Total Pageviews

Saturday, 16 November 2019

Da Vinci Jumpa Hang Tuah


Da Vinci Jumpa Hang Tuah





Kuala Lumpur: Penemuan dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai bukti terkini kewujudan Laksamana Hang Tuah diharap dapat menafikan pandangan sesetengah pakar sejarah yang mengatakan kononnya kisah pahlawan legenda Melayu itu mitos.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) Prof (Adj) Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin berkata, selama ini kewujudan Hang Tuah bersandarkan kepada beberapa nukilan tempatan, antaranya Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).

“Walaupun penemuan fakta terbaru itu belum dapat disahkan kerana penyelidik terbabit perlu bertemu pakar sejarah serta meneliti manuskrip lama di Sepanyol dan Portugal, sekurang-kurangnya kita ada penemuan terkini mengatakan Hang Tuah wujud sekali gus menolak pandangan mereka yang mengatakan kisahnya mitos.

“Memang kita tidak boleh nafikan ada ahli sejarah Malaysia yang berpandangan Hang Tuah hanya mitos, mungkin disebabkan terlalu banyak tokok tambah seperti mempunyai kesaktian dan hidup sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai fakta yang tercatat di dalam buku Notes of Leonardo da Vinci mengenai pertemuan antara pelukis potret Mona Lisa, Leonardo da Vinci dan Hang Tuah di Eropah antara 1503 hingga 1506 sekali gus membuktikan pahlawan legenda Melayu itu benar-benar wujud.

Dalam catatan itu, da Vinci menulis ‘saya melukis kenderaan selepas berjumpa dengan orang kaya Melaka’ dan perkataan selepas itu tidak jelas sama ada disebut laksamana atau Hang Tuah.

Penemuan terbaru itu didedahkan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Dr Rohaidah Kamaruddin dan Profesor Linguistik Melayu dari fakulti sama Prof Emeritus Dr Hashim Musa.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Jamil berkata, beliau menghargai sumbangan kedua-dua pensyarah berkenaan dalam kajian pahlawan Melayu itu sehingga menghasilkan buku Hang Tuah: Catatan Okinawa yang menceritakan mengenai kewujudan laksamana tersohor itu ketika zaman kegemilangan Empayar Melaka.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.