Total Pageviews

Saturday, 16 November 2019

Kisah Sultan Abdullah di Seychelles




Dimana Kepulauan Seychelles Dan Apa Kaitan Dengan Perak?

21 January 2019




Republik Seychelles yang terletak di lautan Hindi dan berhampiran dengan Madagaskar, Pulau Mauritius, Somalia, Maldives dan negara-negara lain di Afrika. Nama Seychelles cukup sinonim dengan bangsa Melayu dan sejarah negeri Perak. Tapi adakah generasi baru tanah air mendalami kisah yang berlaku dan tahu kisah serta kaitan Sychelles dengan negeri Perak?

Jika anda seorang warganegara Malayisa tambahan lagi anak kelahiran negeri Perak, jangan anda tidak tahu bahawa Seychelles ini sebenarnya adalah kepulauan yang menjadi tempat penjajah Inggeris membuang Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 28), Tengku Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Maamor serta 47 pembesar Perak lain pada tahun 1877.

Mereka semua pembesar negeri Perak yang dibuang negeri ke Seychelles itu kesemuanya dituduh terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch selaku Residen Pertama Inggeris di Perak yang mana peristiwa tersebut telah berlaku di Pasir Salak, Perak dalam tahun 1875.
Mengikut sejarah yang diceritakan secara turun temurun, mereka semua dibuang dan diasingkan dengan menggunakan kapal Carherstone yang mana berlabuh dari pelabuhan Singapura. Jarak perjalanan dari Singapura ke kepulauan Sychelles ini mengambil masa lebih sebulan untuk tiba.
Pembuangan negeri kepada semua yang tertuduh itu dilakukan oleh pihak penjajah penjajah kerana mereka bimbang, takut dan gerun dengan kekuatan orang melayu. Lihat sahaja pada cara Ngah Ibrahim berfikir yang jauh ke depan dalam pelbagai aspek berbanding pembesar Perak yang lain. Walaupun beliau dibuang negeri ke kepulauan Sychelles, boleh dikatakan hampir setiap tahun beliau mengutus surat kepada pemerintah lnggeris (Queen Victoria) untuk memohon pelepasan dan pengampunan.
Takdir sudah tertulis akan nasib mereka semua. Ngah Ibrahim telah meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895. Jenazahnya selamat dipindahkan Singapura ke Muzium Matang, Taiping, Perak pada 9 September 2006.

Akhirnya selepas tempoh buangan, Sultan Abdullah dan keluarga akhirnya dibenarkan pulang ke negeri Perak. Almarhum meninggal dunia di Perak pada tahun 1922 dan jenazah baginda disemadikan di makam diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Jangan anda tidak tahu bahawa Republik Seychelles juga pernah dijajah oleh Portugis, Perancis dan Inggeris. Kesan penjajahan itu ketara pada penggunaan nama tempat, jalan , sungai, hotel dan bangunan. Republik Seychelles atau dahulunya disebut Pulau Seychelles mengandungi 116 buah pulau kecil. Pulau-pulau besar dan utama yang menjadi tumpuan penduduk ialah Pulau Mahe, Pulau Praslin, Pulau La Digue dan Pulau Facilite yang boleh dijelajahi dengan menaiki feri besar, helikopter dan bot laju.
Ibu kota Republik Seychelles iaitu Victoria adalah bandar pelabuhan dan mempunyai lapangan terbang antarabangsa yang menjadi tumpuan pelancong bermain skuba, memancing dan berkelah. Penyair-penyair di serata negara barat menganggap bahawa Pulau Seychelles ini adalah syurga yang hilang kerana keindahan pulau ini yang airnya berwarna biru, dikelilingi landskap alam semula jadi yang memukau dan hebat.
Iklim di Republik Seychelles adalah hampir sama dengan negara Malaysia. Mungkin inilah yang menyebabkan penjajah Inggeris membuang Sultan Abdullah dan para pembesar Perak ke Pulau Seychelles kerana iklimnya sama dengan Tanah Melayu.
Mata wang yang digunakan ialah Seychelles Rupee. Bagaimanapun mata wang US Dollar dan Pound Sterling juga diterima dalam urus niaga di samping kad kredit. Warga Seychelles menggunakan bahasa Seychelles sebagai bahasa pertuturan dan perhubungan di samping bahasa Croele, Perancis dan Inggeris. Sumber utama ekonomi Republik Seychelles ialah sektor pelancongan dan perikanan.
Warga asal Pulau Seychelles terdiri daripada koloni Perancis dan hamba-hamba abdi penjajah yang datang pada kurun ke 19 dan ada yang datang lebih awal dari itu iaitu sekitar kurun ke 17. Rakyat Republik Syechelles berjumlah sekitar 80,000 orang dan tertumpu di Pulau Mahe, Praslin, La Digue dan Facilette. Penganut Islam hanya sekitar 1,000 orang sahaja dan kebanyakannya bertumpu Pulau Mahe dan Praslin yang mempunyai kawasan pantai dan perairan yang indah.
Pulau Seychelles juga menjadi tempat buangan raja-raja Afrika yang menentang penjajah Inggeris, Perancis dan sebagainya. Begitu juga raja-raja negara lain yang menentang penjajah kesemuanya dibuang di pulau ini. Meskipun Sultan Abdullah dan pembesar Perak dibuang oleh penjajah Inggeris dahulu, mereka diberi elaun dan boleh bergerak ke sekitar Pulau Seychelles. Cuma tidak boleh pulang ke Perak sehingga lebih berpuluh tahun.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 28) adalah individu yang memperkenalkan makanan nasi lemak kepada masyarakat Pulau Seychelles. Baginda dan pengikutnya juga ada menanam pokok mempelam dan buah-buahan lain yang biasa terdapat di Tanah Melayu.
Sultan Abdullah juga sewaktu tinggal di Pulau Seychelles ada mendengar lagu rakyat pulau itu yang dipanggil “La Rosses”. Baginda sangat menyukai lagu ini dan mencadangkannya menjadi lagu rasmi negeri Perak. Almarhum Sultan ldris Shah berkenan menjadikan lagu ini sebagai lagu rasmi negeri Perak berjudul “Allah Selamatkan Negeri” yang telah diubahsuaikan yang kemudiannya mencetuskan ilham dan rentak penciptaan lagu “Negaraku” sekarang.




..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.