Apa Jadi Dengan Umat Islam di India Sekarang?
1. Rakyat Malaysia digesa membatalkan sebarang
rancangan perjalanan atau percutian ke India dengan segera susulan bantahan
besar-besaran terhadap tindakan rejim ekstremis Hindu di sana yang mengharamkan
kewarganegaraan kepada umat Islam yang berhijrah dari Bangladesh, Afghanistan,
dan Pakistan.
2. Undang-undang tercela ke atas umat Islam ini hadir
kurang beberapa bulan selepas rejim ekstremis Hindu India ini menghapuskan
autonomi wilayah majoriti Islam Kashmir.
3. Ia juga hadir tidak lama selepas nama wilayah
‘Allahabad’ di Uttar Pradesh secara rasminya ditukar kepada ‘Prayagraj’ susulan
rejim parti ekstremis Hindu BJP berkuasa.
4. 100 juta umat Islam India membantah keras
undang-undang diskriminasi yang dijangka akan memberi impak negatif ke atas
masa depan kewarganegaraan mereka sendiri, di samping impak imbangan demografi
mereka.
5. Rejim ekstremis Hindu India bertindak membunuh
sembilan orang Islam yang tidak berdosa dan menyerang universiti serta
menceroboh kawasan masjid bagi menahan beratus-ratus orang semata-mata kerana
mereka menentang undang-undang zalim ini. Angka ini tidak termasuk angka tidak
rasmi yang tidak dilaporkan.
6. Undang-undang ini merupakan pindaan kepada Akta
Kewarganegaraan 1955 India. Bertentangan dengan prinsip India yang kononnya
ditubuhkan sebagai republik sekular, pindaan undang-undang yang diluluskan parti
BJP India pada 12 Disember lalu menjadikan ‘agama’ sebagai asas
kewarganegaraan.
7. Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang baru ini
hanya memberi kewarganegaraan kepada golongan beragama Hindu, Sikh, Buddha,
Jains, Parsis dan Kristian dari Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan. Mereka
yang beragama Islam diharamkan.
8. Secara tersirat, rancangan rejim Hindu ekstremis
India pimpinan Narendra Modi ini sebenarnya berusaha untuk menjadikan India
sebagai ‘negara Hindu’ (Hindu Nation), sama seperti mana sahabat baik Modi
iaitu Benjamin Netanyahu yang mengisytiharkan Israel sebagai ‘negara Yahudi’
(Jewish Nation).
9. Hal ini demikian kerana jumlah penganut Hindu dari
Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan adalah yang paling ramai bakal diberi
kewarganegaraan India selepas Akta ini diluluskan.
10. Para aparatus rejim India bertindak melepaskan
tembakan rambang di banyak tempat, dan seperti mana tindakan mereka ke atas
wilayah Kashmir beberapa bulan lalu, perintah darurat telah dikuatkuasakan.
11. New Delhi, Mumbai, Uttar Pradesh, Karnataka,
Bengaluru, Lucknow, Mangaluru, Gujerat, Assam, dan lain-lain semuanya
menyaksikan kebangkitan bantahan raksasa umat Islam.
12. Tindakan India mutakhir ini jelas menunjukkan
bahawa rejim ekstremis Hindu BJP cuba menggabungkan kaedah rejim Zionis Israel
dengan rejim Komunis China.
13. Seperti mana Zionis Israel cuba mengepung Gaza dan
Palestin melalui kaedah perundangan dan ketenteraan serta petempatan haram
Yahudi Zionis, begitu juga India cuba lakukan ke atas wilayah Kashmir dan
sekatan kewarganegaraan orang Islam India.
14. Seperti mana Komunis China cuba mengubah demografi
umat Islam Turkistan Timur (Xinjiang) dengan mewujudkan kem-kem tahanan bersaiz
raksasa, begitu juga India cuba lakukan ke atas 1.9 juta umat Islam di wilayah
Assam atas dakwaan sebagai ‘pendatang haram’ susulan undang-undang
kewarganegaraan zalim yang mereka luluskan.
15. Narendra Modi ialah Perdana Menteri India pertama
yang melakukan kunjungan negara ke Israel pada Julai 2017. Netanyahu membalas
dengan kunjungan ke India pada Januari 2018. Kedua-dua negara menaikkan taraf
hubungan mereka kepada ‘kerjasama strategik’.
16. India mengimport pelbagai persenjataan dari Israel
meliputi pesawat, sistem pertahanan, peluru berpandu, dan juga radar.
17. Data SIPRI Arms Transfer Database menunjukkan
bahawa di bawah rejim Modi sahaja, India telah membuat tempahan import
persenjataan dari Israel seperti berikut: UAV Heron bernilai lebih USD 200
juta, 131 unit peluru berpandu SAM Barak-1 bernilai USD72 juta, dan juga 2 unit
sensor AWACS EL/M 2075 Phalcon bernilai USD800 juta.
18. India diketahui menggunakan persenjataan yang
diperoleh dari Israel ke atas seterunya di Asia Selatan sejak 1949, iaitu
Pakistan.
19. Kezaliman India ke atas umat Islam Kashmir,
diikuti dengan penafian hak kewarganegaraan orang Islam yang berasal dari
Bangladesh, Afghanistan, dan Pakistan serta usaha menghapuskan warisan Islam di
bumi India – meletakkan rejim ekstremis Hindu India hari ini sebaris dengan
rejim Zionis Israel dan rejim Komunis China yang perlu dihadapi dengan tegas
oleh seluruh umat Islam.
Oleh: Abdul
Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.