Total Pageviews

Saturday, 16 November 2019

Inggeris Gagal Perdaya Sultan Johor



Inggeris Gagal Perdaya Sultan Johor untuk terima Residen

Perjanjian Persahabatan Kerajaan Johor Dengan Inggeris





11 Disember 1885 – Pada tahun 1885, satu perjanjian persahabatan di antara kerajaan Johor dengan Inggeris telah ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Perjanjian itu dimeterai oleh Maharaja Abu Bakar bagi pihak kerajaan Johor dan Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Frederick Arthur Stanley, yang mewakili kerajaan Inggeris.


Dengan termaktubnya perjanjian itu negeri Johor bersetuju menerima seorang pegawai Inggeris yang berjawatan sebagai kaunselor di negeri itu. Apabila Frederick Weld dilantik menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat pada tahun 1880, beliau telah berusaha untuk meluaskan dan menguatkan lagi dasar penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu. Tumpuan perhatiannya adalah ke atas negeri Johor.


Pada tahun 1884, beliau telah mencadangkan kepada kerajaan Inggeris supaya memperbaharui dasar Inggeris ke atas negeri Johor yang merdeka dan menjalankan pemerintahan sendiri. Beliau juga mencadangkan supaya dilantik seorang Residen Inggeris untuk mentadbir negeri itu, seperti yang terdapat di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.


Maharaja Abu Bakar merasa terkejut mendengar cadangan Gabenor Federick Weld itu, lalu baginda membuat keputusan berangkat segera ke England untuk menemui Setiausaha Jajahan British di London. Pada bulan Mei, 1885 Maharaja Abu Bakar dan rombongannya tiba di London. Sepanjang rundingannya dengan kerajaan Inggeris di London, baginda telah dibantu oleh Setiausaha baginda, Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman yang fasih berbahasa Inggeris dan sungguh faham dengan tipu muslihat penjajah Inggeris.


Rundingan berjalan sehingga enam bulan dan akhirnya pada hari ini dalam tahun 1885, perjanjian persahabatan tersebut telah ditandatangani. Antara lain perjanjian itu menyatakan bahawa Johor tidak akan mencampuri urusan politik dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu yang lain dan Inggeris mengakui Maharaja Johor dan keturunan baginda sebagai waris takhta Johor. Dengan termeterainya perjanjian ini, maka terselamatlah Johor dibawah pemerintahan secara Residen.







.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.