Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Negeri Bersekutu & Tidak Bersekutu






Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 
&
Tidak Bersekutu






Pengenalan

Negeri-negeri Melayu Bersekutu merupakan gabungan 4 buah negeri di Tanah Melayu iaitu Perak, Negeri sembilan, Selangor dan Pahang yang telah disatukan dalam satu pentadbiran berpusat. Pentadbiran ini juga dikenali sebagai Persekutuan 1896.

Idea awal penubuhan persekutuan ini telah dikemukakan oleh Sir Frederick Weld. Walaupun idea ini ditolak namun terus diusulkan sehinggalah Frank Swettenham berjaya mendapat persetujuan daripada keempat-empat sultan untuk menerima pembentukan persekutuan ini.

Idea penubuhan persekutuan dikemukakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith menghantar laporan kepada Pejabat Tanah Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Dalam laporan itu, beliau menegaskan penubuhan persekutuan akan menguntungkan British dan negeri tersebut dari segi politik, ekonomi dan sosial. 

Frank Swettenham mengambil inisiatif dengan mendapatkan persetujuan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terhadap penubuhan persekutuan. Pada 1 Julai 1895, Sultan tersebut menandatangani perjanjian persekutuan. Pada 1 Julai 1896, Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan semasa Sir Charles Mitchell menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat.

Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai benderanya yang tersendiri sehinggalah tahun 1946. Bendera itu mempunyai empat jalur yang terdiri daripada empat warna berbeza; mengikut turutan daripada atas ke bawah iaitu putih, merah, kuning, dan hitam. Gabungan mana-mana warna terbabit dapat membentuk warna untuk negeri-negeri terlibat; merah, hitam dan kuning untuk Negeri Sembilan; putih dan hitam untuk Pahang; hitam, putih dan kuning untuk Perak; dan merah dan kuning untuk Selangor.

Faktor-faktor Penubuhan NNMB

1. Kedudukan Negeri Pahang
  • Pada mulanya Inggeris berkeyakinan  bahawa Pahang mempunyai potensi yang baik dari segi ekonomi. Setelah memperkenalkan sistem residen pada tahun 1888 di Pahang , Inggeris mengalami krisis kewangan sejak tahun 1890-an.
  • Pada tahun 1892 Pahang terpaksa membuat pinjaman kepada negeri-negeri Selat. Keadaan bertambah buruk apabila berlaku pemberontakan Pahang oleh Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau untuk menentang Inggeris yang mernambahkan lagi beban kewangan Pahang.
  • Dalam keadaan terdesak, Kerajaan Inggeris perlu membuat keputusan sama ada hendak mengundurkan diri dari pahang atau sebaliknya. Demi memelihara maruah dan maartabat Inggeris , Pahang perlu dipertahankan melalui cadangan pembentukan persekutuan untuk mengatasi masalah kewangan negeri ini.

2. Kawalan Kuasa residen
  • Di bawah Sistem residen, Residen menjadi terlalu berkuasa di negeri-negeri masing-masing. Sultan hanya simbol semata-mata dan bertindak sebagai pemerintah boneka. Kesukaran sistem perhubungan menjadikan Residen semakin berani menguatkan kuasa mereka. Kuasa Residen yang keterlaluan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar-pembesar Melayu.
  • Justeru, Frank swettenham mengesyorkan supaya jawatan Residen Jeneral diwujudkan bagi menyelaraskan tugas keempat-empat buah negeri Melayu di bawah Sistem Residen

3. Kecekapan dan keseragaman pentadbiran
  •          Di bawah pemerintahan Sistem Residen, pentadbiran kempat-empat buah negeri diasingkan dan ditadbirkan oleh empat orang residen yang berlainan.Hasilnya wujud ketidakseragaman pentadbiran di Negeri-negeri di Tanah Melayu. Residen menumpukan perhatian di negeri-negeri masing-masing.
  •          Frank Swettenham mencadangkan penyatuan Negeri-negeri Melayu bagi mengatasi ketidakseragaman pentadbiran. Melalui pembentukan persekutuan, Inggeris dapat menambahkan kecekapan pentadbiran serta dapat memajukan pembangunan sosioekonomi secara menyeluruh dan bersepadu di keempat-empat buah negeri
  •          Pembentukan persekutuan ini juga diharapkan mewujudkan keseragaman pentadbiran, kerjasama antara negeri untuk memajukan sistem pengangkutan yang pastinya menguntungkan Inggeris kerana memudahkan usaha membawa hasil ekonomi ke pelabuhan untuk dieksport.

4. Faktor keselamatan
  •          Pihak Inggeris menyedari bahawa Persekutuan adalah perlu bagi membentuk satu pasukan tentera bersama melindungi Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. Sebelum ini kekacauan yang berlaku di Tanah Melayu ditangani dengan terpaksa mendapatkan bantuan dari Singapura, Hong Kong dan India.
  •          Melalui pembentukan persekutuan, kekuatan angkatan tentera dapat diwujudkan dengan adanya gabungan keempat-empat buah negeri. Dengan memiliki angkatan tentera yang besar dan kuat, Inggeris bertambah yakin untuk mengatasi sebarang kemungkinan berkaitan kekacauan di Negeri-negeri Melayu tanpa bantuan dari negara luar.

5. 
Faktor ekonomi
  •          Kegagalam Sistem Residen memajukan dan mempelbagaikan sumber ekonomi di sesebuah negeri telah memberi peluang yang lebih luas kepada orang-orang Cina untuk mengeksploitasi kekayaan ekonomi di Negeri-negeri Melayu. Justeru, perlaksanaan Sistem Residen lebih menguntungkan orang Cina berbanding orang Inggeris.
  •          Bertitik tolak daripada pengalaman tersebut, maka pembentukan sebuah persekutuan amat penting bagi mewujudkan keseimbangan kemajuan ekonomi dan menarik kehadiran pelabur-pelabur Eropah ke Negeri-Negeri Melayu. Kemasukan pelabur Eropah secara beramai-ramai dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi secara berskala besar.

6. Memperluaskan Sistem perhubungan
  •          Di setiap negeri, Residen, membina jalan raya dan keretapi untuk negerinya sahaja. Tiada usaha untuk menghubungkan jalan raya dan jalan keretapi di antara keempat-empat buah negeri itu. Lantaran itu adalah sukar bagi residen membincangkan perkara-perkara penting antara satu sama lain.
  •          Oleh itu dengan penubuhan persekutuan, sistem perhubungan dapat dimajukan antara Negeri-negeri Melayu bagi memudahkan usaha-usaha menyelaras sistem pengurusan di negeri-negeri tersebut.

7. Dasar Kerajaan Inggeris
  •          Pada akhir abad ke-19, Inggeris mula menggalakkan penyatuan terhadap negeri-negeri yang terletak di bawah perlindungannya. Pembentukan sebuah persekutuan didiorong oleh hasrat dan dasar Inggeris yang ingin menyatukan negeri-negeri kecil di tanah jajahan mereka. Matlamatnya ialah untuk memudahkan usaha mengeksploitasi sumber kekayaan negeri agar ianya dapat dikumpulkan dan diagihkan secara sama rata bagi faedah semua.
  •          Selain itu, usaha penyatuan memperlihatkan dasar Inggeris  yang cuba mengurangkan kos pentadbiran, mewujudkan kestabilan ekonomi dan menambahkan kecekapan dalam pemerintahannya. Ini menjadi dasar Inggeris untuk memperlihatkan kejayaan perlaksanaan dasar ini di tanah jajahannya di Australia, Afrika selatan, Amerika Utara dan Kanada

 Syarat-syarat perjanjian persekutuan


1.        Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan digabungkan sebagai persekutuan yang dikenali sebagai “Ngeri-negeri Melayu Bersekutu”. Persekutuan menjadi negeri lindungan British di mana hal ehwalnya dikuasai oleh British.
2.        Perjanjian ini mengesahkan semua perjanjian yang ditandatangani di antara keempat-empat negeri itu.
3.        Kuasa Sultan hanya terhad ke atas negeri tersebut. Sultan tidak boleh mengadakan hubungan dengan kuasa lain tanpa kebenaran British.
4.        Persekutuan diketuai oleh Residen Jeneral.
5.        Gabenor Negeri-negeri Selat dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan.
6.        Residen akan menjalankan pentadbiran mengikut arahan kerajaan pusat.
7.        Beberapa jabatan persekutuan akan ditubuhkan.
8.        Kuala Lumpur menjadi ibu negeri.
9.        Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menubuhkan pasukan tentera untuk menjaga keamanan persekutuan dan Negeri-negeri Selat jika diperlukan.
10.    Kerjasama antara negeri akan dijalankan dalam politik, ekonomi dan sosial.
11.    Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi digubal oleh pegawai persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang.
12.    Majlis Mesyuarat Raja-raja akan ditubuhkan.
13.    Majlis Mesyuarat Persekutuan yang menjadi badan pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan ditubuhkan.
14.    Tiada syarat dalam perjanjian ini yang bertujuan mengurangkan kekuasaan dan kewibawaan Sultan.
 
Kesan-kesan

1.      Politik

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjaya mewujudkan keseragaman dan kecekapan pentadbiran di seluruh persekutuan. Keamanan dan peraturan yang stabil dan menyeluruh berjaya diwujudkan di seluruh persekutuan. Perkara yang berkaitan dengan persekutuan seperti sistem pentadbiran, cukai, keadilan, Undang-undang Tanah dapat disatu dan diselaraskan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahan kerajaan pusat, khususnya arahan Residen Jeneral yang mengenai persekutan. Bagi memudahkan pentadbiran, beberapa jabatan seperti kewangan, polism kastam, perhutanan, hal-ehwal orang Cina, kerja raya, keretapi ditubuhkan. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan Residen Jeneral muncul sebagai orang paling berkuasa dalam persekutuan kerana semua urusan pentadbiran dijalankan atas arahannya. Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri tidak dapat mengawal kuasanya. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri. Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan juga tidak dapat mengawal kuasa Residen Jeneral kerana beliau berada di Singapura untuk mentadbir Negeri-negeri Selat. Selain itu, sudah menjadi kecenderungan Residen Jeneral menjalankan pentadbiran tanpa merujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi. Majlis Mesyuarat Persekutuan yang diharap mengawal kuasa Residen Jeneral tidak ditubuhkan sehingga tahun 1909.
Penubuhan persekutuan juga menyebabkan Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran. Kuasa Sultan hanya dalam hal-ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Residen tidak lagi bebas menjalankan pentadbiran negeri kerana mereka tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral. Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan fungsi sebagai institusi pentadbiran. Majlis Mesyuarat Negeri diberi kuasa meluluskan undang-undang tetapi undang-undang digubal oleh Pegawai Persekutuan yang dikenali sebagai Penasihat Undang-undang. Majlis Mesyuarat Negeri tiada kuasa pembatal dan terpaksa meluluskan undang-undang yang dipersetujui.
Penubuhan Jabatan Persekutuan telah menyebabkan lebih ramai Pegawai British yang diambil tugas. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditadbir secara langsung oleh British. Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan, contohnya, dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903, Sultan Idris (Perak) telah mengecam hebat pemusatan kuasa dan mendesak diambil langkah melaksanakan desentralisasi (pengagihan kuasa) bagi mengembalikan kuasa Sultan, Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri. Sultan Idris juga mendesak lebih ramai orang Melayu dilantik dalam jabatan persekutuan. Penubuhan persekutuan membolehkan Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertemu dan berbincang bersama-sama kepentingan bersama dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja sejak tahun 1897 dan Majlis Mesyuarat Persekutuan sejak 1909.

2.      Ekonomi

Perkembangan ekonomi yang pesat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kestabilan politik telah membawa kepada kestabilan ekonomi. Keseragaman dan kecekapan, keamanan dan keaturan serta pentadbiran yang berkesan telah menyebabkan lebihan hasil dan hasil persekutuan dapat digunakan oleh semua negeri dalam semua gabungannya. Keadaan politik dan peluang-peluang ekonomi telah menggalakkan pelabur-pelabur dari Negeri-negeri Melayu atau Seberang Laut untuk melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi, khususnya bijih timah dan getah. Kedatangan mereka telah menyebabkan berlakunya pertambahan hasil di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, contohnya hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896 berjumlah $8.5 juta telah meningkat kepada $24 juta pada tahun 1909. Pembinaan sistem jalan raya dan jalan keretapi terutamanya yang menghubungkan negeri telah memajukan lagi kegiatan ekonomi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1904, sudah terdapat jalan raya sepanjang 2400 km dan jalan keratapi sepanjang 340 batu. Pada tahun 1903, terdapat jalan keretapi dari Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909.
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memajukan perusahaan bijih timah dan getah. Buktinya pada tahun 1889 eksport bijih timah Perak, Pahang Selangor dan Negeri Sembilan berjumlah 20000 tan. Pada tahun 1904, eksport bijih timah persekutuan ialah 70000 tan. Selepas penubuhan persekutuan, orang-orang Eropah mula mengambil alih penguasaan ke atas perlombongan-perlombongan bijih timah yang dikuasai oleh orang-orang Cina. Begitu juga dengan perusahaan getah yang semakin berkembang selepas penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar, 1905 – 50 ribu ekar dan 1909 meningkat kepada 200 ribu ekar yang ditanami getah.

3.      Sosial

Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berjaya mewujudkan keamanan dan peraturan. Jaminan keselamatan dan persamaan hak di sisi undang-undang telah menggalakkan imigran Cina dan India, lebih-lebih lagi terdapat peluang dalam perkhidmatan persekutuan dan perkembangan bijih timah. Kedatangan imigran telah menyebabkan pertambahan penduduk di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Selain itu, kedatangan imigran juga mewujudkan masyarakat majmuk. Orang-orang Cina dan India adalah masyarakat yang berasingan dan tidak dapat mengasimilasikan diri dalam masyarakat Melayu. Penubuhan pesekutuan menyebabkan perutmbuhan dan perkembangan bandar-bandar seperti Taiping, Kuala Lumpur, Kelang dan lain-lain lagi.
Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan sosial seperti perhubungan, kesihatan, pelajaran dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kemudahan sosial itu mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia disediakan di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi. Pada tahun 1909, terdapat 52 buah klinik di persekutuan dan 1904 kemudahan perhubungan diadakan (2400 km jalan raya dan 340 batu jalan keretapi). Dalam bidang pelajaran, banyak sekolah-sekolah didirikan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1907, terdapat 266 buah sekolah Melayu, 1903 terdapat 15 buah sekolah Tamil dan 1911, 50 buah sekolah Cina. Selain itu, terdapat sekolah Inggeris yang didirikan oleh kerajaan dan mubaligh. Pada tahun 1905, Maktab Melayu Kuala Kangsar dibina khas untuk anak-anak golongan bangsawan. Pada tahun itu, kerajaan membina maktab teknik di Kuala Lumpur untuk menyediakan tenaga mahir bagi Jabatan Kerja Raya dan keretapi.


DURBAR

1.        Pada tahun 1897, DURBAR (Persidangan Rajaja Melayu) yang pertama diadakan di Kuala Kangsar kerana British menghormati Sultan Idris Syah.
2.        DURBAR ialah persidangan di antara Pesurahjaya Tinggi, Residen Jeneral, Residen dan Raja-raja Melayu.
3.        Persidangan ini diadakan untuk membincangkan kepentingan bersama.
4.        DURBAR ialah permulaan kepada institusi yang kini dikenali sebagai Majlis Raja-raja Melayu.
5.        Fungsi utama DURBAR:
a)       Mewujudkan kerjasama dan perpaduan di antara keempat-empat negeri Melayu.
b)       b.Membolehkan Raja-raja Melayu menasihati kerajaan persekutuan.
6.        DURBAR tidak ada kuasa untuk menggubal undang-undang.
7.        DURBAR yang kedua diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1903.
8.        DURBAR dimansuhkan apabila Majlis Mesyuarat Persekutuan ditubuhkan tetapi wujud semula pada tahun 1927.
9.        1930, DURBAR diadakan di Singapura dan dihadiri oleh 9 orang Raja.


Majlis Mesyuarat Persekutuan

Keanggotaan dan Sistem Majlis Mesyuarat Persekutuan adalah seperti yang berikut:
1.        Pesurujaya Tinggi British merangkap Gabenor NNS sebagai presiden yang beribu pejabat di Singapura.
2.        Residen Jeneral bertanggungjawab terus kepada Pesuruhjaya Tinggi.
3.        Empat orang raja Melayu negeri terbabit
4.        Empat orang Residen British.
5.        Empat orang ahli tidak rasmi yang mewakili golongan peniaga.

Majlis Mesyuarat Persekutuan yang pertama diadakan pada 11 Desember 1909.Penubuhan majlis ini sebenarnya telah menimbulkan lebik banyak kesan buruk seperti yang berikut:
i.              Tidak ada langsung wakil dalam kalangan masyarakat tempatan (iaitu orang Melayu) di majlis ini dan situasi tersebut menghilangkan sama sekali hak orang Melayu dalam pentadbiran negara. Raja-raja yang menjadi wakil orang Melayu pula tidak berperanan langsung dalam pentadbiran.
ii.              Kuasa sultan dalam majlis ini menjadi lebih merosot lagi.Hal ini kerana,taraf raja dalam majlis ini hanyalah sebagai ahli biasa. Mereka tidak ada hak untuk membuat sebarang keputusan. Mesyuarat majlis pula boleh diadakan tanpa kehadiran mereka.
iii.              Pesuruhjaya Tinggi kini mempunyai kuasa yang tertinggi dalam hal ehwal pentadbiran dan bukan lagi sulatan.Pesuruhjaya Tinggi berhak melantik dan memberhentikan ahli tidak rasmi mengikut budi bicaranya.






Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu

Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu ialah sekumpulan lima buah Negeri-Negeri Melayu. Negeri-negeri itu ialah Perlis, Kedah, Kelantan,Terengganu dan Johor.

Gabungan ini terbentuk pada tahun 1909 apabila British dan Siam menandatangani Perjanjian Bangkok.Mengikut perjanjian ini, empat buah negeri yang sebelum ini terletak di bawah naungan  kuasa Siam, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan diserahkan kepada British. Dengan penyerahan ini, Penasihat British telah diletakkan di setiap negeri tersebut.

Pada Tahun 1914, Johor telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak British bagi menerima khidmat Penasihat British dan menjadi sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Bahasa rasmi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu ialah Bahasa Melayu dengan Tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi.
Berbanding NNMB, raja Melayu di NNMTB mempunyai kuasa yang lebih besar kerana kuasa Penasihat British tidaklah seluas kuasa Residen di NNMB. Pentadbiran NNMTB yang berasingan dengan NNMB berterusan sehingga Perang Dunia Kedua meletus. British didapati gagal untuk menggabungkan NNMTB dengan NNMB kerana mendapat tentangan hebat daripada raja-raja Melayu di NNMTB.
Kesemua negeri ini kemudiannya menyertai Malayan Union dan sekarang merupakan sebahagian daripada Malaysia.


Kesimpulan

Campur tangan British secara langsung di negeri-negeri Melayu telah mengakibatkan sistem politik  dan ekonomi tempatan mengalami perubahan yang ketara.Tujuan utama British campur tangan di Tanah Melayu ialah untuk menguasai sumber ekonomi .
Walau bagaimanapun campur tangan Barat menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan terutama golongan pemerintah yang kehilangan hak dan kepentingan di Tanah Melayu
Sepanjang perlaksanaannya,persekutuan ini telah meninggalkan pelbagai kesan dalam politik, ekonomi dan sosial. Penubuhan Persekutuan 1896 merupakan langkah awal ke arah penyatuan negeri-negeri Melayu



..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.