Barat membisu isu
etnik Uighur?
22 Januari 2019
BUKTI menunjukkan hampir
sejuta orang Islam Uighur di wilayah barat China ditempatkan di kem tahanan.
Tetapi, sebahagian besar
kerajaan Barat gagal memberi respons terhadap pelanggaran tersebut yang jelas
dilihat sebagai konspirasi untuk menunjukkan pengaruh ekonomi dan politik
Beijing masih kuat.
Beberapa pengkritik merujuk
kempen terhadap etnik Uighur itu sebagai 'pembersihan etnik'.
Sejak akhir 2017, ratusan
ribu minoriti Uighur tersebut telah 'dikurung' dalam kem indoktrinasi di
wilayah autonomi Xinjiang.
Penyeksaan dan penderaan
adalah perkara biasa di kem tahanan, namun Parti Komunis menggunakan 'kuasa kejuruteraan
sosial' untuk menghapuskan tradisi, identiti dan kepercayaan agama golongan
terbabit.
Walaupun terdapat laporan
meluas tentang penindasan sistematik itu, negara antarabangsa masih mengambil
pendekatan berdiam diri.
Susulan itu, aktivis mula
mempersoalkan tindakan kerajaan asing yang sepatutnya mengenakan sekatan
ekonomi dan memboikot syarikat China sebagai tindak balas punitif.
Hanya kritik, tiada tindakan
diambil
Bulan lalu, jawatankuasa
Parlimen Kanada melaporkan penahanan etnik Uighur dan kumpulan minoriti Islam
lain adalah pada skala tidak pernah berlaku sebelum ini.
Namun, ia tidak mengeluarkan
sebarang kenyataan dalam bentuk kritikan retorik.
Sebelum ini, Amerika
Syarikat (AS) dengan lantang mengkritik tindakan China termasuk langkah
peluasan tentera di Laut China Selatan dan amalan perdagangan yang tidak adil.
Bagaimanapun, ia gagal
menyentuh tentang isu Uighur.
Pada September lalu,
pentadbiran Presiden Donald Trump memaklumkan ia mempertimbangkan untuk mengenakan
sekatan terhadap pegawai kanan China dan syarikat yang dikaitkan secara meluas
terhadap pelanggaran hak asasi manusia.
Selepas empat bulan, tiada
tindakan diambil daripada perbincangan tersebut.
Penggubal undang-undang AS
turut memperkenalkan rang undang-undang menggesa pembebasan lebih juta etnik
Uighur pada November lalu dengan ahli Kongres parti Republikan, Chris Smith
merujuk pusat tahanan itu sebagai 'jenayah terhadap kemanusiaan'.
Rang undang-undang itu
mencadangkan sekatan dikenakan ke atas individu yang didapati bertanggungjawab
terhadap pelanggaran tersebut selain memberi kuasa kepada Biro Siasatan
Persekutuan (FBI) untuk mengesan dan melaporkan gangguan China terhadap
penduduk Uighur di AS.
Selain itu, terdapat laporan
boleh dipercayai yang mendedahkan tahanan Uighur telah dijadikan sebagai buruh
paksa atau kos rendah dan produk dihasilkan mereka kini membanjiri pasaran
antarabangsa.
Jabatan Negara AS menerusi
laporan kepada Jawatankuasa Senat mendakwa pihak berkuasa China telah menahan
kira-kira 800,000 dan berkemungkinan lebih dua juta etnik Uighur, Khazak dan
minoriti Islam lain.
Pada Oktober, Parlimen
Eropah menerima pakai resolusi kecemasan berhubung pusat tahanan dan langkah
penahanan sewenang-wenangnya itu.
"Kesatuan Eropah (EU)
tidak lagi boleh meneruskan urusan dengan pendekatan biasa bersama
China,"kata salah sorang anggota Parlimen Eropah yang turut disokong ahli
lain dan menyifatkan situasi di Xinjiang sebagai 'pembersihan etnik' dan
'pembunuhan budaya'.
Resolusi akhir juga menggesa
Beijing menamatkan penahanan tersebut dan menutup kem tahanan itu selain
membebaskan mereka yang ditahan serta-merta tanpa syarat.Tetapi, ia gagal untuk
menetapkan tentang agenda jelas dan 'garisan merah' berhubung tindakan EU atau
langkah punitif yang bakal diambil jika Beijing gagal memulihkan keadaan itu.
Bukan hanya Eropah, negara
lain juga bimbang dengan impak terhadap ekonomi mereka jika mengkritik
penindasan Uighur.
Menerusi akhbar tabloid
parti Komunis, Global Times pada Julai lalu, ia melaporkan Beijing akan
membantu untuk menyediakan kestabilan ekonomi di Turki.
Namun, ia hanya akan
diberikan jika Ankara tidak mengecam dengan lantang dasar etnik di Xinjiang.
Negara majoriti Islam lain
juga mengambil pendekatan sama.
Sebagai contoh, Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) mengambil masa sehingga akhir tahun lalu untuk
menzahirkan kebimbangan terhadap laporan penindasan ke atas orang Islam di
China yang merupakan rakan perdagangan utama 20 daripada 57 blok negara anggota
mereka.
Tindak balas negara Eropah
mengecewakan
Jurucakap Kongres Uighur
Sedunia, Peter Irwin berkata, respons yang diberikan oleh negara Eropah
sememangnya mengecewakan walaupun mereka dengan lantang mengkritik di peringkat
EU.
"Adalah penting untuk
negara terbabit bergabung bagi melancarkan konfrontasi terhadap Beijing dan EU
dilihat sebagai entiti sempurna untuk tindak balas seumpama itu," ujarnya.
Mangsa yang terselamat
mendakwa mereka diseksa secara fizikal dan mental malah pihak berkuasa turut
melarang golongan itu menyimpan janggut selain memaksa mereka memakan daging
khinzir dan mengambil minuman alkohol yang dilarang agama Islam.
Beijing bagaimanapun
menafikan laporan itu sebagai 'berita palsu' dan mendakwa kem tahanan itu
kononnya sebuah pusat pendidikan yang dihadiri secara sukarela serta diwujudkan
untuk menangani ekstremisme dalam kalangan komuniti Uighur.
Ancaman yang semakin
meningkat terhadap etnik itu menyebabkan puluhan ribu penduduk Uighur melarikan
diri dari wilayah Xinjiang sejak beberapa tahun lalu dan kebanyakan mereka cuba
untuk mendapatkan suaka di Barat.
Negara Eropah bagaimanapun
berbelah bahagi sama ada untuk menerima atau menghantar mereka pulang. - Asia
Times
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.