Amanah Raja Hijau
Pattani (Thailand): Dakwaan kewujudan perigi ataupun telaga
Laksamana Hang Tuah di Kampung Krisik, di sini, bukanlah sekadar mempunyai
elemen sejarah sebaliknya simbol kebanggaan buat penduduk tempatan.
Mana tidaknya, telaga berkenaan dikatakan wujud selepas ‘orang
kuat’ kerajaan Melayu Melaka itu didakwa dimalukan pemerintah kerajaan Melayu
Islam Pattani Darussalam ketika itu iaitu Raja Hijau disebabkan sikap
sombongnya.
Berdasarkan cerita penduduk tempatan yang juga Pengerusi Bunga
Raya Group untuk Pendidikan Pattani Hassan Mohd Toha berkata, telaga berkenaan
digali Hang Tuah selepas dia tidak diberikan sebarang makanan mahupun minuman
oleh Raja Hijau iaitu pemerintah wanita Kerajaan Pattani.
Menjelaskan lanjut, Hassan mendakwa Hang Tuah yang dihantar
Sultan Mahmud untuk melakukan kunjungan ke Kerajaan Ayuthia singgah di Pattani
bersama rombongannya pada 15 Zulhijjah 1387.
“Sebaik tiba di istana pemerintah, Hang Tuah mengatakan Kerajaan
Melaka lebih kuat berbanding negara ini (Kerajaan Pattani) selepas melihat ia
(negara) diperintah oleh seorang wanita.
“Tersentak dengan kenyataan itu, Raja Hijau dilaporkan turun
dari takhtanya dan bersilat bersama 300 pengawal istananya yang juga kebanyakannya
adalah wanita. Ketika itu barulah Hang Tuah sedar bahawa Kerajaan Pattani juga
mempunyai kekuatan sendiri.
“Jadi, Hang Tuah mengakui dengan kekuatan berkenaan, maka
wujudnya kata-kata popular ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’,” katanya.
Hassan berkata, disebabkan sikap sombong Hang Tuah, Raja Hijau
tidak memberi layanan istimewa kepadanya.
“Jadi, Hang Tuah dan rombongannya terpaksa menggali telaga untuk
mendapatkan minuman,” katanya.
Wartawan yang turut ke perkampungan berkenaan mendapati telaga
yang dikatakan digali Hang Tuah terletak tidak jauh daripada bekas tapak
Kerajaan Pattani.
Disebabkan pembangunan jalan raya, penduduk dikatakan menambah
binaan di atas perigi berkenaan bagi memeliharanya.
Selain kisah popular itu, wartawan turut dimaklumkan seorang
warga emas mahu dikenali sebagai Hashim, 74, yang juga penduduk kampung
berkenaan bahawa, Hang Tuah menggali perigi berkenaan adalah disebabkan faktor
keselamatan kerana bimbang diracun.
“Hang Tuah seorang yang mempunyai banyak musuh dan dicemburui
semua pihak atas ketokohan serta kejayaannya, jadi bagi menjaga keselamatan
diri dan rombongannya, mereka menggali telaga ini,” katanya kepada wartawan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan
Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Rohaidah Kamaruddin ketika
dihubungi Harian Metro berkata, pihaknya sudah ke kawasan berkenaan tahun lalu
bagi melakukan kajian termasuk menemu bual penduduk dan pengkaji sejarah di
negara berkenaan.
“Perigi itu memang wujud cuma bukti nyata masih belum ditemui.
Disebabkan itu, kita masih menganggap ia adalah cerita rakyat namun kajian
lanjut masih diteruskan bagi membuktikan kehadiran laksamana berkenaan di bumi
Pattani.
“Sehingga kini, tiada bukti sahih seperti monumen, catatan
sejarah mahupun manuskrip yang mengesahkan kehadiran pahlawan Melayu itu.
“Usaha kita masih diteruskan
bagi merungkai sejarah Pattani dan pahlawan Melayu itu kerana dipercayai banyak
urusan dilakukan dengan Hang Tuah menjadi sebagai orang perantaraan antara dua
kerajaan,” katanya.
Artikel ini
disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.