Total Pageviews

Saturday, 16 November 2019

JWW Birch. Residen British Yang Dibenci


JWW Birch.  Residen British Yang Dibenci Orang Melayu Di Perak

 

8 October 2016


Hai korang. Semoga sihat sejahtera hendaknya. Pagi nii aku nak ajak korang melawat ke sebuah tapak perkuburan bersejarah yang terdapat di negeri Perak. Seluruh Malaysia kenal akan beliau ini. Nama Residen British JWW Birch nii memang sangat popular masa zaman sekolah lagi...tak sangka plak aku dapat gi tengok kuburnya di Daerah Perak Tengah.
Kalau nak korang nak gi ke kubur ni memang laa susah sebab korang kena berjalan kaki dalam setengah jam samada melalui ladang kelapa sawit ataupun melalui Kampung Teluk Memali, Kampung Gajah.

J.W.W. Birch adalah seorang pegawai pentadbir British yang dilahirkan dalam tahun 1826. Beliau telah dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875. Beliau adalah anak kepada seorang paderi Kristian dan pernah berkhidmat di dalam tentera laut Ceylon. Birch pernah berkhidmat dengan Tentera Laut DiRaja British buat seketika, dan ditugaskan berkhidmat di atas kapal HMS Alfred yang ditugaskan meronda pantai di Amerika Selatan. 

Jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh Birch adalah:

·        
 Disember 1846 – Pesuruhjaya Jabatan Jalanraya, Ceylon (sekarang Sri Lanka)
·        
 November 1852 – Penulis di Jabatan Perkhidmatan Awam, ditempatkan di Pejabat Wakil Kerajaan, Jaffna
·        
 April 1853 – Majistret Polis di Jaffna
·         
Oktober 1853 - Galle.
·         
Januari 1854 - Mallakam.
·         
Januari 1854 - Chavakachcheri (memangku).
·         
Ogos 1854 - Pemangku Penolong Wakil Kerajaan in Trincomalee - Perlantikan disahkan dalam bulan Disember 1854.
·        
 Mac 1856 – Hakim Daerah Batticaloa.
·         Januari 1859 hingga Mei 1862 - Pemangku 
Penolong Wakil Kerajaan, Batticaloa
·         September 1864 - Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Ratnapura.
·         
Ogos 1865 - Kurunegala
·        
 Julai 1866 – Pemangku Penolong Wakil Kerajaan, Hambantota.
·         
Oktober 1867 – Pemangku Wakil Kerajaan dan Pemungut Cukai, Wilayah timur. Perlantikan disahkan dalam bulan Jun 1868.
·       
  Mei 1870 to 1874 – Setiausaha Kolonial, Negeri-Negeri Selat.
·         
November 1874 to 1875 – Residen British Pertama di Perak, dibunuh oleh orang-orang Melayu yang menentang penjajahan British

Terdapat juga beberapa peristiwa dimana Birch sengaja campurtangan dalam hal ehwal istana. Antaranya, beliau telah beberapa kali melindungi gundik-gundik yang lari, kononnya gundik-gundik  tersebut lari untuk kepangkuan beliau. Pada satu ketika dalam bulan Oktober 1875, beliau telah menyeludup beberapa gundik ke Pulau Pangkor.

Di antara perkara yang membangkitkan kemarahan Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Melayu di negeri Perak terhadap J.W.W. Birch ialah campurtangannya dalam hal ehwal dan adat istiadat Melayu.  Malah sikap Birch yang sombong dan bongkak serta tidak membuat sebarang pertimbangan yang wajar apabila membuat sesuatu keputusan menyebab sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Melayu merasa tidak puas hati dan menyebabka satu pakatan untuk membunuhnya.


Pembunuhan J.W.W Birch adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan pembesar negeri terhadap tindak-tanduk Birch. Birch telah menggunakan kedudukannya sebagai Residen Inggeris di Perak dengan meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan untuk membolehkannya mengambil alih kuasa kerja-kerja mengutip cukai daripada pembesar-pembesar Perak tetapi telah ditolak oleh Sultan Abdullah.

Pada 20hb Julai 1875, J.W.W Birch sekali lagi mendesak Sultan Abdullah menurunkan tandatangannya dan mengugut Sultan akan diturunkan daripada takhta seandainya baginda enggan menandatangani surat penyerahan kuasa tersebut. Akibatnya Sultan Abdullah terpaksa akur dengan ugutan Birch dan menandatangani surat perjanjian tersebut.


Rentetan daripada peristiwa itu, sebanyak 7 kali mesyuarat sulit telah diadakan oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah dengan orang-orang besarnya bagi membincangkan perihal pembunuhan J.W.W Birch yang diadakan dari bulan Mac hingga September 1875.


Dalam mesyuarat sulit tersebut sebanyak 5 cara telah dirancangkan. Laksamana Mohd amin telah mencadangkan Birch diracun, Dato' maharaja Lela pula mencadangkan Birch ditikam, manakala Dato' Sagor pula mencadangkan supaya menyerang Bandar Baru dan membunuh Birch dan Sultan Abdullah pula sendiri mencadangkan agar Birch disihir.


Dalam mesyuarat terakhir yang berlangsung di rumah Dato’ Maharaja Lela, pada 30hb Oktober 1875, satu keputusan muktamad telah dicapai untuk membunuh Birch di Pasir Salak. Dato’ Maharaja Lela yang diberi kuasa membunuh Birch telah menganugerahkan baju, tengkolok dan pedang kepada Pandak Indut sebagai wakilnya untuk membunuh Birch.


J.W.W Birch dibunuh ketika sedang mandi di atas rakit berdekatan perahunya. Birch ketika itu baru balik dari lawatannya di Pasir Salak untuk melihat kerja-kerja menampal poster pengisytiharan Inggeris mengambil alih pungutan cukai, dan bercadang untuk bermalam dalam perahu sebelum pulang ke Bandar Baru pada keesokkan hari.


Pandak Indut telah diarahkan oleh Dato’ Maharaja Lela merejam lembing ke arah tempat Birch mandi. Rejaman tersebut menyebabkan Birch jatuh ke dalam sungai. Birch yang masih bernyawa berenang ke darat meminta pertolongan dan pada ketika itulah Si Puntum menerpa dan menetak kepala Birch dengan parang panjangnya. Mayat Birch ditemui pada petang keesokkan harinya, sejauh 182.9 meter dari tempat kejadian.


Kematian Birch telah menyebabkan Inggeris berang dan melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W Birch. Pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris di bawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang Melayu yang disyaki telah dibakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah diserang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Askar-askar Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguhpun kekurangan senjata dan taktik peperangan, orang-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris seperti yang berlaku di Kota Lama. Peperangan ini telah berlarutan sehingga tahun 1876 dan berakhir setelah semua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W Birch ditangkap dan dibicarakan.


J.W.W Birch merupakan seorang Residen Inggeris yang paling angkuh, suka memperlekeh dan merendah-rendahkan kedaulatan Perak telah menerbitkan api dendam yang membara di dalam dada orang-orang besar Perak, sehinggakan terbit gerakan sulit untuk membunuh J.W.W Birch. Diantara perangai buruknya, suka mengacau perempuan Melayu dan melarikan isteri orang. Itu yang membuat orang Melayu nekad menghapuskan Birch selain dari gila kuasa untuk meluaskan penguasaan di negeri Perak.


Kubur JWW Birch ini terletak berhampiran dengan Sungai Perak tetapi agak sukar untuk melawatinya kerana kenderaan tidak boleh sampai ke sini disebabkan laluan yang sempit dan bersemak samun. Di sini juga terdapat beberapa kubur pembantu-pembantu beliau. Kubur JWW Birch ini pernah beberapa kali dirosakkan oleh penduduk sekitar disebabkan lambang salib yang dibina di atas kubur beliau ini.


Di Kompleks Bersejarah Pasir Salak ada didirikan tugu peringatan JWW Brich dan tiang tempat beliau dibunuh untuk tujuan penceritaan sejarah. Selain itu, di Dataran Datok Sagor Ipoh ada dibina Menara Jam JWW Birch oleh anak beliau bagi memperingati bapanya.


Kalau korang berminat dengan sejarah....korang boleh datang ke Kompleks Bersejarah Pasir Salak ini kerana terdapat beberapa galeri....antaranya galeri terowong masa dan geleri tentang keris. Korang juga boleh melihat Rumah Kutai dan Pentas Belotah yang terdapat di dalam kompleks ini.


Sekian.





 
 
 
 

https://www.malaysiakini.com/news/379623

 141 tahun Seputum dan pertikaman anak Melayu

 

Sambil minum petang di Sarang Art Hub milik Mamat Khalid, kami berbual tentang filem Pasir Salak dan sejarah Pasir Salak. Orang akademik kata, itu sessi ‘discourse’ tapi bagi orang kampung itu adalah sembang-sembang kosong.

Pengarah filem 'Rock Bro' itu menjemput untuk datang pelancaran filem terbarunya 'Lebuh Raya Ke Neraka' di situ pada hujung minggu itu. Namun hujung mingguku telah tersedia isi dengan komitmen lain.

Sejarah boleh difilemkan tetapi kebenaran sejarah sebaliknya terlalu sukar diperlakukan begitu. Kami sembang tentang filem saja. Perbualan petang itu bersama potret Pak Hamka, MGR, Amithbah Bachan, Jose Rizal atau Louis Amstrong. Kata Mamat, lukisan potret itu dipilih kerana sumbangan mereka dalam seni dan budaya.

Bagaimana sebuah filem boleh mengangkat kesedaran berbangsa? Bagaimana sebuah sejarah digarap dalam sebuah filem? Ini semua bukan sekadar persoalan seni dan budaya semata-mata. Ini adalah soal kehidupan. Jika bercerita tentang kematian sekalipun, hakikatnya adalah suatu daripada episod kehidupan yang menghidupkan.

(II)

Pada 20 Mei 1876, bertempat di Bandar Baru yang merupakan pangkalan Residen British, Seputum telah menjalani hukum gantung sampai mati dengan disaksikan Sultan Abdullah serta pembesar baginda.

Jenazahnya disemadikan di Pasir Salak, iaitu kampung halamannya. Seputum melaksanakan titah Sultan Abdullah dan Datuk Maharajalela untuk membunuh J W W Birch. Datuk Maharajalela berjanji memberikan hadiah sebanyak RM1,000 untuk tugasan itu.

Surat mengenai hal itu didedahkan dalam laporan Hugh Low kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahah British.

Sudah 141 tahun berlalu. Tarikh penghukuman Siputum sepatutnya adalah tarikh kebangkitan, kemerdekaan dan tanda harga kewujudan bangsa. Meski sisi sejarahnya masih belum lengkap dan sempurna, hakikatnya itulah tarikh yang bersejarah.

Birch dibunuh sewaktu mandi di tepi Sungai Perak. Dua pegawalnya yang bersenjata api melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Perak. Ketika itu, Che Ali, Ngah Jabor, Panjang But, Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela sama menyerang ke tempat mandi Birch.

Pandat Indut merejam lembing ke arah Birch, Datuk Maharajalela membaling lembing ke arah Birch juga. Datuk Sagor turut merejamkan lembing ke arah Birch.

Apabila Birch timbul semula di belakang rumah mandi, beliau ditikam Si Tuah dengan lembing dan akhirnya Siputum menetak dua kali. Birch tenggelam terus di dalam Sungai Perak.

Seputum melarikan diri selepas membunuh Birch tetapi ditangkap oleh British dengan bantuan Uda Pulau dan Mah Amin. Turut ditangkap ialah Ngah Ahmad dan Che' Gondah.

 

 

Kekal hukuman mati

Ketiga-tiga mereka dibicarakan di hadapan Melayu yang dihakimi oleh Raja Idris, hakim yang dilantik Sultan Abdullah. J D Davidson dan Frank Swettenham sebagai pengapit hakim. Saksinya Abdul Hamid, jurukemudi perahu Birch; Kok Ah Yong si tukang emas Pasir Salak, Hoo Ah Choey, tukang masaknya; dan Mat Tahir, pendayung perahu.

Raja Idris menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada ketiga-tiga tertuduh - dengan syarat ia mendapat pekenan daripada Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak.

Namun Majlis Kerja yang dipengerusikan Gabenor William Jervois mendapati penglibatan Che Gondah dan Ngah Ahmad kurang pembuktian dan beliau menasihati Sultan Abdullah mengubah hukuman. Che Gondah dan Ngah Ahmad dihukum penjara seumur hidup dan mengekalkan hukuman mati ke atas Seputum.

British menawarkan hadiah lumayan kepada sesiapa yang dapat menangkap Datuk Maharajalela iaitu habuan bernilai RM6,000, Datuk Sagor (RM3,000) dan Pandat Endut (RM3,000). Bagi British ketiga-tiga mereka itu ialah ‘penjahat'.

Tawaran tersebut disambut baik oleh orang Melayu seperti Che' Karim Selama, Sayid Mashor, Raja Mahdi Selangor, Raja Yusuf, Raja Idris dan yang paling mengejutkan apabila Sultan Abdullah turut menyokong usaha penangkapan itu. Walhal ketiga-tiga itu adalah orang kanan Sultan Abdullah sendiri.

British meminta rakyat negeri Perak bersatu membantu mereka memburu 'orang jahat' dan mengembalikan keamanan negeri. Bagi rakyat Perak, mereka keliru kerana Sultan Abdullah dan sebahagian pembesar Perak menyebelahi British dan tidak menyokong penentangan yang dilakukan oleh Datuk Maharajalela dan rakan-rakannya.

Bagaimana rasa hati Seputum, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan lain-lain apabila mereka mengetahui Sultan Abdullah bagaikan berpaling? Lupakah baginda akan sumpah janji sewaktu berakad setia berjuang sehidup semati?

Mesyuarat para pembesar Perak di rumah Laksamana di Durian Sebatang yang turut dihadiri Sultan Abdullah, Sultan Ismail, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Datuk Shahbandar, Raja Mahkota, Orang Kaya Mat Arshad, Raja Idris dan Kulub Mat Ros bersetia janji untuk bangkit melawan penjajah.

Masing-masing melepaskan diri sendiri bagai enau dalam belukar. Rakyat bawahan juga yang menjadi mangsa.

 

 

Gagal bermakna derhaka

(Mamat Khalid sebagai pembikin filem akan berada di mana sewaktu filemnya itu berputar di hadapan mata penonton? Kebenaran atau imaginasi sendiri yang diberikan? Realis atau idealis? Apakah filem itu menayangkan babak panglima Melayu membunuh seorang pegawai Inggeris yang sedang mandi tanpa bersenjata? Itu bukannya watak panglima Melayu sejati.)

Watak panglima Melayu adalah bertarung seorang dengan seorang. Birch harus diberi peluang bertarung secara berdepan. Mungkin dokumen sejarah yang menjadi rujukan masih belum memadai.

Sewaktu di mahkamah, Seputum memberitahu, sama ada dia dapat membunuh Birch atau tidak, hakikatnya adalah sama. Seputum hanya melaksanakan titah Sultan Abdullah dan tugas yang diberikan kepadanya oleh Datuk Maharajela.

Kegagalan membunuh Birch akan menyebabkan dia dianggap menderhaka, maka rumahnya akan dibakar dan hartanya dirampas Datuk Maharajela. Seputum hanya seorang yang bekerja dengan Datuk Maharajela.

Seputum lelaki kurang upaya, menghidap penyakit kulit yang aneh dan sebelah kakinya untut. Seputum adalah lambang rakyat biasa yang tertindas dalam sistem sosial Melayu.

Mungkin mengikut perkiraan Seputum, dari mati di tangan bangsa sendiri lebih baik mati di tangan penjajah. Seputum berjuang demi kewujudan dirinya sebagai rakyat dan manusia yang merdeka.

Atau, mungkinkah demi ganjaran yang dijanjikan?

Bagaimana sebuah filem memaparkan sejarah sebenar yang penuh unsur penentangan dengan prinsip dan nilai sekarang? Kematian Seputum sarat sejarah pengkhianatan dan kezaliman para pembesar Perak.

Itu mungkin kita baca dari konteks hari ini dengan sumber yang sedia ada. Pengarah filem - seperti penulis juga - akan sentiasa bersikap memilih dalam memfokuskan sesuatu kejadian.

(III)

Setelah semua 'orang jahat' ditangkap, dipenjara dan dihukum gantung sampai mati semasa pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak ke-26, British menubuhkan Suruhanjaya Penyiasat bagi menyelidik 'Perang Perak'.

Hasil siasatan itu, Sultan Abdullah, Datuk Laksamana, Datuk Shahbandar dan Ngah Ibrahim dituduh dan disabitkan bersalah kerana bersubahat dalam pembunuhan Birch. Mereka semua dibuang ke Pulau Seychelles dan dilucutkan jawatan sebagai Sultan Perak dan pembesar negeri.

Setelah hampir dimusnahkan semua orang yang mengelilingi Sultan Abdullah, maka mudahlah serigala membaham kambing yang bersendirian.

Pengkisahan semula ini semacam kisah seminggu dua ini. Bertikam-tikam si anak Melayu (Rafizi, Nasrudin dan Nasharudin, at-Takiri, CheguBard, Husam dan lain-lain) dengan menegakkan jari telunjuk masing-masing menilik siapa yang lebih lurus dan tulus. Hingga dipatah-patahkan jari kaki kerana tidak dapat jari tangan.

Siapa gerangan yang hendak dibunuh itu? Dr Mahathir Mohamad yang sudah tua itukah? Atau Anwar Ibrahim yang terkurung dalam penjara? Atau Hadi Awang yang semakin akrab dengan Najib?

Bagi rakyat biasa - seperti kita semua - kematian Seputum di tali gantung Inggeris pada 141 tahun lalu adalah sejarah kematian kesetiakawanan. Kematian Seputum adalah juga lambang perjuangan rakyat bawahan mempertahankan kewujudan dirinya sebagai rakyat Melayu.

Al-Fatihah.


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Ketika ini berkhidmat di Universiti Teknologi Petronas.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.

 

 

https://www.malaysiakini.com/news/379623

 

.

 

 

 

 
 
 
.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.