Total Pageviews

Wednesday, 3 October 2018

Lambakan kosmetik haram




Lambakan kosmetik haram





Ramai wanita hari ini berlumba-lumba untuk cantik tanpa memikirkan keselamatan produk yang dipilih. Asalkan iklan menyebut kesan pencerahan seawal tiga hari, memaparkan testimoni di laman media sosial atau menayangkan tutorial menerusi video pendek, maka berbarislah komen yang meminta dihantarkan balasan mesej peribadi atau kerap disebut ‘PM’.
Lebih menghairankan, sudah banyak kes penipuan kosmetik murahan dipaparkan di akhbar, majalah dan televisyen, namun masih juga ramai tidak takut untuk mencuba.
Jangan ada antara kita yang melatah jika orang mengatakan sebahagian wanita negara ini terlalu obses dengan mekap tiruan dan kosmetik haram dari negara jiran. Pandangan sebegini timbul kerana sikap wanita tempatan sendiri yang hanya memikirkan kecantikan sekelip mata tanpa mengambil kira risiko kanser, sawan, koma dan kulit terbakar yang bakal dideritai sepanjang hayat berikutan penggunaan produk berkenaan.
Menurut Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kartini Farah Rahim, terdapat pelbagai bahan berbahaya dijumpai dicampur dalam kosmetik yang tidak berdaftar atau bernotifikasi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), terutama produk diseludup masuk dari negara jiran. Antaranya merkuri, plumbum (lead), arsenik dan sianida yang menyebabkan kekerapan berlakunya alahan dan iritasi kulit.
“Sebelum ini, KKM pernah membuat kenyataan bahawa banyak kosmetik di pasaran dikesan mengandungi racun berjadual seperti asid azelaik, hidrokuinon dan tretinoin. Semua racun ini adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
“Bukan sahaja di Malaysia, malah Amerika Syarikat (USA) dan Britain juga sedang meningkatkan usaha merampas dan memberhentikan penjualan kosmetik palsu, namun malangnya masih banyak yang tidak dapat dikesan,” katanya.
Jelas Dr Kartini, kebanyakan produk kosmetik palsu berasal dari China. Namun apa yang paling mengejutkan, laporan City of London Police mengisytiharkan siasatan di kilang pemprosesan terbabit mendapati premis itu sangat kotor sehinggakan terdapat sisa kencing tikus dan manusia serta bahan toksin lain di dalam kosmetik mereka.
“Oleh itu, kesedaran pengguna amat penting untuk membendung kegilaan wanita negara ini terhadap kosmetik murahan. Wanita perlu tahu bahawa logam berat toksik yang dicampurkan seperti merkuri digunakan dalam kosmetik sebegini untuk mendapatkan kesan pencerahan dan mengurangkan penuaan kulit. Gejala keracunan logam berat ini adalah ketaran (tremor), masalah ingatan dan emosi, masalah pendengaran, penglihatan serta buah pinggang.
“Logam plumbum pula sering didapati di dalam gincu dan jika digunakan berlarutan boleh menyebabkan masalah saraf dan pembelajaran. Sementara logam lain yang kerap dijumpai adalah arsenik, berilium dan kadmium. Bahan ini biasanya tidak disenaraikan pada isi kandungan produk kerana dianggap sebagai sampingan dan tidak disengajakan.
“Penggunaan produk mengandungi plumbum dalam tempoh lama dan kuantiti yang banyak boleh mendatangkan kesan gangguan hormon, masalah buah pinggang dan keradangan kulit. Begitupun, pengguna juga perlu sedar logam berat ini masih boleh dijumpai dalam kosmetik biasa di pasaran (bukan sahaja kosmetik murah), tetapi dalam kuantiti yang dikawal. Sementara logam merkuri adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.
Selain logam berat, pengguna juga perlu menerima hakikat bahawa kemungkinan wujudnya tretinoin, hidrokuinon dan asid azelaik dalam produk kosmetik yang diguna wanita negara ini setiap hari.
“Tretinoin adalah bahan aktif yang digunakan untuk masalah jerawat dan jeragat. Kesan sampingan yang biasa adalah iritasi dan pengelupasan kulit, fotosensitif (sensitif kepada sinaran cahaya) dan ada kemungkinan risiko teratogenik (kecacatan bayi dalam kandungan) untuk ibu mengandung.
“Hidrokuinon pula dikenali sebagai bahan aktif untuk masalah jeragat dan untuk mencerahkan kulit. Penggunaan bahan ini boleh mendatangkan iritasi kulit dan fotosensitif. Manakala asid azelaik pula banyak digunakan untuk masalah jerawat, rosacea dan jeragat yang akhirnya membawa kesan iritasi kulit termasuk keradangan dan kegatalan pada tempat yang disapu,” katanya.
Menilai sikap ramai wanita negara ini yang tidak jemu mengejar peluang mendapatkan rupa paras jelita, Dr Kartini berkata, pengguna sepatutnya bijak membuat pilihan dengan mengetahui latar belakang pengeluar produk.
“Sebelum kita guna, nilaikan semula sama ada produk itu selamat digunakan atau tidak. Produk tiruan berjenama juga boleh kelihatan seperti asli kerana pengilang haram sudah pandai meniru pembungkusan.
“Dalam hal ini, wanita perlu bijak dan membuka mata seluasnya. Mungkin pada peringkat awal penggunaan, mereka hanya mengalami iritasi dan kesan alahan pada kulit dan mata. Namun, jangan dilupa bahawa kulit juga akan terus menyerap bahan toksik dalam kosmetik untuk jangka masa panjang. Jadi, sebagai langkah pilihan terbaik, belilah produk menerusi pengedar sah sahaja,” katanya.


Tip mengesan produk meragukan
1. Produk membuat tuntutan luar biasa seperti mencerahkan kulit dalam masa yang singkat. Ini tidak boleh dipercayai kerana bahan yang selamat memerlukan masa yang lebih lama untuk bertindak pada kulit.
2. Produk dijual dengan harga yang sangat rendah berbanding produk yang sama di pasaran.
3. Produk dijual di kedai yang juga menjual barang bukan kosmetik dan dilonggokkan.
4. Pembungkusan produk dalam tulisan yang tidak difahami atau terdapat kesalahan ejaan walaupun dalam Bahasa Inggeris.
5. Produk tidak tertera padanya pengilang, pengedar, senarai bahan dan tarikh luput.
6. Produk tidak berkualiti apabila digunakan.



Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 1:56 PM









.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.