Bawa pulang keris
Kuala Lumpur: Pasukan Pengkaji Sejarah Universiti Putra Malaysia
(UPM) akan membawa pulang keris yang dipercayai milik Hang Tuah yang kini
berada di Okinawa, Jepun untuk kajian lanjut.
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM Dr
Rohaidah Kamaruddin berkata, keris terbabit dipercayai menjadi lambang
diplomatik antara kerajaan Melaka dan Ryukyu (Okinawa) ketika lawatan pahlawan
itu pada zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah.
Beliau berkata, keris berkenaan adalah penting untuk menunjukkan
Hang Tuah pernah ke Jepun sebagai ‘Duta’ selain membuktikan kerajaan Melaka ada
menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara lain pada masa itu.
“Saya akan bekerjasama dengan pengkaji sejarah daripada Jepun
untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keris terbabit yang belum
dipamerkan kepada umum terutama masyarakat di negara ini.
“Keris terbabit ditemui pengkaji sejarah Jepun sebelum disimpan
di muzium sebagai artifak sejarah kerajaan Ryukyu dan usaha membawa pulang
khazanah itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya, ketika dihubungi,
semalam.
Selain itu, Dr Rohaidah berkata, pasukannya juga akan membuat
kajian di Istanbul, Turki untuk melihat manuskrip berkaitan pahlawan itu yang
masih tersimpan di muzium negara terbabit.
“Saya difahamkan tiada pihak terutama pengkaji sejarah melihat
seterusnya mengkaji manuskrip berkenaan walaupun ia ada diceritakan dalam
Hikayat Hang Tuah.
“Manuskrip itu menceritakan mengenai Hang Tuah sebagai wakil
Sultan datang ke negara itu ketika pemerintahan Uthmaniyah iaitu Sultan Muhamad
Al Fateh.
“Malah, ada juga bukti yang mengatakan anak perempuan Sultan
Muhamad Al Fateh berkahwin dengan Sultan Alaudin Riayat Shah bagi
memperkukuhkan hubungan kedua-dua kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan ekspedisi Menjejaki Hang
Tuah di Goa, India, yang diketuai Dr Rohaidah berjaya menemui manuskrip
mengaitkan Hang Tuah yang pernah berkhidmat dengan kerajaan Srivijaya.
Malah, ketika ekspedisi itu,
pasukan terbabit turut berjaya menemui pelbagai artifak dipercayai milik
kerajaan Melaka yang dibawa Portugis.
Artikel ini
disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.