Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Mereka dimalukan di Palembang




Belanda dimalukan di Palembang


Belanda menang dengan tipu muslihat







PERANG MENTENG


Perang Menteng di Palembang, Sumatera meletus pada 12 Jun 1819 sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud Badaruddin II (1803-1821). Palembang pada ketika itu telahpun berkembang menjadi sebuah kerajaan yang tidak kurang makmurnya hasil daripada galian bijih timah dan tanaman lada.


Belanda telah melantik seorang pesuruhjaya bernama Edelheer Mutinghe untuk mengawal selia pentadbiran kawasan tersebut. Mutinghe berkeras untuk tidak mengiktiraf pemerintah tempatan dan mengambil inisiatifnya sendiri untuk mencabar kedaulatan Sultan Palembang dengan memaksa baginda mengakui ketuanan Belanda.


Tidak berpuas hati dengan keangkuhan Mutinghe, penduduk tempatan yang menyokong Sultan Mahmud memulakan serangan yang telah membunuh ramai askar Belanda. Belanda kemudiannya menyerang balas dengan mengirim lebih ramai askar ke Palembang dengan misi penjajahan tetapi sekali lagi, mereka telah dimalukan


Untuk menguatkan lagi pertahanan Palembang, Sultan Mahmud telah mengarahkan pembinaan 'Benteng Kuto Besak' (Kota Besar) bagi menangkis serangan Belanda yang kemudiannya dilancarkan pada 30 Oktober 1819.


Menyedari kekuatan Palembang, pihak Belanda telah melakukan kerja-kerja pengintipan menerusi pedagang Arab dan pedagang Cina, tetapi tetap gagal menguasai Palembang pada awal tahun 1821. 


Sewaktu terjadinya perang, kedua-dua pihak Belanda dan Palembang telah bersetuju untuk tidak melakukan serangan pada hari Jumaat dan Ahad bagi menghormati hari suci agama Islam dan agama Kristian. Tetapi Belanda dengan licik telah melanggar perjanjian ini dengan menyerang Palembang secara mengejut pada 24 Jun 1821 yang seterusnya melumpuhkan kesultanan ini. 


Keesokan harinya, Sultan Mahmud Badaruddin II dan keluarganya telah dihantar ke Batavia (Jakarta) dan seterusnya dibuang negeri ke Ternate sehingga baginda mangkat pada 26 September 1852.


Belanda yang menyerang dengan cara penipuan ini telah menghancurkan sama sekali kesultanan Palembang; jika tidak, Palembang mungkin akan kekal sebagai sebuah kerajaan berdaulat di Sumatera pada ketika ini




KESIMPULAN


Bermula dari kurun ke-16 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu telah secara sedikit demi sedikit dijajah oleh kuasa-kuasa luar seperti Belanda, Sepanyol, British dan juga kuasa serantau, Siam.


Biarpun dijajah dan tanahair mereka dijarah, sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa rumpun Melayu ini tidak dengan mudah menyerah tanpa sebarang penentangan. Kisah 'empat perang' yang dibincangkan ini iaitu, Perang Kedah-Siam, Perang Menteng, Perang Kastilla dan Perang Gowa telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu telah memberikan penentangan yang kuat dengan semangat juang dan jati diri yang tinggi dalam mempertahankan tanahair mereka daripada penjajahan.


Kesultanan Brunei yang masih wujud sehingga kini adalah peninggalan warisan Melayu yang boleh dibanggakan di Nusantara - walaupun telah secara sementara dijajah Sepanyol, kerajaan ini terus kekal sehingga kini sebagai sebuah negara Melayu Islam berdaulat yang merdeka.


Maka, orang-orang Melayu harus melihat sejarah episod penjajahan ini bukan sebagai suatu alasan untuk menjadi layu, tetapi sebagai suatu semangat bagi membina jati diri untuk berusaha maju ke hadapan dalam membina negara-negara rumpun Melayu yang telah merdeka, tidak kira di Malaysia, Brunei ataupun Indonesia.


Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang felo bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu




.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.