nabi-allah-selain 25 yang wajib diketahui
Dan (Kami telah mengutus) rasul-rasul yang sungguh telah Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu. Dan Allah telah berbicara kepada Musa dengan langsung
An-Nisa ayat 164
Dianggarkan bahawa nabi dan rasul masing-masing berjumlah 124,000 dan 312 orang. Namun, yang wajib diimani oleh umat Islam hanya seramai 25 orang sahaja. Ia dimulai dengan Nabi Adam as dan diakhiri dengan junjungan besar kita, Rasulullah saw.
Dari Abu Zar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika ditanya tentang jumlah para nabi, “(Jumlah para nabi itu) adalah seratus dua puluh empat ribu (124,000) nabi.” “Lalu berapa jumlah Rasul di antara mereka?” Beliau menjawab, “Tiga ratus dua belas(312)”
Hadith riwayat At-Tarmizi.
Peranan Nabi dan Rasul adalah untuk memberi peringatan kepada manusia untuk sentiasa berada di jalan yang lurus dan memandu mereka ke jalan tauhid. Kepada mereka terdapat empat orang Rasul diberikan kitab sebagai panduan dan manual. Mereka adalah:
- Nabi Daud dianugerah kitab Zabur
- Nabi Musa dianugerah kitab Taurat
- Nabi Isa dianugerah kitab Injil
- Nabi Muhammad saw dianugerah kitab Al-Quran
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa Rasul dan Nabi yang tidak diceritakan oleh Allah swt dalam al-Quran. Allah swt hanya menceritakan seramai 25 orang Rasul secara menyebut nama mereka dengan jelas dan mereka itu wajib diimani serta dihayati kisah hidup mereka.
Miskipun demikian, terdapat beberapa Rasul yang Allah sebutkan dalam al-Quran tanpa menyebut nama mereka dengan jelas. Ada sesetengah ayat dalam al-Quran langsung tidak menyebut Rasul tersebut. Namun, para ulama dapat mengetahui siapakah gerangannya berdasarkan asbabul nuzul(sebab ayat diturunkan) ayat-ayat tersebut. Jadi, pada kali ini, penulis akan nukilkan beberapa Rasul yang penulis maksudkan tersebut:
Nabi Samwil as
Baginda adalah nabi yang diutuskan kepada bani Israel pada zaman Thalut menjadi raja Bani Israel. Baginda adalah seorang pemimpin yang soleh dan taat kepada perintah Allah taala.
Di dalam al-Quran, baginda telah disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 246-248,
246. Apakah kamu tidak memperhatikan pemimpin-pemimpin Bani Israel sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah.” Nabi mereka menjawab: “Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang.” Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari anak-anak kami?”. Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, merekapun berpaling, kecuali beberapa saja di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim.
247. Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu.” Mereka menjawab: “Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?” Nabi (mereka) berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.” Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.
248. Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangandari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman.
Ulama seperti Ibnu Kathir dan Ibnu Ishak bersependapat bahawa ayat ‘nabi mereka’ merujuk kepada Nabi Samwil as. Peristiwa ini berlaku ketika Bani Israel bertekak sesama mereka untuk melantik seorang pemimpin dan raja.
Allah swt telah memberikan kelebihan ilmu dan kepimpinan kepada Nabi Samwil as sehingga baginda dipandang tinggi oleh masyarakat pada zamannya. Kaum Nabi Samwil as sentiasa merujuk kepadanya dalam apa jua masalah termasuk masalah politik.
Dalam masalah ini, mereka telah merujuk terus kepada Nabi Samwil as. Diriwayatkan bahawa Nabi Samwil as telah diilhamkan Allah swt untuk melantik seorang individu miskin bernama Talut bagi memimpin mereka menentang musuh-musuh Bani Israel.
Berkat kesolehan dan doa Nabi Samwil as, Talut yang dulunya seorang petani telah berjaya membawa Bani Israel ke dimensi baru sehingga datang Nabi Daud as kemudian hari.
Nabi Uzair as
Nabi Uzair as adalah Rasul yang diutuskan Allah kepada kaum Bani Israel kira-kira 400 tahun sebelum masihi. Ibnu Kathir meriwayatkan bahawa Nabi Uzair lahir di antara tempoh kenabian Nabi Sulaiman as dan Nabi Zakaria as, bapa kepada Nabi Yahya as. Manakala Sayyid Abdul Ala Maududi pula secara terperinci meriwayatkan baginda hidup pada 450 sebelum masihi.
Nabi Uzair as adalah seorang lelaki yang amat soleh dan hafiz kitab Taurat. Baginda dikatakan memahami setiap isi kandungan Taurat. Beliau menjadi rujukan setiap masyarakat Yahudi pada zamannya.
Daripada Uzair ini, Allah swt telah menunjukkan kebesarannya dengan membangkitkannya daripada mati dan kembali kepada masyarakat untuk menyelamatkan isi Taurat.
Atau apakah (kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: “Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?” Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: “Berapakah lamanya kamu tinggal di sini?” Ia menjawab: “Saya(Uzair as) tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Allah berfirman: “Sebenarnya kamu(Uzair as) telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi beubah; dan lihatlah kepada keledai kamu (yang telah menjadi tulang belulang); Kami akan menjadikan kamu(Uzair as) tanda kekuasaan Kami bagi manusia; dan lihatlah kepada tulang belulang keledai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging.” Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) diapun berkata: “Saya(Uzair as) yakin bahwa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Al-Baqarah ayat 259
Namun, kejahilan Bani Israel pada masa itu menyebabkan mereka syirik kepada Allah swt sepertimana yang diceritakan oleh Allah swt dalam surah At-Taubah ayat 30,
Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu putera Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu putera Allah.” Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?
At-Taubah ayat 30
Di dalam ayat 259 dalam surah al-Baqarah, nama Uzair tidak muncul tetapi diganti dengan pengganti nama iaitu saya atau aku. Namun, para ulama bersependapat bahawa ia sememangnya merujuk kepada Nabi Uzair as atau Nabi Ezra as. Uzair adalah panggilan Ezra dalam bahasa Arab. Ezra pula adalah sebutan nama baginda dalam bahasa Ibrani.
Kubur Uzair as di pinggir sungai.
Nabi Samson as
Nabi Samson as tidak diceritakan langsung dalam al-Quran namun nama baginda pernah diriwayatkan di dalam kitab Qisasul Anbiya’(kisah para Nabi). Dalam kitab lama tersebut menceritakan bagaimana Rasulullah saw tiba-tiba tersenyum sehingga mengundang rasa pelik para sahabat. Lalu seorang sahabat bertanya Rasulullah saw,
“Mengapa anda tersenyum wahai nabi Allah?”
Rasulullah saw segera menjawab,
Aku diperlihatkan pada hari kiamat di Padang Masyhar, seorang nabi dengan membawa pedang yang tidak mempunyai pengikut walau seorang pun, kemudian masuk ke dalam syurga. Baginda adalah Samson.
Dalam kitab Muqasyafatul Qulub karangan Imam Ghazali ada menceritakan bahawa Rasulullah saw berkumpul pada bulan suci Ramadan. Di dalam usrah itu Rasulullah saw bercerita mengenai nabi Allah saw bernama Samson as. Rasulullah saw menggelarnya Sam’un Ghazi.
Samson as dianugerahi Allah swt dengan kekuatan luar biasa seperti berkebolehan melembutkan besi, mampu menewaskan binatang buas dan berkemampuan untuk mengangkat tiang istana dan merobohkannya.
Nabi Allah ini menentang keras perbuatan kaumnya yang engkar dengan perintah Allah swt. Pada masa itu, Raja Israel sendiri adalah seorang yang engkar dengan perintah Allah dan zalim pula terhadap rakyatnya. Sifat bongkak raja tersebut mengundang rasa benci beliau terhadap raja tersebut sehingga menyebabkan beginda tidak henti-henti untuk memberi hidayah kepadanya walau dengan apa cara sekalipun.
Sifat istiqamah Samson as mengundang padah padanya apabila beliau berjaya ditangkap setelah isterinya sendiri mengkhianatinya. Samson as pernah berkata kepada isterinya berkenaan kelemahan dirinya yang boleh dilemahkan dengan mengikat dirinya dengan rambutnya sendiri. Akhirnya Samson as ditangkap.
Samson as telah diseksa dan dibutakan matanya. Namun, ia tidak menghalang dirinya untuk terus berjuang menentang kebatilan. Samson as berdoa kepada Allah swt agar dikembalikan kekuatan yang dianugerahkan kepadanya dahulu. Allah swt memakbulkan doa baginda.
Samson as telah menggunakan kekuatan yang diperolehinya semula dengan meruntuhkan seluruh istana sehingga mengorbankan raja dan isteri beliau sendiri.
Selepas kejadian itu, Samson as kemudian bersumpah untuk beribadah selama 1000 bulan tanpa henti. Daripada kisah yang diceritakan inilah, maka datang wahyu berkenaan malam lailatul qadar yang keberkatannya lebih baik daripada 1000 bulan.
Kubur Samson as
Bersambung..
Artikel ini berkenaan dengan para nabi Allah swt yang tidak disebutkan dengan jelas dalam al-Quran namun ada sesetengah mereka diceritakan oleh Rasulullah saw dalam hadis dan sabdanya seperti Kisah Samson as. Nabi dan Rasul diutuskan Allah swt kepada setiap tamadun. Tidak terkecuali tamadun Yunani, Parsi, Mesir, China, Mesopotamia mahupun Indus. Namun, kisah mereka mungkin terhapus atau tidak direkodkan sepertimana kisah mereka direkodkan secara terperinci dalam al-Quran, Taurat mahupun Injil. Kepada umat Islam, tidak salah untuk kita mencari dan mengkaji dengan lebih lanjut para nabi yang tidak disebutkan dalam al-Quran namun berhati-hati kerana bimbang terpalit racun Israilliyyat.!
kisah para nabi yang tidak dicerita dalam al-Quran, Nabi Samson as, Nabi Samuel as, Nabi Samwil as, Nabi Uzair as
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.