kaedah penggunaan bahan kanji ini yang baru dan yang lebih tinggi marginnya. Beberapa potensi kegunaan boleh difikirkan dari industri makanan, industri perkilangan mahupun industri perkhidmatan. Bahan kanji boleh dimakan, boleh dijadikan bahan pembungkusan dan juga bahan gam.
Satu contoh kegunaan di dalam industri pembungkusan dan pemuat adalah amat penting. Bayangkan misalnya plastik nipis tanpa warna yang digunakan bagi membungkus makanan seperti coklat, gula-gula, makanan harian termasuk buah-buahan. Plastik ini mahal harganya dan biasanya akan terbuang selepas digunakan disebabkan ia akan dikoyakkan atau dibuang sebagai sampah. Jika bahan ubi kayu dapat digunakan untuk menggantinya pastinya ia tidak perlu dibuang.
Bayangkan pembungkus yang boleh di makan sekali bersama coklat dan gula-gula atau kuih seperti karipap dan kuih Melayu yang lain. Ini pastinya akan mewujudkan penggunaan baru ke atas bahan kanji yang boleh memberikan sumbangan yang besar kepada pengguna dan memberikan kadar untung yang lebih tinggi.
Baru-baru ini keluar satu berita bahawa sterefoam warna putih yang selalu dibentuk seperti pembungkus makanan -- nasi, mee dan kuih muih adalah merbahaya kepada kesihatan. Ia mempunyai kesan kimia yang boleh menyebabkan kanser jika digunakan berpanjangan. Di negara maju bahan sterefoam ini sudah tidak boleh lagi digunakan untuk mengisi makanan. Walau pun ini merupakan satu masalah dan cabaran di dalam perniagaan ia sebenarnya mewujudkan satu idea baru juga.
Bayangkan jika kita dapat mengganti bahan sterefoam ini dengan bahan kanji. Bukan sahaja kita dapat mengatasi kesan bahan kimia di atas tetapi kita juga dapat mengeluar pada kos yang lebih rendah kerana harga bahan kanji ini adalah lebih murah. Paling penting jika bahan pemuat ini diperbuat dari bahan kanji bermakna ia juga boleh dibuat sehingga ia boleh dimakan. Ini boleh mengubah paradigma pemuat bahan makanan di masa akan datang. Kita boleh melihat bahan pemuat ini dijadikan 'dessert' selepas makanan di dalamnya habis dimakan.
Sebenarnya ia bukanlah satu yang sangat jauh untuk dibawa menjadi kenyataan. Bayangkan bahan pemuat ini yang dilapik dengan plastik yang sangat nipis di luarnya yang boleh ditanggalkan dan dibuang meninggalkan bahan kanji yang mungkin sudah diberikan perasa untuk menjadikannya sedap dimakan. Rasanya mungkin tidak ubah seperti keropok udang atau keropok ikan yang juga dibuat dari campuran tepung ubi. Cuma di sini perasanya boleh diubah menjadi rasa dessert seperti buah-buahan atau manisan. Pokoknya tidak ada pembaziran akan berlaku kerana bekas pemuat ini boleh dimakan.
Sebenarnya idea ini boleh dikembangkan pula kepada bekas makanan lain seperti cawan, gelas, mangkuk dan pinggan. Bayangkan di restoran, semasa berkelah atau pun di rumah -- daripada menggunakan pinggan mangkuk dari kaca atau tembikar, kita boleh menggunakan pinggan mangkuk yang dibuat dari bahan tepung ubi. Ini ialah pinggan mangkuk yang siap diberikan perasa untuk dijadikan lauk atau pemanis (dessert).
Sambil makan atau selepas makan, bekas hidangan ini akan dimakan sedikit demi sedikit sehingga tidak meninggalkan bekas yang perlu disimpan atau dibasuh. Ini pastinya menepati matlamat kehidupan keluarga di abad dua puluh satu.
Apakah ini sesuatu yang mustahil? Pastinya tidak. Cabarannya ialah untuk mereka bentuk bekas makanan yang boleh kalis air dari dalam dan kalis kekotoran di luar. Ini boleh dengan mudah dilakukan dengan menyalutkan bekas yang diperbuat daripada ubi bahan kanji ini dengan plastik nipis yang akan dibuang sebelum bekas ini dimakan sebagai dessert.
Bolehkah anda memikirkan tentang keluaran lain dari bahan kanji ini? Pastinya ada seribu satu jenis makanan dan jenis kegunaan yang boleh diwujudkan dari bahan ubi kayu yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan hidup pengguna dan pelanggan secara keseluruhannya. Cuba kemukakan idea anda tentang barangan ini untuk dikongsi dengan para pembaca yang lain.
Oleh: DR BARJOYAI BARDAI









..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.