Kosmetik
Beracun
PRODUK-PRODUK
KOSMETIK YANG DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL
1.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan
produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual
seperti di bawah:
2.
Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan
Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam
produk berkenaan.
PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA
PADA KESIHATAN
3.
Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk
farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan
hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
4.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan
pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak
diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone
boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan
perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan
risiko kanser kulit.
5.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk
tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan
tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian
kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan
hipersensitif kepada cahaya matahari.
6.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan
kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke
dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia
juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang
belum dilahirkan.
7.
Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami
oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang
mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan
kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk
kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik
tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan
produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan
perubahan lain pada kulit.
PERINGATAN
KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI
8.
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk
menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan
serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran
produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah
dan Kosmetik 1984.
9.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh
dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3
tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi
RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk
kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh
dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga
RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
PERINGATAN
KEPADA ORANG AWAM
10. Orang awam yang sedang menggunakan
produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya
dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang
ketidakselesaan atau kesan advers.
11.
Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada
kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang
ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk
kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian
Kesihatan Malaysia
23 Februari 2018
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.