Bongkar fakta tersembunyi
Kuala Lumpur: Sarjana tempatan perlu ke luar negara membuat
kajian terperinci mengenai Laksamana Hang Tuah untuk membuktikan kewujudan
pahlawan Melayu itu berdasarkan fakta ‘tersembunyi’ di seluruh dunia, sekali
gus menolak dakwaan ia hanya mitos.
Pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata,
walaupun sering diberitahu sejarah negara banyak tersimpan di luar negara,
namun tidak ramai sarjana tempatan yang sanggup dan berpeluang membuat kajian
di sana disebabkan kekangan bahasa serta kewangan.
“Kerajaan perlu memberi geran dan galakan kepada sarjana
tempatan untuk membuat kajian lanjut mengenai sejarah negara termasuk catatan
berkaitan Laksamana Hang Tuah yang banyak tersimpan di luar negara.
“Negara kita agak ketinggalan dari segi sejarah dan geografi
berbanding negara maju lain kerana ada beranggapan ia tidak penting, sedangkan ia
tunjang jati diri kita untuk menyemai semangat patriotik dan sebab itu kita
tengok golongan muda kini ramai tidak sedar kepentingan sejarah serta asal usul
mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mengulas lanjut mengenai kesahihan kewujudan Laksamana Hang
Tuah, Khoo berkata, masyarakat tidak boleh bergantung kepada hikayat
semata-mata dan memerlukan bahan bukti yang boleh diuji bagi menentukan
kebenarannya.
“Kita perlu ada bukti rekod sezaman yang boleh diterima bagi
membuktikan kewujudan Laksamana Hang Tuah, jadi sarjana tempatan perlu ke luar
negara membuat kajian ini kerana manuskrip mengenai sejarah negara banyak
tersimpan di serata dunia.
“Setakat yang saya tahu, bahan mengenai Laksamana Hang Tuah ada
juga di New Delhi, India tetapi tidak ada sarjana tempatan pergi ke sana
membuat kajian.
“Di China pula, ada disebut seorang laksamana Melayu pernah ke
sana dan besar kemungkinan merujuk kepada Hang Tuah,” katanya.
Beliau berkata, penyelidikan di dalam negara sahaja tidak
mencukupi kerana ia bergantung kepada sumber lisan dan buku sejarah yang tidak
lengkap seperti tiada tarikh berbanding manuskrip luar negara yang ditulis
dengan teliti serta lengkap termasuk ada tersimpan rapi di perpustakaan utama
dunia.
Baru-baru ini, dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM)
menemukan tiga sumber utama untuk membuktikan kewujudan pahlawan Melaka,
Laksamana Hang Tuah sebagai satu sejarah dan bukan kisah dongeng.
Profesor Linguistik Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Pensyarah
Kanan Jabatan Bahasa Melayu dari fakulti sama Dr Rohaidah Kamaruddin menemui
satu dokumen dan satu artifak diterima daripada kerajaan Ryukyu (kini Okinawa)
di Jepun serta satu dokumen dari Portugal.
Artikel ini
disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015
Antara yang paling zalim sekali adalah mereka yang menghapuskan pengetahuan dan kesan kesan sejarah lama dengan merobohkan bangunan bangunan lama, memusnahkan buku buku sejarah kita. Dan ada pula yang tergamak menulis buku fitnah dengan mengatakan otak Melayu berharga < 50 sen! Justeru buku buku sejarah wajib dibetulkan semula iaitu ditulis dengan yang betul bahawasanya bangsa Melayu adalah bangsa yang hebat, pelayar yang hebat, pahlawan yang hebat, kreatif membina perkara besar seperti kapal dan istana tanpa menggunakan paku dsbnya.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.