Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Kenapa sepanyol gagal jajah Brunei ?



Kenapa sepanyol gagal jajah Brunei ?




PERANG KASTILLA

Sepanyol dan kesultanan Brunei pernah terlibat dalam suatu peperangan yang dianggap antara yang terbesar di dalam sejarah Nusantara iaitu Perang Kastilla. Pada tahun 1576, gabenor Sepanyol bernama Francisco de Sande bersama pengikutnya telah belayar ke Brunei untuk menghadap Sultan Saiful Rijal.

Objektif utama mereka adalah untuk menjalin hubungan baik dengan Brunei dan untuk mendapatkan kebenaran mengembangkan ajaran Kristian di wilayah kesultanan ini. Francsico juga menuntut Brunei untuk menghentikan penyebaran Islam di kepulauan Filipina.
Sultan Saiful Rijal menolak permintaan Francisco dan akibat daripada itu, pihak Sepanyol melancarkan peperangan ke atas Brunei pada tahun 1578.

Ekspedisi peperangan menentang Brunei ini melibatkan 2,200 bala tentera. Kota Batu, ibukota Brunei ketika itu telah ditawan pada 16 April 1578 mengakibatkan Sultan Brunei terpaksa melarikan diri ke Jerudong bagi mengatur serangan balas bagi menghalau Sepanyol keluar dari Kota Batu.

Setelah berjaya mengumpulkan kekuatan, serangan telah dilancarkan oleh Bendahara Sakam dengan penuh semangat keberanian dan akhirnya beliau berhasil mengusir Sepanyol dari bumi Brunei pada 26 Jun 1578 - 72 hari setelah Brunei dijajah Sepanyol. Tentera Sepanyol telah dikejar oleh bala tentera Brunei sehingga mereka lari ke Sabah.

Jika tidak kerana keberanian dan semangat juang yang tinggi pasukan tentera Melayu Brunei, Brunei mungkin akan menjadi sebahagian daripada wilayah takluk Sepanyol di Timur. Sehingga hari ini, Brunei kekal sebagai sebuah kesultanan yang berdaulat yang masih mengamalkan konsep Melayu Islam Beraja (MIB).



KESIMPULAN

Bermula dari kurun ke-16 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu telah secara sedikit demi sedikit dijajah oleh kuasa-kuasa luar seperti Belanda, Sepanyol, British dan juga kuasa serantau, Siam.

Biarpun dijajah dan tanahair mereka dijarah, sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa rumpun Melayu ini tidak dengan mudah menyerah tanpa sebarang penentangan. Kisah 'empat perang' yang dibincangkan ini iaitu, Perang Kedah-Siam, Perang Menteng, Perang Kastilla dan Perang Gowa telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu telah memberikan penentangan yang kuat dengan semangat juang dan jati diri yang tinggi dalam mempertahankan tanahair mereka daripada penjajahan.

Kesultanan Brunei yang masih wujud sehingga kini adalah peninggalan warisan Melayu yang boleh dibanggakan di Nusantara - walaupun telah secara sementara dijajah Sepanyol, kerajaan ini terus kekal sehingga kini sebagai sebuah negara Melayu Islam berdaulat yang merdeka.

Maka, orang-orang Melayu harus melihat sejarah episod penjajahan ini bukan sebagai suatu alasan untuk menjadi layu, tetapi sebagai suatu semangat bagi membina jati diri untuk berusaha maju ke hadapan dalam membina negara-negara rumpun Melayu yang telah merdeka, tidak kira di Malaysia, Brunei ataupun Indonesia.

Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph.D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang felo bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu





.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.