Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Sarawak tolak RUU


Adenan arahkan MP Barisan Sarawak tolak RUU Hadi Awang



November 24, 2016






KUCHING:  Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengarahkan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sarawak, termasuk yang beragama Islam supaya menolak usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah.
Presiden Sarawak United People’s Party (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, parti komponen  BN  tidak akan menyokong RUU itu yang akan dibaca untuk kali kedua pada minggu ini.
Dr Sim bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri  Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri James Masing bertemu dan berbincang dengan Adenan pada persidangan DUN, Rabu.  
Pada Jun lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak,  Datuk Dr Stephen Rundi berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua Ahli Parlimen BN untuk mengundi menolak kelulusan rang undang-undang kontroversi tersebut.
RUU yang dibentangkan oleh Hadi di Parlimen bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berkaitan dengan had jumlah hukuman.
Dr Rundi berkata, kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk menentang pindaan itu.
“Pendirian kami dari hari pertama sejak PAS melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan adalah jelas – bahawa undang-undang hudud tidak akan dilaksanakan di Sarawak kerana negara ini adalah sebuah negara berbilang kaum.
“BN negeri telah membincangkan perkara ini dan keputusan sebulat suara dicapai untuk menolak undang-undang hudud di Sarawak kerana ia akan mengganggu ikatan sosial dan boleh membawa kepada ketidakharmonian dalam kalangan rakyat,” katanya seperti dipetik Sarawakvoice.
Katanya, disebut secara jelas oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam 53 inisiatifnya bahawa undang-undang hudud tidak akan dilaksanakan di Bumi Kenyalang.
Sementara itu, dilaporkan juga Naib Presiden PKR, See Chee How berkata, Ahli Parlimen PKR dari Sarawak, Dr Michael Teo akan mengundi menentang kelulusan Rang Undang-Undang ini.
Sarawak, negeri yang terbesar di Malaysia, mempunyai 31 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Daripada 31 kerusi, BN memegang 25,  DAP lima dan PKR satu. – Sarawakvoice


.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.