Minyak masak ganti minyak pelincir kereta
Percayakah anda
bahawa minyak masak berasaskan minyak kelapa sawit boleh digunakan sebagai
minyak pelincir untuk kenderaan anda?
Malahan sudah
teedapat segelintir penduduk di Negeri Sembilan menggunakan minyak masak
sebagai minyak pelincir atau minyak hitam untuk kereta mereka tanpa menghadapi
sebarang masalah.
Pengurus Pemasaran
Sekolah Golf Michael Ismail, Nik Safian Afzani Omar berkata, beliau telah
menggunakan minyak masak yang dibeli pada harga RM2.50 sepaket untuk kereta
Kancilnya.
"Kancil saya
menggunakan tiga liter minyak hitam. Jadi, saya tuang dua paket setengah minyak
masak untuk menyamai kuantiti itu. Dahulu, kalau servis minyak hitam, saya
berhabis sehingga RM130, tetapi sekarang kurang RM10", katanya.
Jika dahulu beliau
menggunakan minyak hitam semi sentetik jenama Castrol, kini Nik Safian Afzani
menggunakan 'minyak hitam' yang dibelinya dari sebuah pasaraya.
Menurutnya, selepas
menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam, suhu enjinnya sangat rendah dan
meter suhu tidak pernah lebih dari satu takuk.
Nik Safian berkata,
ketika menghantar kereta ke sebuah bengkel kenderaan untuk ditukar penapis
minyak, pekerja bengkel tersebut terkejut apabila mendapati keretanya
menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam tetapi mengakui ini merupakan
alternatif terbaik sebab harga minyak pelincir pada hari ini sudah naik.
Sementara itu,
pencipta alat penjimat minyak kereta berasaskan gas hidrogen dan air, Hisham
Abdullah, 43, turut menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam untuk kereta
Proton Iswaranya.
Beliau sudah
menggunakan bahan itu setahun yang lepas dan mendapati tidak ada kesan negatif
menimpa keretanya.
Bekas jurutera sebuah
syarikat Jepun serta graduan dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan dari
Universiti Arkansas, Amerika Syarikat itu berkata: "Minyak kelapa sawit
merupakan minyak paling sentetik, tetapi kita tidak tahu mengenainya."
Mekanik kereta, Mohd
Tajuddin Jalil pula, mula mengetahui mengenai rahsia minyak masak sebagai ganti
minyak hitam kira-kira dua tahun lalu selepas bertemu dengan seorang pakar
minyak dari luar negara.
Sejak itu, beliau
menggunakan minyak masak berasaskan kelapa sawit sebagai minyak hitam
keretanya, malahan beliau mengenali 67 pengguna kereta di Negeri Sembilan yang
menggunakan minyak masak sebagai pelincir enjin kereta mereka.
"Hanya minyak
masak berasaskan kelapa sawit shaja boleh digunakan sebagai minyak hitam.
Jangan pakai minyak masak berasaskan jagung, sayuran atau kacang kerana minyak
ini pada suhu sejuk akan menjadi beku," katanya.
Katanya lagi, harga
minyak hitam keluaran pelbagai syarikat kini meningkat dengan sebotol empat
liter minyak hitam semi-sentetik kini berharga RM160 dan minyak sentetik
sepenuhnya, mencecah RM200.
Bagaimanapun, beliau
menasihatkan orang ramai supaya menukar gasket kereta mereka kepada jenama yang
lebih baik sebelum menggunakan minyak masak sebagai minyak pelincir enjin
kereta.
Orang ramai juga
boleh melayari laman web http://www.nordicgroup.us/oil.htm The 3000 Mile
Facts untuk maklumat yang sama . - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.