Jangan biar China terus ratah etnik Uighur
12 Februari 2019
KUALA LUMPUR - “Bayangkan
perisik kerajaan China dikerahkan untuk tidur dan tinggal bersama dengan
keluarga etnik minoriti Islam Uighur yang menghuni Wilayah Xinjiang terletak
barat laut China.
“Tekanan dan penindasan
rejim komunis China terhadap etnik Islam Uighur benar-benar meruncing dan
menyeksakan. Anggota perisik China ini dihantar untuk menghuni setiap rumah
etnik Uighur di Xinjiang malah tidur bersama seluruh ahli keluarga,” demikian
gambaran dasar tekanan asimilasi sistematik yang dilaksanakan oleh China
terhadap etnik Uighur.
Kisah perit ini dikongsikan
oleh imam etnik Uighur yang kini bermastautin di Australia, Abdul Salam Alim
yang menceritakan penderitaan dan tekanan yang dihadapi kaum keluarga dan
populasi jutaan lain bangsanya di Xinjiang.
Hal demikian, Islam seluruh
dunia harus buka mata dan bangkit melawan kekejaman China yang bertindak
sewenang-wenangnya menindas dan memberi layanan buruk terhadap etnik minoriti
Islam Uighur yang menghuni Wilayah Xinjiang.
Bukan sahaja hak mereka
sebagai rakyat negara China dinafikan, lebih kejam hak asasi sebagai manusia
dan Muslim juga dipinggirkan, China seolah-olah cuba melenyapkan kehidupan dan
kewujudan etnik Uighur dari tanah air yang dikuasai rejim Komunis itu.
Mengimbas sejarah, Xinjiang
sebelum ini dikenali sebagai Turkistan Timur ia dibuka ketika zaman Bani
Umayyah sejak tahun 96 Hijrah, asalnya wilayah ini milik Islam sebelum dijajah
Komunis China.
Menurut Abdul Salam, wilayah
Xinjiang yang bersempadan dengan Pakistan dan Afganistan itu sudah 70 tahun
dicengkam dan disiat oleh kekejaman kerajaan China dengan menggunakan pelbagai
tipu helah agar dunia dan negara Islam luar tidak sedar ‘bangkai’ yang cuba
disembunyikan itu daripada pengetahuan umum.
“Ajaran Islam, cara hidup
Islam termasuk makanan dan minuman yang bertanda halal juga dilarang. Kami
etnik Uighur tidak lagi dibenarkan mengucapkan Assalamualaikum, malah setiap
kali solat, selepas tahiyat akhir ketika beri salam digantikan dengan semoga
Presiden China, Xi Jinping panjang umur. Tidak boleh sebut ALLAH, tidak boleh
mengamalkan agama Islam, semuanya didoktrin bertuhankan kerajaan China. Kami
juga dipaksa minum arak dikhalayak ramai pada bulan puasa.
“Masjid dikunci, kami tidak
dibenarkan berpuasa. Ketika bulan Ramadan jika buka lampu pada waktu sahur,
seluruh keluarga akan ditangkap. Malah ketika siang, mesti mengaku tidak
berpuasa agar tidak ditangkap.
“Tambahan pula, seperti
sekarang sambutan Tahun Baharu Cina, etnik Islam Uighur akan ‘dihadiahkan’
daging babi untuk tujuan perayaan, jika kami tolak dituduh sebagai pelampau
(ekstremis),” kongsi Abdul Salam.
Tambah beliau, Islam Uighur
dilarang sama sekali menyimpan al-Quran, sejadah, ayat-ayat suci atau gambar
Kaabah di rumah atau mana-mana premis kerana jika diketahui ia akan dibakar.
“Lebih dahsyat lagi, bukan
penguasa China yang membakar sebaliknya mereka mengarahkan Islam Uighur sendiri
membakarnya.
“Kami juga tidak dibenarkan
untuk mempunyai atau menyimpan sebarang senjata tajam mahupun pisau. Jika
mengusahakan jualan daging atau makanan lain yang perlu menggunakan pisau, ia
diikat di meja atau ditempat berniaga, tidak boleh di bawa pulang,” katanya.
Bercerita mengenai tipu
helah kerajaan China, beliau berkata, China ‘membenarkan’ lawatan delegasi luar
untuk berkunjung ke Wilayah Xinjiang namun, lawatan itu disusun dan diatur agar
yang terlihat hanya sisi murni kerajaan komunis itu.
“Sehari sebelum kunjungan
delegasi luar ke Wilayah Xinjiang, kerajaan republik China akan membuka
masjid-masjid yang dikunci selama ini. Kemudian, ditugaskan seorang imam upahan
yang akan menceritakan ideologi-ideologi kerajaan China dan dasar kerajaan yang
baik-baik sahaja kepada pelawat misalnya etnik Uighur bebas mengamalkan agama
Islam.Namun, selepas pelawat pulang, kami akan ditekan seperti biasa.
“Kunjungan delegasi luar
juga hanya dibenarkan melawat di kawasan dan tempat tertentu sahaja bukan boleh
melancong sesuka hati, hanya tempat yang dibawa sahaja,inilah tipu daya China,
untuk mengelabui mata dunia,” jelasnya.
Ditanya mengenai kebebesan
etnik Islam Uighur untuk pergi ke wilayah-wilayah lain di China, Abdul Salam berkata,
meskipun Uighur memiliki kad pengenalan China dan mata wang negara itu namun,
mereka tetap dilayan dengan teruk.
“Sekiranya kami (Uighur)
berkunjung ke Shanghai atau Beijing misalnya, meskipun kami ada kad pengenalan
yang mengesahkan kami rakyat China dan membawa wang. Kami tidak sesekali
dibenarkan untuk menaiki kenderaan awam malah tidak boleh juga untuk melanggan hotel.
“China cuba sedaya upaya
untuk menindas kami. Mereka mahu kami jadi China seperti mereka. Namun, gagal
kerana Uighur ini beragama Islam, bahasa dan budaya kami nyata berbeza dengan
mereka,” katanya.
Selain itu, Abdul Salam
berkata, antara tekanan dan desakan lain yang dilakukan kerajaan China ialah
memaksa perempuan etnik Uighur untuk menikahi lelaki bukan Islam daripada etnik
Han dengan tujuan anak yang lahir daripada perkahwinan itu tidak lagi Islam.
“Perempuan Islam di Xinjiang
ditegah sama sekali memakai hijab ataupun memakai baju labuh, jika ditemui
pihak berkuasa China baju mereka akan dipotong sehingga paras pinggang supaya
kelihatan seperti wanita China lain.
“Bukan itu sahaja,
kanak-kanak Islam Uighur dipisahkan daripada ibu bapa dan dipaksa bersekolah
dalam aliran China. Bahkan diajar ideologi, bahasa dan pakaian seperti China,
ini ialah cara kerajaan untuk melenyapkan kewujudan Uighur,” katanya.
Susulan itu, Ketua Pegawai
Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Samsudin berkata,
GPM berusaha membantu saudara seagama di Xinjiang dengan mengatur pertemuan
wakil-wakil etnik Islam Uighur ini dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
“GPM dan Angkatan Belia
Islam Malaysia (Abim) sedang giat melancarkan kempen kesedaran untuk masyarakat
Islam di Malaysia sedar bahawa saudara Islam kita di Xinjiang ditindas dan
ditekan oleh kerajaan China.
“Malaysia memang ke depan
dalam isu kemanusiaan seperti ini, sebab itu kami cuba membawa isu ini untuk
diberi perhatian Perdana Menteri dan Menteri Luar supaya kes penindasan etnik
Islam Uighur ini dibawa ke persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk mengecam tindakan China atas
layanan buruk terhadap rakyatnya sendiri,” katanya.
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.