Total Pageviews

Saturday 16 November 2019

Senjata api Melayu Lama yang disorokkan



Senjata api Melayu Purba yang disorokkan


Kehebatan artileri Melayu dikaburkan dalam sejarah






KUALA LUMPUR: Penggunaan senjata api oleh pahlawan Melayu ketika menentang penjajah antara kisah cuba dikaburkan dalam peristiwa kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka.


Kononnya angkatan tentera Melayu ketika itu hanya menggunakan keris, tombak dan sumpit beracun sebagai senjata melawan musuh.


Biarpun dalam sukatan pelajaran mengakui kewujudan senapang dan meriam, penggunaan senjata tradisional seperti keris, tombak serta sumpit beracun acap kali digambarkan sebagai senjata utama dalam menghadapi serangan Portugis pada 1511.


Penyelidik Ilmu Persenjataan Melayu, Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah, berkata fakta sebenar jelas membuktikan tentera Kerajaan Melayu Melaka memiliki lebih 8,000 laras senapang dan meriam.


Wan Mohd Dasuki yang berkepakaran Filologi dan Etnografi berhubung senjata Melayu berkata, dengan angka senjata yang besar dimiliki itu, memang timbul andaian mengenai kekalahan pada pihak orang Melayu.


Katanya, mungkin aspek penyimpanan dan penyelenggaraan senjata api serta peluru yang kurang baik, menjadikan hasilnya kurang berkualiti.


“Peluru atau lebih dikenali sebagai ubat bedil sangat sensitif dengan keadaan cuaca panas dan lembap boleh merosakkannya. Sekiranya senjata banyak tetapi peluru tidak berkesan, sudah pastilah kurang berhasil,” katanya pada Wacana Manuskrip Melayu, Istinggar dalam Manuskrip Melayu: Tradisi Ilmu dan Teknologi Minangkabau di sini.




Bukti penggunaan senjata dalam masyarakat Melayu

Wan Mohd Dasuki berkata, jumlah senjata bukan persoalan utama, tetapi bukti lebih penting ialah penggunaannya dalam masyarakat Melayu sejak Kesultanan Melaka sudah dibuktikan menerusi fakta sejarah, sekali gus menunjukkannya memiliki teknologi tinggi.


“Mengikut fakta sejarah, selepas Melaka ditawan, Alfonso de Albuquerque menemui gudang senjata ditinggalkan di Melaka.


“Catatannya turut menyebut senapang ditemui itu, menyamai kualiti senapang buatan Jerman, malah tidak mampu ditandingi Portugis.


“Albuquerque pada 1557 turut menyatakan senjata api dirampas sebanyak 3,000 laras dengan 2,000 daripadanya berkualiti tinggi dengan hasil buatan besi mengagumkan,” katanya yang menghasilkan sarjana bertajuk Pengetahuan dan Teknologi Melayu Berhubung Penggunaan Senjata Api: Analisis Naskhah Ilmu Bedil.


Wan Mohd Dasuki, berkata kehebatan ilmu persenjataan Melayu dibuktikan dalam sejarah itu, menempelak pandangan sinis yang mengatakan masyarakat Melayu hanya berperang menggunakan keris dan ilmu persilatan Melayu sahaja.


“Orang Melayu sudah memiliki senjata api sebelum kedatangan Portugis ke Melaka yang dibuktikan menerusi beberapa catatan sejarah penjajah Barat, termasuk Albuquerque.


“Catatan Albuquerque turut mendedahkan penemuan meriam bersaiz jauh lebih besar daripada milik Portugis tetapi ia dihantar ke Kota Calicut sebagai hadiah,” katanya.


Senjata api disebut juga bedil itu turut ditemukan dalam manuskrip Melayu dengan sekurang-kurangnya enam manuskrip bertulisan jawi lama setakat ini dikesan membicarakan ilmu bedil orang Melayu.


Di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, bedil dirujuk sebagai senapang.


Bedil merujuk kepada dua karakter senjata api berbeza, iaitu artileri, manakala senjata api ringan yang diertikan pada masa kini ialah senapang.



Berfungsi gempur kubu barisan musuh

Artileri seperti lela, rentaka atau meriam yang dapat menembak kapasiti peluru dengan impak ledakan lebih besar, selain berfungsi menggempur atau mengepung kubu dan memporak-perandakan barisan musuh dalam jarak jauh.


Senjata api ringan pula ialah sejenis bedil kecil yang selalunya merujuk senjata persendirian yang dibawa dan dikendalikan secara peribadi.


Di sebalik tanggapan senjata api yang sering dikaitkan dengan keganasan, Wan Mohd Dasuki berkata, ia perlu terus dipelihara untuk membuktikan khazanah senjata warisan sendiri boleh dibanggakan dan bukan hanya mengagungkan kehebatan bangsa lain.


“Senjata api patut diangkat, dipertahankan dan diterapkan supaya orang muda tidak terlalu jumud.


“Warisan senjata Melayu seolah-olah terputus hingga kini baru orang mengetahui kita mempunyai senjata api,” katanya.


Beliau turut meluahkan kegusaran apabila generasi muda hanya takjub tetapi khazanah itu dibiarkan tanpa pendekatan memelihara sebagai warisan yang boleh dibanggakan.


“Orang muda sekarang cukup dengan berkata ‘wow’ tetapi diam, sedangkan perlu ada usaha supaya memberi impak dalam mempelajari dan memahami falsafah serta pengajaran di sebalik penghasilan senjata,” katanya.


Wan Mohd Dasuki berkata, beliau sedang melakukan kajian berhubung melangsungkan penggunaan senjata untuk diangkat secara lebih baik lagi.


“Usaha itu memakan masa kerana membabitkan aspek perundangan seperti keris boleh disimpan kerana warisan berbanding senjata api yang dianggap sebaliknya.


“Penguatkuasaan undang-undang perlu diselaraskan terlebih dahulu dan diambil serius kerana tentera marin Amerika Syarikat (AS) memanfaatkan kerambit yang berasal daripada khazanah kita.


“Usaha sama semua pihak perlu ada untuk mencetuskan kesedaran itu kerana sejarah ialah praktik dan implimentasi yang bukannya hanya baca dan hafaz,” katanya.


Beliau berkata, manuskrip ilmu bedil perlu dipersembahkan kepada khalayak yang ingin mendalami makna teknologi menurut sumber berautoriti yang paling dekat dengan kehidupan orang Melayu itu sendiri.



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.