Total Pageviews

Saturday, 16 November 2019

Usaha Menentang Inggeris di Pahang







Perang Bahaman di Pahang adalah perang yang paling besar dan luas sekilnya dalam sejarah perjuangan datok nenek kita menentang penjajah British demi membela tanahair, bangsa dan agama. Secara lahirnya perang ini telah gagal, Datok Bahaman yang memimpin perang itu dan orang2nya telah dihalau ke Chiangmai, utara Thailand, namun semangat perang itu tak pernah gagal, perjuangan2 untuk kemerdekaan diteruskan oleh generasi selanjutnya, benih patriotism yang ditaburkan dari perang itu sentiasa subur menjiwai semangat patriotik rakyat yang cintakan tanah air.


Selepas Perang Dunia Kedua, semangat itu bercambah lagi dengan berdirinya pasukan gerila Melayu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya untuk melawan kuasa penjajah British demi kemerdekaan tanan air. Semangat perang Bahaman telah menjiwai pasukan ini menjadi sebuah pasukan yang rela berputih tulang dari berputih mata. Kawasan basis Rejimen Ke-10 di sebelah menyebelah Sungai Pahang telah dinamakan sebagai Bahaman 1 dan Bahaman 2 sebagai simbolik semangat patriotik anak2 Pahang.


Seorang pemimpin Markas Besar Rejimen Ke-10 Abu Samah Mohd Kassim adalah cicit saudara Datok Bahaman manakala isteri beliau Siti Norkiah binti Mahmood Baginda juga keturunan pahlawan perang Bahaman. Abu Samah yang dalam pasukan lebih dikenali sebagai Bong Sibar sentiasa menyampaikan kisah2  perang ini kepada para perajurit untuk memperkuat tekad juang dan sumber ilham dalam perjuangan. Abu Samah banyak mendapat maklumat daripada Mat Lela, anak Datok Bahaman yang pernah bersama2 dibuang negeri ke utara Thailand. Mat Lela pulang ke Pahang setelah pemergian Datok Bahaman di utara Thailand. 


Di bawah ini adalah tulisan Abu Samah Mohd Kassim yang dilampirkan dalam bukunya SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN terbitan Nan Dao Publisher tahun 1996.







PERANG MELAWAN IMPERIALIS BRITISH YANG HENDAK MENAKLUKI NEGERI PAHANG YANG DIPIMPIN DATOK BAHAMAN



Oleh Abu Samah Mohd Kassim



Perang melawan imperialism British yang dipimpin oleh Orang Kaya Setia Perkasa atau Orang Kaya Semantan Datok Bahaman berlangsung dari tahun 1891 hingga 1895. Perang ini merupakan perang rakyat disokong dan diikutsertai oleh berbagai suku orang Melayu dan Orang Asli.


Luasnya kawasan perang itu bukan saja meliputi seluruh Negeri Pahang tetapi juga melibatkan 3 negeri yang bersempadan dengannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Selangor. 


Menurut strategi perang yang dirangka oleh Datok Bahaman pada awal tahun 1892, Pahang dibahagikan kepada 5 kawasan perang, iaitu kawasan perang Datok Bahaman meliputi kawasan Temerloh, Bentong hingga ke sempadan Selangor; kekuatan Mat Kilau di daerah Ulu Pahang; kekuatan Tok Gajah di kawasan Pulau Tawar; kekuatan Panglima Muda Jempul di daerah Pekan; dan kekuatan Sultan Ahmad di daerah Chenor.


Penyebaran penduduk Pahang yang menjadi sandaran perang ialah pertama di sebelah menyebelah aliran tebing Sungai Pahang; kedua di sepanjang aliran tebing anak2 sungai yang besar seperti Sungai Semantan, Sungai Bera, Sungai Teriang, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Jengka, Sungai Kerau dan lain2. Di sini penduduknya sangat padat. Penduduk Pahang selain daripada orang Melayu dan Orang Asli terdapat orang Minangkabau, Rawa dan Bugis yang agak ramai jumlahnya. Datok Bahaman sendiri justeru berasal dari Mengkinan, Sumatera, manakala Tok Gajah juga berasal dari Sumatera.


Datok Bahaman bin Tok Noh berasal daripada kaum tani biasa. Kerana kepahlawanan beliau yang telah menegakkan jasa2 besar dalam beberapa kali peperangan yang membawa Wan Ahmad menjadi Sultan Pahang maka Wan Ahmad telah memberikan gelaran ORANG KAYA SETIA PERKASA PAHLAWAN kepada Datok Bahaman dan diserahkan menguasai kawasan Semantan. Kawasan Semantan ketika itu termasuk sebahagian daerah Temerloh dan sebahagian daerah Bentong.


Besarnya kekuasaan tugas dan pengaruh antara pembesar2 Pahang ketika itu tidak sama. Walaupun Datok Bahaman adalah Orang Besar Berlapan, tetapi pengaruhnya melebihi Orang2 Besar Berempat. Namun beliau tidak bersikap seperti pembesar2 yang lain. Pergaulannya dengan rakyat sangat rapat. Sebab itu beliau sangat dikasihi dan dihormati rakyat.


Datok Bahaman sentiasa bergaul rapat dengan Orang Asli. Beliau menjelajahi pedalaman hutan rimba di segenap perkampungan  Orang Asli untuk mengetahui dan menyelesaikan masalah mereka. Batin2 serta anak2 buah Orang Asli sangat menyayanginya. Beliau fasih berbahasa Orang Asli. Justeru kerana sebab demikianlah dalam perang melawan British, semua Batin Orang Asli mengerahkan seluruh Orang Asli untuk memberi sokongan kepada Datok Bahaman. Bahkah 100 orang lebih Orang Asli diserahkan menjadi perajurit berperang bergandingan bahu bersama2 perajurit Melayu dalam pasukan Datok Bahaman.


Penjajah British telah mengambil sederetan langkah untuk menguasai Negeri Pahang. Jauh pada tahun 1880 - 1881, melalui Frederick Weld ia telah memainkan taktik lunaknya untuk memujuk sultan dan pembesar2 Pahang. Pada tahun 1885, Gabenor Chechil Clemente Smith pula telah mengirim rombongan yang diketuai Swettenham ke Pahang. Pada tahun 1887, Frederick Weld menghantar pegawai tingginya bersama Hugh Clifford bersama2 Wan Mansor, adik Sultan Pahang yang lari ke Singapura. Clifford telah menjalankan dasar pecah belah, mempergunakan pertentangan di kalangan pembesar2, mencampurtangani perselisihan antara saudagar2 dengan Orang Besar di daerah2 serta menghantar ramai orang British dari Singapura ke Ulu  Pahang. Pada bulan Julai 1887, Gabenor sendiri datang ke Pekan menuduh sultan melanggar perjanjian. Dengan demikian dia telah mengajukan beberapa syarat kepada sultan antaranya mendesak sultan meminta maaf, mengakui kekuasaan British ke atas Pahang serta menghantar Bahaman ke Singapura untuk berunding dan lain2.


Segala tipu helah British tersebut ditolak oleh sultan dan pembesar2 Pahang. Tapi untuk meneruskan usaha jahatnya, British telah menggunakan sesetengah kerabat diraja untuk menekan sultan. Ia juga secara kekerasan membentuk badan pentadbirannya dan melantik orang2 British menjabat majistrit di Pahang serta mengharamkan orang ramai membawa senjata seperti keris, lembing, pedang dan lain2. Ini telah menimbulkan kemarahan yang luar biasa orang2 Pahang kerana senjata2 ini adalah satu2nya simbul keberanian orang Melayu turun temurun yang tak boleh dicerai tanggalkan.


Sementara itu, Gabenor British di Singapura berusaha menundukkan Datok Bahaman di meja perundingan. Ia secara licik mengemukakan konon penjajah British ingin bersahabat dengan orang2 Pahang, membantu memajukan Pahang dan mahu membayar elaun yang besar kepada Bahaman. Usulan Gabenor itu secara tegas ditolak oleh beliau.


Datok Bahaman menyedari tentang azab sengsara yang akan menimpa rakyat dan tanah airnya jika penjajah British dibiarkan menguasai Pahang. Beliau sentiasa menasihatkan sultan supaya jangan menerima tuntutan penjajah British itu hatta biar berperang sekalipun. Di hadapan Datok Bahaman dan Tok Gajah, Sultan dan pembesar2 utama negeri pernah bersumpah menyatakan sekali2 tidak akan mengingkari janji. Dengan demikian di mata dan hati penjajah British, Bahaman adalah satu perintang terbesar yang menghalangnya menguasai Pahang. Oleh itu Bahaman perlu disingkirkan. Oleh yang demikian pada 11 Oktober tahun 1891, Majlis Mesyuarat Negeri yang dipengerusikan oleh Clifford telah memecat Datok Bahaman dari jawatannya.


Pegawai penjajah British di Temerloh telah memberitahu Bahaman tentang keputusan tersebut, tetapi Datok Bahaman telah menulis surat menyatakan bahawa beliau tidak mengakui keputusan itu dan tidak mahu mematuhi segala undang2 yang dibuat penjajah British khususnya tidak membenarkan British mengutip cukai dan hasil tanah kerana Pahang adalah negeri orang Melayu, bukan negeri orang putih, katanya. Sikap tegas Datok Bahaman telah lebih menaikkan darah penjajah British tetapi sebaliknya Datok Bahaman telah mendapat sokongan rakyat yang luas.


Walau bagaimanapun, Datok Bahaman tidak menolak cara diplomasi. Dia masih mahu berunding secara berhadap2an dengan I.A. Wise dan Sebaraw di Temerloh untuk menjelaskan perkara2 yang menggelisahkan rakyat. Pada 17 Disember 1891, Datok Bahaman dengan 50 orang rombongannya berangkat ke hilir menuju Temerloh dengan menaiki beberapa buah perahu.


Pada hari yang pertama, Sebaraw bersama pasukan tentera dan polisnya mudik ke hulu Sungai Semantan dari Temerloh dan berhenti bermalam di Batu Hampar, sebelah ulu Mentakab. Rombongan Datok Bahaman tidak tahu Sebaraw dan pasukannya mudik. Sebagaimana lazimnya, pengiring2 Datok Bahaman selalu menembak ke udara.


Dengan alasan kononnya Datok Bahaman telah mulai mencetuskan perang di Pahang, Sebaraw segera memerintahkan tenteranya menghujani tembakan ke arah perahu Datok Bahaman dan rombongannya. Tembakan2 itu telah mencederakan Mat Lela dan membunuh Ahmad ( kedua2nya anak Datok Bahaman  ).



Dentuman peluru semakin hebat, di bawah keadaan yang tak menguntungkan, Datok Bahaman memerintahkan semua orang2nya berundur. Tetapi 3 orang panglimanya yang tak dapat lagi menahan kesabaran segera menyerang balas askar2 musuh itu. Mereka membunuh mati seorang pegawai kulit putih dan 4 orang polis Sikh manakala seorang pendayung perahu musuh cedera. Peristiwa ini amat menggemparkan. Ahli2 sejarah menyebutnya sebagai “paristiwa Semantan”.



Peristiwa Semantan dengan cepat membangkitkan rakyat seluruh negeri menentang penjajah British. Tindakan membunuh orang2 kulit putih dan askar2 upahannya berlaku di sana sini. Dengan demikian banyaklah orang British dan tentera upahannya terbunuh.



Di bawah pengaruh peristiwa Semantan, di Jengka Pahang telah meletus pertempuran2 yang hebat. Panglima Datok Muda Lope bersama pengikut2nya menyerang askar2 British tak kira siang malam. Peperangan Jengka berlangsung selama 3 bulan. Mereka bertempur dengan senjata kuno dan membasmi musuh di mana sahaja mereka jumpai. Tentera penjajah British menderita kemalangan yang teruk. Mereka terpaksa mendatangkan bantuan yang jumlahnya berlipat kaliganda lebih banyak daripada kekuatan Panglima Muda Lope.



Tentera penjajah British terus menerus melakukan serangan ke atas kubu2 pertahanan pejuang2 Jengka yang bertempur bermati2an melawan tentera British itu. Malangnya Panglima Muda Lope terkena tembakan musuh dan gugur sebagai pahlawan. Pejuang2 Jengka terpaksa mengundurkan diri dari medan pertempuran.



Peristiwa Semantan juga bergolak sampai ke Selangor. Di banyak tempat telah bermunculan gerakan menyokong perang Bahaman. Pada 25 Januari 1892, orang2 Pahang di Selangor dan penduduk tempatan yang bersenjata telah muncul di Ulu Langat, Semenyih, Ulu Ampang, Batu (di sebelah atas Dusun Tua) dan tempat2 lain. Baginda Miun (Penghulu Kelang) bernama Raja Lahab (menantu Datok Bahaman) telah menyusun orang2 Minangkabau di Selangor dan menjadikan tempatnya sebagai tumpuan gerakan sulit. 


Banyak ketua daerah ada hubungan dengan Datok Bahaman melalui gerakan di Bentong. Orang2 Minangkabau dan Rawa yang menetap di sekitar sempadan Selangor – Pahang yang sudah lama berhubungan rapat dengan Datok Bahaman semakin aktif memberikan sokongan. Akan tetapi pada bulan Ogos 1892, kerana kebocoran rahsia, penjajah British telah membuang negeri Baginda Miun ke tempat asalnya iaitu Padang, Sumatera.



Sebelum peristiwa Semantan, penentangan2 terhadap penjajah British di Ulu Pahang telahpun meletus silih berganti. Selepas peristiwa itu penentangan tersebut menjadi lebih hebat lagi.



Waktu didirikan pejabat Daerah Kuala Lipis, Orang Kaya Haji Wan Daud bersama pengikut2nya telah melawan penjajah British secara kekerasan. Pegawai British memerintahkan tali barutnya menembak mati Haji Wan Daud secara rahsia. Pada pertengahan tahun 1891, penduduk2 di daerah Penjum menentang undang2 kerahan penjajah British. Pada 18 Januari 1892, seorang pegawai British telah ditembak dan seterusnya pada 6 April, 2 orang pegawai British telah dibunuh oleh orang ramai di Sungai Duri. Pada 14 April, Mat Kilau telah membawa 150 orang pengikutnya dari Budu, kemudian bergabung dengan 300 orang dari Jelai untuk menyerang Kuala Lipis, tapi rahsia terbocor. Tok Raja Jelai telah berkhianat bekerjasama dengan Clifford menggagalkan serangan itu.



Untuk menyekat pemberontakan di Ulu Pahang daripada berkembang luas, penjajah British merancang hendak menangkap dan menghukum Mat Kilau yang berumur 20 tahun itu. 



Ia menyuruh talibarutnya membunuh 5 orang Tionghua rakyat British lalu memfitnah konon Mat Kilau yang melakukan pembunuhan itu. Kemudian penjajah British menghantar satu pasukan tentera dan polis untuk menangkapnya. Ini menjadikan Tok Gajah sangat murka.



Apabila pasukan tentera dan polis musuh sampai hendak menangkap Mat KIlau pada awal bulan Mei 1892, maka Tok Gajahpun bertindak ke atas musuh itu. Perintah perang melawan penjajah Britishpun diisytiharkan oleh Tok Gajah. Perintah tersebut segera disambut oleh rakyat Budu dan Pulau Tawar khasnya dan rakyat Kuala Lipis amnya. Mereka bangkit beramai2 mengangkat senjata.



Setelah Ulu Pahang menjadi medan perang antara kaum tani yang dipimpin oleh Tok Gajah dan Mat Kilau melawan penjajah British, maka Tok Gajah dan Mat Kilaupun menyusun panglima2nya untuk memimpin perang di  berbagai tempat. Di antaranya yang terkemuka ialah Imam Perang Yusof, Tok Muda Ishak, Bilal Deris, Mat Tahjir, Pahlawan Lawi, Panglima Ali dan Tok Imam Yusof.


Setelah itu penjajah British pun menghantar askar2nya menyerang pasukan bersenjata Tok Gajah - Mat Kilau. Akan tetapi di tengah jalan askar2 itu diserang hendap oleh pasukan Tok Gajah - Mat Kilau. Banyak askar musuh yang mati. 


Menurut cerita rakyat, kain serban askar Sikh yang mati itu berkereta2 lembu banyaknya. Dalam peperangan kali ini isteri Tok Gajah bernama Che’ Jebah dengan bersenjatakan keris turut bertempur bergandingan bahu dengan suami dan anak2nya iaitu Mat Kilau, Teh Ibrahim dan Awang Nong.



Perang Tok Gajah – Mat Kilau itu hebat sekali. Kekalahan teruk yang dialami kekuatan Clifford menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan Kerajaan British. 300 orang tentera didatangkan British dari Perak dan Selangor melalui jalan Kuala Kubu. 


Apabila diketahui oleh Tok Gajah dan Mat Kilau, mereka pun segera menghantar pasukannya menyerang hendap dipertengahan jalan. Dalam serangan itu mereka telah berjaya membunuh 60 orang lebih askar British.



Kerana berturut2 menderita kekalahan di Ulu Pahang, penjajah British telah mengambil langkah untuk menakut2kan rakyat serta mengkebulurkan pasukan Tok Gajah – Mat Kilau. 


Pada 18 Mei 1892 Walker dan Clifford bersama 155 orang pegawai dan askarnya melancarkan serangan ke atas Kampung Budu dan kawasan sekitarnya lalu membakar  rumah2 dan harta benda rakyat. 


Segala tanaman dibinasakan dan binatang ternakan habis ditembak mati. Keganasan yang luar biasa kejamnya itu telah menimbulkan kemarahan yang meluap2 kaum tani. Mereka beramai2 berundur ke dalam hutan menggabungkan diri dalam pasukan Tok Gajah – Mat Kilau.



Setelah meletusnya Peristiwa Semantan pada 17 Disember 1891, Bahaman telah mengingatkan rakyat bahawa penjajah British tentu akan menyerang untuk memaksa rakyat menyerah kepadanya. Beliau lalu menyeru rakyat bersiap sedia membuat kubu dan parit.



Dalam penyusunan semula pasukannya Bahaman telah menaikkan pangkat 7 orang panglima perangnya yang utama yang sentiasa berada di sisinya. 


Mereka itu terdiri daripada pahlawan dan panglima perang yang berpengalaman. Umpamanya, Panglima Besar Majid ialah panglima lama yang kanan, sangat terkenal, banyak kali mengikut Bahaman dalam perang dan banyak menegakkan jasa. 


Begitu juga panglima2 Raja Awang Ishak, Imam Perang Yaman, Pahlawan Tayor, Tok Muda Nur, Mat Saleh dan Imam Adam. Selain itu beliau juga telah melantik beberapa orang panglima lagi untuk kawasan Temerloh, Mentakab, Karak dan Bentong bagi memimpin perang di sana.



Pada 29 Disember 1891, dengan menggunakan nama sultan, Clifford membawa Tengku Mahmud dengan 200 orang pengikutnya yang bersenjata serta 60 orang polis bangsa Sikh menyerang Datok Bahaman di Mempatih. 


Akan tetapi serangan itu gagal. Apabila sampai di Kelubi ia telah diserang secara mengejut oleh pasukan Datok Bahaman. Mengambil  kesempatan itu orang2 bersenjata pengikut Tengku Mahmud telah memberontak dan membunuh kesemua 60 orang polis Sikh itu. 


Ketika mereka hendak membunuh Clifford, mereka segera dilarang oleh Tengku Mahmud dengan berkata “jangan durhaka kepada sultan”.



Di Temerloh, Ketua Polis British Sebaraw dengan persetujuan penguasa tertinggi British telah menawarkan hadiah 1,000 ringgit kepada sesiapa yang dapat menangkap Bahaman hidup atau mati. 


Pada awal Januari tahun 1892 Sebaraw memerintahkan satu pasukan seramai tidak kurang 300 orang mudik menuju Kampung Datok Bahaman di Mempatih. 


Kedatangan askar2 musuh itu telah diketahui oleh orang ramai lalu dimaklumkan kepada Datok Bahaman.  


Beliau segera menghantar sepasukan 50 orang lebih menghendap di tepi jalan yang akan dilalui musuh itu. Mereka menyamar tubuh masing2 dengan daun nyiur yang diselitkan dipinggang. 


Beberapa das tembakan ke kiri dan ke kanan telah mereka lepaskan. 


Waktu askar musuh sedang kucar kacir bertembakan sesama sendiri, pasukan besar yang dipimpin oleh Datok Bahaman segera menyusul. Mereka menyerbu musuh dari belakang. Banyak askar musuh mati. Saki bakinya melarikan diri. 


Dengan demikian serangan pertama tentera penjajah British telah dikalahkan dan perang permulaan kaum tani mendapat kemenangan. Datok Bahaman dengan rasminya mengisytiharkan “perang rakyat melawan Inggeris bermula!”


Kejadian tersebut telah menimbulkan berbagai reaksi. Pada awal Januari 1892, pegawai2  tinggi tentera British memutuskan untuk menghantar pasukan2 dari Rejimen Ke-58 askar British ke Pahang. 


Maxwell, Setiausaha Tanah Jajahan British telah memberitahu Graigle mengirim kapal perang Hyacinth dan Plover ke Pahang dan tiba di Pekan pada 13 April 1892. 


Pegawai2 British mengakui bahawa askar2nya hanya boleh berperang di lapangan terbuka sahaja, tapi tak sesuai dengan pertempuran hutan, lebih2 lagi jika bertempur di kawasan sungai; sedangkan pasukan Datok Bahaman mempunyai taktik perang yang mengkagumkan. 


Selepas kemenangan permulaan itu pasukan Datok Bahaman di Semantan telah berkembang dari 200 orang menjadi 600 orang, termasuk Orang Asli.



Datok Bahaman mempunyai taktik2 perang yang bijak seperti taktik perang bertahan, perang perkubuan, serang hendap di darat dan sungai, serang mengejut, serang mengacip, perang medan dan lain2. Inilah cara yang digunakannya dalam menghadapi penjajah British yang merupakan kuasa penjajah terkuat di dunia pada zaman itu.



Pada awal bulan Mac 1982, Datok Bahaman telah memimpin 200 orang kekuatan bersenjatanya menawan rumah Pasung Lubuk Terua. 


Mereka berhasil membasmi 30 orang polis dan merampas 24 pucuk senapang beserta alat kelengkapan yang lain. 


Pada pertengahan bulan yang sama, Clifford dan Wise bersama Tengku Ali (anak Sultan) membawa 300 orang untuk menghukum penduduk Kampung Bolok dan Chempaka kerana menyokong Bahaman.


Mereka membakar hangus rumah2, harta benda dan tanaman rakyat. 


Walau bagaimanapun, pada akhir bulan April tahun itu, seramai 200 orang askar British yang ditempatkan di Semantan telah mengundurkan diri. 



Ini justeru kerana pasukan Bahaman telah menyekat perbekalan mereka yang dihantar melalui sungai. Dalam pengunduran, askar musuh itu banyak yang mati kerana diserang hendap oleh pasukan Datok Bahaman. 


Tak lama kemudian pasukan Datok Bahaman telah melancarkan pula satu serangan penting ke atas ibu pejabat polis Temerloh dengan membasmi banyak musuh dan merampas lebih kurang 100 pucuk senapang.



Untuk menghadapi pasukan Datok Bahaman yang mencapai kemenangan demi kemenangan itu, penjajah British telah mengubah taktiknya. 


Pada 7 Mei tahun 1892, ia telah melancarkan apa yang disebut “Gerakan Sultan Ke-2” di mana Clifford, Sultan Ahmad beserta Orang Kaya Chenor, Orang Kaya Temerloh bersama seribu pengikut Sultan  datang ke Semantan menjalankan taktik rangkap membujuk dan menyerang Datok Bahaman


Dalam tindakan ini orang2 Datok Bahaman telah dapat menawan Clifford. Akan tetapi, sultan berkali2 meminta supaya Clifford jangan dibunuh. Akhirnya ia dibebaskan oleh orang2 Datok Bahaman.



Pada pertengahan tahun 1892, 30 buah perahu berisi 300 orang askar British datang dari Temerloh untuk menyerang mempatih. 



Tetapi di Kuala Dal, Datok Bahaman sudah menyediakan 50 orang hulu balangnya yang terdiri daripada perajurit Melayu dan Orang Asli menghadang musuh. 



Mereka telah memasang berlapis2 perangkap rantai besi yang direnggang merintangi Sungai Semantan. Apabila perahu2 musuh itu melintasi saja, maka perangkap2 itupun dibingkaskan oleh perajurit2 yang berjaga di kubu masing2. Perahu2 mereka habis terbalik. 


Banyak musuh yang mati dan lemas, mana yang hidup atau tahu berenang terkena pula panah dan sumpit Orang Asli yang menunggu di tebing sungai.


Setelah semua askar British dibasmi di Kuala Dal, penjajah British menghantar pula beratus2 askar bantuannya menyerang kubu Datok Bahaman di Madah. 


Di sepanjang jalan, barisan hadapan musuh banyak yang mati dan luka diserang secara mengejut oleh pasukan gerila manakala barisan belakangnya yang merangkak2 maju dalam keletihan dihentam pula oleh pasukan yang dipimpin Datok Bahaman sendiri. 


Dalam perang itu, Tok Bah, isteri Datok Bahaman turut bertempur manakala Hasan Tahmidz ditugaskan mengetuai pemunggahan barang2 makanan dan mengundurkan kaum wanita,  kanak2 serta orang2 tua ke perkubuan garis belakang di Ulu Teris.



Setelah berperang selama 3 hari 3 malam mempertahankan kubu Madah, barulah pasukan Bahaman berunndur ke Ulu Teris. Askar2 British ikut di belakang mereka. Pertempuran Ulu Teris berlangsung selama 1 bulan, hampir 100 orang askar penjajah mati, manakala di pihak Bahaman 30 orang terkorban. Datok Bahaman berjaya memukul mundur musuh dan mempertahankan kubunya.



Di satu medan perang di selekoh Sungai Penjuring (sekarang menjadi estet Bentong), Datok Bahaman telah menghantar 6 orang panglimanya iaitu Imam Adam, Ali, Jaihati, Awang Hitam, Dali dan Amid melakukan serangan hendap ke atas 200 orang bala bantuan musuh yang didatangkan dari Selangor ke Raub. 


Sebelum musuh sampai, mereka telah mengatur batu2 besar yang dibubuh pesawat di lereng2 bukit yang curam. 


Apabila musuh tiba, tembakan dilepaskan 2, 3 das ke hadapan dan 2,3 das ke belakang. Askar2 musuh menjadi kucar kacir bertembak2an sesama sendiri. 


Akibatnya banyak yang mati dan luka2. Dalam pada itu pesawat ketul2 batu itupun ditarik, sekali lagi banyak musuh yang mati dihempap dan ditindih oleh batu2 itu. 


Kemenangan yang sangat cemerlang ini sangat menggemparkan musuh tetapi menyemangati orang ramai di daerah itu. 


Datok Bahaman sendiri telah datang ke Bukit Lengkong mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan itu. 


Kekalahan musuh yang sangat teruk itu menyebabkan pegawai tingginya tepaksa meminta bantuan dari Singapura.


Apabila Datok Bahaman mengetahui penjajah British telah mendatangkan  bantuannya dari Singapura, beliau telah menghantar pasukan yang dipimpin Panglima Imam Adam menggali kubu di Bukit Surau bagi menghentam musuh yang datang dari Selangor mengikut Genting Sempah. 


Tak berapa lama datanglah Syed Manshor (pengkhianat perang Raja Mahadi) membawa 500 orang askar musuh yang diketuai oleh Pemangku Residen British untuk Selangor bersama dengan ketua polis Selangor. 


Musuh2 betul2 melintasi perkubuan Bukit Surau. Sejurus kemudian pertempuran berlaku dengan hebatnya. Dalam pertempuran ini Panglima Imam Adam telah terkena tembakan musuh. Beliau terkorban dengan mulianya. Dengan demikian perkubuan Bukit Surau dapat ditawan musuh. Pasukan Imam Adam berundur ke Bukit Sawa.



Kerana mencapai kemenangan, Syed Manshor yang sangat gembira itu telah membawa askar musuh mara ke Bukit Kepung (sekarang ini menjadi rumah persinggahan Bentong). 


Setelah mengetahui musuh berkhemah di sana, Datok Bahaman segera memerintahkan pasukannya yang terdiri daripada orang Melayu dan Orang Asli melakukan serangan balas. 


Semua Orang Asli di sekitar situ diperintahkan oleh batin2 mereka berkumpul di Bentong untuk membantu serangan balas itu. Pada hari pertama, perajurit Orang Asli saja telah berjaya membunuh 9 orang musuh dengan sumpit dan panah. Peperangan berlangsung selama 10 hari. Menurut pihak Bahaman, musuh yang mati berjumlah 200 orang. Pasukan Bahaman terus menerus menyerang saki baki tentera British hingga mereka hampir2 habis dibasmi.



Di perkubuan Sungai Pelek, Datok Bahaman telah menyusun semula pasukannya menjadi 2 bahagian iaitu berperang dan bahagian penyelamat. 


Pertempuran membela kubu itu berlangsung dengan sengitnya. Dalam pertempuran itu 18 orang musuh mati manakala di pihak Datok Bahaman 5 orang terkorban. 


Dalam perlawanan ini, Tok Bah, isteri Datok Bahaman dengan bersenjatakan sundang sekali lagi turut bertempur berhadap2an dengan musuh. 


Beliau memakai pakaian lelaki. Manakala Datok Bahaman sentiasa memakai cawat, hampir menyerupai Orang Asli. 


Tubuh badan dan kepalanya dipenuhi dengan akar dan daun ribu2, sedangkan belakangnya menggalas ambung yang penuh berisi lembing.



Musuh yang tak berdaya menawan kubu Sungai Pelek terpaksa mengundurkan diri. Dalam pengunduran itu ia telah membakar dan membinasakan segala harta benda dan rumah rakyat. Ini menyebabkan kehidupan rakyat dan pasukan Datok Bahaman menghadapi kesukaran. 


Untuk menghindarkan kelaparan Datok Bahaman telah menghantar sebahagian pasukan penyelamatnya mengangkut perbekalan dari Selangor.



Dalam keadaan pihak Datok Bahaman menghadapi kesukaran perbekalan, penjajah British terus melakukan serangan hebat di beberapa tempat seperti Benus, Ulu Janin, Jerguh, Cheka dan lain2. 


Walau bagaimanapun pasukan2 Datok Bahaman terus bertempur dengan sengitnya. Di Benus, 200 orang perajurit yang dipimpin oleh Panglima Tok Muda Nur dan Pahlawan Tayor melawan serangan 500 orang askar musuh. 


Di Ulu Janin, Pahlawan Mat Saleh (adik ipar Datok Bahaman) gugur dalam pertempuran perkubuannya. 


Di anak Sungai Cheka, pasukan yang dibawa Datok Bahaman sendiri bertempur selama 1 bulan tanpa reda2nya. 


Pada 20 Julai 1892 beliau telah menyerang pasukan Fleming di Kuala Cheka. Pertempuran berlaku selama 5 jam dan berhasil membunuh Fleming serta ramai askarnya. 


Walaupun ramai musuh yang mati, tetapi bantuannya tak putus2 didatangkan. Oleh yang demikian Datok Bahaman memerintahkan panglima2nya di berbagai kawasan medan perang agar mengundurkan pasukan masing2 ke suatu tempat yang ditentukan.


Pada bulan Ogos 1892 kedua2 pasukan bersenjata kaum tani yang masing2 dipimpin oleh Datok Bahaman dan Tok Gajah – Mat Kilau telah mengadakan pergabungan di Tembeling. 


Pasukan2 ini telah disambut oleh orang Tembeling dan sekitarnya dengan penuh kehormatan. Mereka diberi berbagai alat keperluan serta ramai pula yang ikut mencampuri pasukan untuk melawan penjajah British. Penggabungan ini telah menambah kekuatan pasukan Datok Bahaman dan sangat menakutkan musuh.

Tak lama selepas penggabungan kedua2 pasukan itu tentera penjajah British yang dipimpin oleh Wise 3 beradik melakukan serangan ke atas perkubuan angkatan gabungan yang dipimpin Datok Bahaman di Jeram Ampai. Ketika itu kekuatan beliau 500 orang, tak termasuk perajurit baru dari Tembeling. Pertempuran yang masyhur itu berlaku selama 3 hari 3 malam. Banyak askar musuh termasuk pengarahnya telah dibasmi. Pada hari pertama saja, Mat Kilau sendiri telah membunuh 20 orang lebih askar musuh. Di pihak Bahaman 10 orang telah terkorban. 



Setelah pertempuran Jeram Ampai tamat, pasukan Datok Bahaman dengan pantas beralih ke Bukit Kor, Batu Balai untuk melakukan serang hendap ke atas musuh yang  lari keluar. Hasilnya banyak askar musuh yang mati dan luka2. Oleh yang demikian penjajah British sekali lagi ditimpa kerugian berat.



Walaupun pasukan Datok Bahaman telah berperang dengan gagah berani dan dapat membunuh ramai musuh di setiap medan pertepuran, akan tetapi ditilik dari keadaan seluruh medan perang penjajah British lebih unggul. 


Ia berupaya menambah bala bantuan dan senjatanya terus menerus serta masih mampu manawan perkubuan Datok Bahaman. 


Sedangkan pasukan Datok Bahaman menghadapi kesukaran perbekalan, penambahan perajurit baru dan pengkhianatan oleh pembesar2 yang dirasuah British


Dalam keadaan demikian, Imam Perang Yusof telah mengusulkan agar pasukan berundur keluar dari Pahang. Usulan ini dipersetujui oleh Datok Bahaman, Tok Gajah dan lain2 panglima. Tak lama kemudian mereka pun berundur ke sempadan Pahang – Kelantan – Terengganu untuk mendirikan pangkalan perang yang baru bagi meneruskan peperangan selanjutnya. Ketibaan 500 orang pasukan Datok Bahaman di Ulu Kelantan telah mendapat sambutan hangat orang Melayu dan Orang Asli di sana.



Sungguhpun Datok Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan pasukan2 mereka telah berundur dari Pahang tetapi penjajah British tetap berpendapat selagi mereka tidak dibasmi ancaman terhadapnya tetap ada. 


Maka itu penjajah British telah menyusupkan ejen2nya ke kawasan tempat pasukan Datok Bahaman berada. Di Ulu Kelantan, ejen2 British telah menyusun beberapa pertempuran menyerang pasukan Datok Bahaman, tapi serangan2 tersebut dapat dipatahkan dengan mudahnya. Dalam pertempuran itu banyak ejen musuh telah ditawan, tetapi kemudian mereka diampunkan.



Kerana gagal membasmi pemimpin2 dan pasukan Datok Bahaman dengan kekerasan, musuh dengan menggunakan ejen2nya telah melakukan siasat yang lebih keji lagi. 


Mereka mengadakan jamuan kononnya untuk mengucapkan terima kasih atas pengampunan dan budi baik Datok Bahaman membebaskan mereka, tapi sebenarnya mereka bermaksud hendak meracuni Datok Bahaman dan lain2. Akibatnya Tok Gajah dan Mat Kilau telah terkena racun, Mat Kilau meninggal dunia tetapi Tok Gajah dapat diselamatkan.



Dari Ulu Kelantan, Datok Bahaman dan orang2nya telah beredar ke Kuala Terengganu. Di sana Datok Bahaman telah disambut sebagai pahlawan. 


Beliau telah mendapat sokongan kuat seorang ulama besar yang luas pengaruhnya bernama Tuan Syed Abdul Rahman atau Tok Ku Paloh (guru kepada Haji Abdul Rahman Limbong - pemimpin perang tani Terengganu). 


Tok Ku tersebut telah mengizinkan Datok Bahaman menjadikan Paloh sebagai markasnya. Datok Bahaman juga telah ditawarkan ratusan orang bakal tentera termasuk beberapa orang panglima, di antaranya Panglima Mat Kelubi untuk menyerang balas ke Pahang. Selain itu beliau juga mendapat bantuan bekalan, senjata dan peluru daripada Tok Ku Paloh.



Pada bulan Jun 1894, pasukan Datok Bahaman kembali ke Pahang dan melancarkan serangan ke atas perkubuan musuh di Jeram Ampai, Ulu Tembeling.


Setelah berjaya menduduki Ulu Tembeling pasukan Datok Bahaman mara dan menduduki pula Kuala Tembeling serta Kedondong dan tempat2  lain. 


Di bawah situasi yang baik ini banyak pembesar yang sudah berkhianat itu khasnya Tok Raja Jelai dan Panglima Garang Yusof di bawah suruhan British telah menjalankan taktik rangkapnya. Di satu segi mereka berpura2 memberikan kerjasama kepada Bahaman – Tok Gajah; di segi yang lain, mereka membuat persiapan menunggu ketibaan bantuan British untuk melancarkan serangan balas secara besar2an.



Kerana penjajah British gagal mengalahkan Datok Bahaman di medan perang, ia telah menggunakan pujukan dan ancaman memaksa Sultan Ahmad mengadakan perjumpaan dengan Bahaman


Ketika itu pasukan kaum tani yang dipimpin Bahaman sudah dapat bertapak semula di kawasan yang luas yang memungkinkannya mencapai kemenangan di seluruh negeri. 


Akan tetapi, selepas perjumpaan dengan Sultan Ahmad itu Datok Bahaman telah mengubah taktiknya. 


Beliau telah mengeluarkan perintah kepada pasukan2nya supaya mengundurkan diri dari kawasan2 yang dikuasainya itu. Beliau kemudian telah membawa pasukan itu sekali lagi menuju ke Terengganu.



Setelah pasukan Datok Bahaman kembali ke Terengganu, melalui Kerajaan Siam, penjajah British secara licik telah memaksa sultan Terengganu mengusir Datok Bahaman dan pasukannya. Pada masa itu Tok Gajah telahpun meninggal dunia.



Datok Bahaman telah beredar pula ke Kelantan. Sebelum bertolak ia telah menghimpunkan orang2nya termasuk Orang Asli. Beliau telah mengizinkan mereka mengambil keputusan masing2 sama ada hendak pulang ke Pahang atau tinggal terus di Terengganu mengikutinya. 200 orang pengikutnya tidak mahu berpisah dengan beliau dan telah pergi ke Kelantan bersamanya.



Sesampainya Datok Bahaman di Kelantan, penjajah British memaksa pula Kerajaan Siam dan Sultan Kelantan supaya membuang negeri Datok Bahaman ke Siam. Akibatnya, pada bulan November 1895, Datok Bahaman dan kira2 60 orang pengikutnya telah dibuang negeri ke Chiangmai, Siam Utara. Setelah Datok Bahaman meninggal dunia di sana, pada tahun 1913 barulah Mat Lela, anak beliau bersama 11 orang lagi kembali ke  Pahang, tanah tumpah darah mereka.



Sungguhpun perang Bahaman yang termasyhur dalam sejarah perang tani itu telah gagal, tetapi erti penting dan pengaruhnya amat besar. 


Lembaran sejarah cemerlang yang ditulis dengan darah perwira2 itu selamanya menyemangati rakyat Pahang dan rakyat seluruh negara maju dengan gagah berani demi kemerdekaan tanah air. 


Semangat dan tindakan mereka yang patriotik itu menunjukkan watak luhur rakyat negara kita yang lebih rela berputih tulang daripada menjadi hamba imperialism.


Mengenangi dan mempelajari kisah2 gemilang perjuangan mulia melawan imperialism British yang hendak menakluki negeri Pahang yang dipimpin oleh nenek saya Datok Bahaman bin Tok Noh inilah yang telah mengilhamkan saya mewarisi tradisinya dengan menyambung cita2 wawasannya bangkit berjuang melawan pendudukan imperialism British demi untuk kemerdekaan dan pembebasan bangsa, agama dan tanah air kita yang tercinta!



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.