Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Siam menjajah Kedah dengan tipu daya




Siam menjajah Kedah dengan tipu daya






PERANG KEDAH-SIAM

Perang Kedah - Siam meletus sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II pada kurun ke-19. Armada Siam pada waktu itu belayar ke Kuala Kedah dengan menipu untuk Kedah membantu tentera Siam mendapatkan bekalan makanan bagi menghadapi serangan tentera Burma yang sedang memerangi Siam


Orang-orang Kedah yang baik hati tidak mengetahui tujuan sebenar lawatan tentera Siam tersebut dan menyambut kedatangan armada Siam itu dengan meriah.


Sesudah berlabuh di Kedah, tentera Siam melancarkan serangan mengejut yang seterusnya melumpuhkan Kedah. Seramai 1,000 rakyat Kedah telah dijadikan tawanan perang dan dihantar sebagai buruh paksa ke Bangkok. 


Sultan Kedah terpaksa berundur ke Prai sebelum melarikan diri ke Pulau Pinang dan diberikan perlindungan oleh kerajaan negeri-negeri Selat yang ditadbir British ( British sebenarnya terdahulu memang telah mempunyai kerjasama erat dan baik dengan Siam dalam usaha British untuk menguasai Semenanjung Tanah Melayu secara beransur ansur sepenuhnya. British juga licik melaksana dasar pecah dan perintah dengan membahagikan banyak negeri negeri Melayu  ( sekarang Pattani, Songkla, Naratiwat, Yala, Satun ) yang terletak antara Segenting Kra dengan sempadan utara Negeri Perlis, Kedah, Perak, Kelantan kepada Siam dalam perjanjian Siam 1909 tanpa persetujuan dan tanpa kerelaan Raja Raja Melayu. Pecah dan perintah juga dilaksana dengan mengimport banyak pekerja dari negeri India dan Negeri China ). Kedah telah secara rasmi dijadikan jajahan takluk Siam pada tahun 1821 dan menerima pentadbiran secara langsung dari Bangkok.
( Lihat :



Penjajahan ini meletuskan beberapa siri gerakan pembebasan anjuran bangsawan-bangsawan Kedah. Serangan pertama dilancarkan pada tahun 1826 tetapi berjaya dipatahkan Siam dengan bantuan British.


Tengku Kudin melancarkan serangan lagi pada tahun 1831 dan berjaya mengalahkan Siam. Namun kemenangan ini tidak kekal dan pasukan Tengku Kudin terpaksa berundur apabila Siam melakukan serang balas dan mengambil semula kota Kuala Kedah.


Walaupun mengalami kekalahan yang berpanjangan dan sekatan daripada pihak British yang bersekongkol dengan Siam, ini tidak langsung mematahkan semangat juang Melayu Kedah.


Pada tahun 1839, setelah menyusun strategi peperangan yang mantap, angkatan Kedah menyerang balas dan berhasil mengusir Siam dari Kedah dan seterusnya membebaskan Pattani serta Songkhla dari penguasaan Siam.


Kekalahan yang memalukan ini telah menconteng arang di wajah pemerintah Siam dan satu angkatan peperangan yang besar dengan persenjataan moden dan dibantu pihak British telah dikerahkan ke Kedah. Akhirnya, Kedah telah jatuh ke tangan Siam kembali dan ditukar namanya kepada Syburi


Sultan Ahmad Tajuddin yang tidak rela negerinya mengalami nasib yang sama seperti Pattani yang telah dihapus kesultanannya, telah mencuba memperbaiki hubungannya dengan Raja Siam melalui beberapa siri perbincangan diplomatik. 


Pada tahun 1842, takhta Sultan Kedah telah dikembalikan oleh Raja Siam kepada baginda Sultan Kedah dan kesultanan Kedah kekal sehingga hari ini sebagai sebuah institusi kesultanan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.


Catatan sejarah ini menunjukkan orang-orang Melayu Kedah mempunyai semangat juang yang sangat tinggi. Jika pihak Siam tidak dibantu oleh British, berkemungkinan besar Siam tidak dengan sesenang itu dapat menjarah bumi Kedah yang berdaulat. 


( Kenapa British membantu Siam memerangi Kedah kerana Sultan Kedah telah berbaik dan meminta bantuan British sebelum itu? Ini jelas menunjukkan sikap talam dua muka pihak British dalam usaha mereka mendapatkan sepenuh penguasaan kepada Semenanjung Tanah Melayu!  )


Perjuangan menentang penjajahan ini telah dipandang tinggi oleh seorang pegawai tentera laut British, Kapten Sherard Osborn yang menyatakan:


'Seperti anjing, orang-orang tempatan di pesisir Semenanjung India menjilat tangan yang mendera mereka; tetapi tidak untuk orang Melayu; dan kita orang-orang Inggeris harus menjadi bangsa yang pertama memberi penghormatan kepada sebuah bangsa yang tidak sewenang-wenangnya tunduk kepada penjajahan dan penindasan'.





KESIMPULAN

Bermula dari kurun ke-16 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu telah secara sedikit demi sedikit dijajah oleh kuasa-kuasa luar seperti Belanda, Sepanyol, British dan juga kuasa serantau, Siam.


Biarpun dijajah dan tanahair mereka dijarah, sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa rumpun Melayu ini tidak dengan mudah menyerah tanpa sebarang penentangan. Kisah 'empat perang' yang dibincangkan ini iaitu, Perang Kedah-Siam, Perang Menteng, Perang Kastilla dan Perang Gowa telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu telah memberikan penentangan yang kuat dengan semangat juang dan jati diri yang tinggi dalam mempertahankan tanahair mereka daripada penjajahan.


Kesultanan Brunei yang masih wujud sehingga kini adalah peninggalan warisan Melayu yang boleh dibanggakan di Nusantara - walaupun telah secara sementara dijajah Sepanyol, kerajaan ini terus kekal sehingga kini sebagai sebuah negara Melayu Islam berdaulat yang merdeka.


Maka, orang-orang Melayu harus melihat sejarah episod penjajahan ini bukan sebagai suatu alasan untuk menjadi layu, tetapi sebagai suatu semangat bagi membina jati diri untuk berusaha maju ke hadapan dalam membina negara-negara rumpun Melayu yang telah merdeka, tidak kira di Malaysia, Brunei ataupun Indonesia.


Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang felo bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu




Sedikit kata:

Orang-orang Melayu adalah pelayar ulung yang telah mengembangkan pengaruh mereka di Nusantara menerusi beberapa empayar maritim yangpernah mereka terajui.


Kedatangan penjajah Barat bermula dari kurun ke-16 telah secara perlahan menghakis kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu ini sehingga akhirnya seluruh dunia Melayu terjajah.


Walaupun ditindas dan dijajah beratus tahun lamanya, sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu mempunyai semangat kebangsaan dan jati diri yang tinggi untuk menentang penjajah.


Artikel Dr Mohd Hazmi memberi fokus kepada antara empat peperangan menentang penjajahan yang terbesar dalam sejarah Nusantara iaitu Perang Kedah-Siam (di Tanah Melayu), Perang Kastilla (di Borneo), Perang Menteng (di Sumatera) dan Perang Gowa (di Sulawesi).




..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.