Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Kerja keras cari bukti



Kerja keras cari bukti







Kuala Lumpur: Masyarakat Melayu memegang teguh pendirian bahawa Laksamana Hang Tuah wujud dalam sejarah, malah menjadi lambang keberanian, kesetiaan, dan semangat setia kawan kepada mereka sejak dulu lagi.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, walaupun kisah pahlawan itu dianggap dongeng atau mitos oleh sesetengah pihak, namun bagi masyarakat Melayu, ia ternyata benar dan wujud.
Beliau berkata, sejak dulu lagi, masyarakat Melayu percaya terhadap cerita yang tertulis dalam Hikayat Melayu dan Hikayat Hang Tuah (HTT) sebagai bahan sejarah yang menggambarkan keperibadian dan kebolehan pahlawan itu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Pengkaji sejarah lebih mementingkan bukti nyata dan jelas seperti arkeologi, artifak atau manuskrip mengenai pahlawan Melayu itu sebelum mengesahkan ia benar atau sebaliknya manakala cerita dari mulut ke mulut pula bukan sumber sejarah.
“Namun, bagi masyarakat Melayu, setiap cerita yang diperturunkan sejak dulu itu adalah benar yang diperoleh daripada individu tertentu yang berkait rapat dengan tokoh atau pahlawan dulu,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, tidak menjadi masalah jika masyarakat Melayu terus mempercayai kewujudan pahlawan berkenaan kerana ia boleh dijadikan contoh atau teladan untuk diangkat sebagai tokoh berwibawa sejak dulu.
“Setiap masyarakat ada hero masing-masing yang hebat dan terkenal termasuk Melayu ada tokohnya sendiri iaitu Hang Tuah yang cukup dikenali semua lapisan umur.
“Susah untuk buktikan kewujudan Hang Tuah kerana tiada sumber yang lengkap dan kukuh, namun bagi saya, pahlawan itu ada, cuma memerlukan kerja keras untuk membuktikannya,” katanya.
Beliau juga memahami kekangan dihadapi pengkaji sejarah dan ahli akademik dalam mencari sumber utama berkaitan pahlawan itu yang memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk memperolehnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.