Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Dato' Maharajalela


Dato’ Maharajalela












Perjuangan Dato’ Maharajalela atau Pandak Lam menentang British merupakan satu perjuangan yang suci lagi murni.

Beliau tidak mahu mengotorkan dirinya menjadi pencacai dan pengampu si zalim British.

Sebaliknya dengan penuh strategi demi mempertahankan sistem tradisional di Perak yang telah diganggu gugat oleh pihak British melalui pengenalan Sistem Residen, Dato’ Maharajalela telah merancang untuk menjatuhkan Residen yang bakal dilantik British itu.

Sebagai seorang pembesar di negeri Perak, beliau antara tokoh yang dianggap berwibawa dan begitu dihormati oleh penduduk Perak.

Keprihatinan beliau membela nasib rakyat dan menghalang gangguan British mendapat sokongan ramai rakyat negeri Perak. Seruan beliau agar mengatur rancangan menghalang pertapakkan British telah mengundang ramai pengikut. Pengikut bukan sahaja datang dalam kalangan orang Melayu malahan juga dari orang asli sendiri, antaranya Seputum yang ditugaskan untuk membunuh J.W.W. Birch.

Untuk pengetahuan anda, Dato’ Maharajalela berketurunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi.

Tidak hairanlah, jika darah kepahlawanan Bugis mengalir dalam dirinya. Beliau pantang berundur, apa yang dikatakan akan dikotakan. Janji ditepati tidak dimungkiri.

Ketika penentangan dilancarkan ke atas British di Pasir Salak, Perak. Negeri Perak waktu itu merupakan dipimpin oleh Sultan Muzaffar Shah III.

Pengetahuan agama dan ketinggian keperibadiannya, menyebabkan beliau dilantik sebagai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato’ Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa yang boleh memancung kepala tanpa bertanya.

Gerakan penentangan terhadap British oleh beliau di Perak turut disertai oleh ramai golongan bangsawan dan rakyat jelata. Antara yang sama-sama berjuang dengan beliau ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk dan tercatat dalam buku sejarah sebagai Dato’ Sagor’, juga Ngah Kandin, Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim.

Perancangan beliau ternyata licik sehingga segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

Semuanya bermula rentetan mesyuarat yang diadakan bersama-sama dengan orang-orang bangsawan anti-British dan pengikutnya di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875, iaitu 6 bulan setelah sistem Residen diperkenalkan di Perak.

Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Raja Abdullah dan Raja Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Penglibatan Dato’ Maharajalela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W.Birch mendapat sanjungan rakyat Perak, namun terdapat tali barut dalam kalangan orang Melayu sendiri yang melaporkan kepada British tentang penglibatannya sebagai pelaku utama dalam rancangan membunuh Birch hingga beliau akhirnya ditangkap dan dibicarakan secara tidak adil oleh Mahkamah British.

Akhirnya pahlawan yang gagah berani, sanggup berkorban jiwa raga sendiri demi menegakkan maruah agama dan bangsa Perak ini dijatuhi hukuman gantung, bersama-sama Dato’ Sagor dan Seputum manakala pembesar pembesar Melayu yang lain dibuang negeri ke Pulau Sychelles.

Nama Dato’ Maharajalela sebagai pengasas kebangkitan Perak akan terus diingati dan dikenang sehingga beliau terkorban bagi mempertahankan agama, bangsa, bahasa dan negara.

Sikap dengki, iri hati dan pengkhianatan golongan bangsawan dalam kes Dato’ Maharajalela wajar sekali menyedarkan kita bahaya perpecahan yang melanda orang Melayu.

Perjuangan beliau menjadi iktibar dan semangat buat orang Melayu untuk terus bersatu mempertahankan segala yang telah diperjuangkan.

Kisah Dato’ Maharajalela sebagai mufti atau tokoh yang menegakkan kesucian agama ( Kerana ada kisah mengisahkan JWW Birch menyimpan hamba hamba perempuan Melayu di dalam kapalnya ) telah membuktikan kewujudannya bukanlah satu mitos tetapi merupakan kenyataan yang boleh dijadikan tauladan buat generasi kini, di mana kewujudan beliau telah tercatat pada tugu peringatannya.

Semoga Allah S.W.T. mengampuni semua dosa-dosa Dato’ Maharajalela dan sahabat-sahabatnya yang menentang kezaliman dan pembohongan yang dilakukan oleh si penjajah British. Semoga Dato’ Maharajalela dan rakan-rakannya ditempatkan Allah di makam terpuji dan kedudukan tertinggi di sisi Allah. Amin…

Terima Kasih Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor, Seputum dan sahabat-sahabat Tuan yang telah mengajar kami erti kemerdekaan dan perjuangan menentang kezaliman serta ketidakadilan yang memperkosa agama, bangsa dan tanahair tercinta.





.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.