Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Antanom



Antanom



Antanom adalah seorang pahlawan Sabah yang terkenal dengan gelaran ‘Anak Rimba Berjiwa Besar’ dan sebagai pemimpin yang mengetuai ‘Pemberontakan Rundum’. Antanom atau juga dikenali dengan nama Ontoros telah dilahirkan pada tahun 1875 di kawasan Masinpunon di Sungai Salarom.


Antanom adalah anak keturunan suku kaum Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum Murut. Beliau telah dilantik sebagai pemimpin kaum Murut untuk menentang penjajah Inggeris terutamanya SBUB (Syarikat Berpiagam Borneo Utara).


Antanom adalah seorang pahlawan yang mempunyai peribadi yang keras, tegas, berani, handal bermain senjata dan mempunyai semangat sedia berkorban yang tinggi dalam melindungi keluarga dan kaumnya. Beliau telah bangkit menentang penjajah Inggeris pada tahun 1915 disebabkan beberapa faktor yang telah mencabar kewibawaannya.


Pertamanya, SBUB telah melarang pembukaan tanah baru untuk pertanian yang menyebabkan kaum Murut kekurangan beras. Sebaliknya, tanah-tanah tersebut dicerobohi pula oleh SBUB yang ingin membina jalan di situ. Kaum Murut jugalah yang dipaksa menjadi buruh paksa dalam membina jalan-jalan itu serta merentang kawat telegraf di antara Tenom ke Rundum tanpa sebarang upah. Upah yang diberikan hanyalah sekadar rokok tembakau sahaja.


Keduanya, hak kaum peribumi Murut juga turut dicerobohi apabila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Bahkan, mereka turut dikenakan dengan pelbagai cukai yang tidak wajar seperti cukai kepala (sedolar seorang), cukai tanaman pindah (lima puluh sen setiap ekar), cukai pokok kelapa (dua puluh lima sen sebatang) dan banyak lagi cukai-cukai yang lain.


SBUB juga telah mengasingkan suami isteri kaum Murut dan jikalau mereka ingin bertemu, bayaran sebanyak sedolar dikenakan. Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar seorang Pegawai Daerah bernama Mazwell Hall ke Rundum untuk menyekat amalan memburu kepala. Semua perubahan-perubahan demikian telah menaikkan kemarahan kaum Murut kerana kehidupan mereka sebelum ini bebas dan merdeka telah diganggu.


Untuk menebus maruah kaum Murut, Antanom telah melancarkan satu pemberontakan yang disertai oleh kaum Murut daripada beberapa kawasan seperti Tenom, Keningau, Pensiangan, dan perbatasan daerah Borneo. Pada bulan Mac 1915, Pemberontakan Rundum telah berlaku apabila Antanom serta kaumnya telah melancarkan serangan ke atas Rundum dan berjaya memusnahkan pusat pentadbiran SBUB disitu.


Beliau kemudiannya telah membina sebuah kubu pertahanan yang digelar ‘Silar Pinikrit’ di Sungai Selangit. Pada bulan April 1915, SBUB telah melancarkan serangan di kubu pertahanan ini dan Antanom telah terpedaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai yang dirancang SBUB. Namun, sebaliknya orang upahan Inggeris telah memenggal kepalanya.


Pengikut-pengikut Antanom yang lain telah dikenakan tindakan tegas oleh SBUB dengan memaksa mereka menjadi buruh paksa untuk memasang telegraf. Mereka juga dikehendaki bersumpah untuk taat setia kepada SBUB. Bagi memperingati jasa Antanom, namanya telah digunakan untuk menamakan daerah di negeri Sabah ini dan sebuah tugu khas telah dibina sebagai penghormatan di atas perjuangannya.



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.