Dari Lanun Kepada Jeneral
Fitnah Orang Putih
Apabila disebut Barbarossa, ramai dalam kalangan kita akan
terbayangkan watak seorang lanun memakai penutup sebelah matanya seperti yang
terdapat dalam filem Pirates of The Carribean. Namun, tahukah kita
sebenarnya "Barbarossa" adalah sebuah nama yang amat
signifikan dalam dunia peradaban Islam dahulu kala. Barbarossa bererti janggut
merah. Hanya terdapat tiga orang tokoh besar dunia yang berjanggut
merah, iaitu Maharaja Frederick daripada Rom (1123-1190) dan dua
orang adik-beradik, Aruj dan Khairuddin atau disebut dengan Hayreddin,
kedua-duanya dari Turki.
Islam pernah mengangkat ketamadunan ke
peringkat yang tertinggi di bumi Andalusia, kebudayaan, falsafah (sains) dan
teknologi (terutama infrastruktur dan arkitekstur) lahir di wilayah semenanjung
Iberia (Sepanyol) tersebut. Thariq bin Ziyad yang telah membawa misi Islam
ke bumi tersebut juga telah diabadikan namanya menjadi nama gunung di
semenanjung tersebut, iaitu Jabal Thariq yang disebut oleh orang barat sebagai
Gibraltar (kini berada di bawah kuasa Inggeris). Sebuah gunung berhampiran
dengan selat yang menghubungkan lautan Atlantik dengan Laut Tengah. Ketika
era kegemilangan Islam, bangsa barat (Eropah) tercengang dengan kemajuan
Andalusia, Cordoba, Granada dan Sevilla setelah dipimpin Dinasti Bani Umayyah
pada tahun 756M. Umat Islam, Kristian dan Yahudi hidup aman penuh rukun
selama dua abad lebih di saat itu.
Sebermulanya era Perang Salib, Eropah telah
melancarkan misi Reconquista iaitu misi penaklukan kembali wilayah-wilayah
Eropah. Satu persatu bandar-bandar yang mempunyai peradaban tinggi mulai
jatuh, Lisboa, Merida, Cordoba, Valencia, Murcia, Sevilla dan kemuncaknya
dengan kejatuhan Granada pada tahun 1492M. Bangsa Moor di wilayah
Andalusia, terpaksa melarikan diri ke Afrika utara kerana misi Reconquista
diteruskan dengan misi pembantaian umat Islam iaitu dengan pembersihan kaum
muslim, sebahagian dipaksa murtad dan sebahagian lagi bersembunyi di
pergunungan.
Misi ini memuncak ketika raja Ferdinand II
dari Aragon berkahwin dengan ratu Isabella dari Castille, dan selanjutnya
dikenali sebagai Ferdinand V of Castille. Ferdinand merupakan seorang
penganut Kristian Katolik yang fanatik. Umat Islam dan Yahudi
dibantai dengan kejam pada era pemerintahannya. Masjid Cordoba yang
bertiangkan 1000 buah kini menjadi gereja, begitu
pula Istana Alhambra hanya tinggal kenangan. Reconquista
diteruskan ke arah Afrika utara dan ke arah timur yang mana tujuan
utamanya adalah tanah suci Jerusalem di wilayah Palestin. Berita
kejatuhan Andalusia ini sampai kepada Turki yang ketika itu dipimpin
oleh Sulaiman I The Magnificient yang telah berjaya menakluk
Byzantium.
Pada zaman inilah, terdapat dua orang adik
beradik, yang menjadi pelaut biasa berlayar di wilayah perairan
Yunani dan Turki yang bernama Aruj dan Hayreddin. Suatu hari kapal mereka
telah diserang kapal tentera St. John of Jerusalem atau biasa disebut
sebagai Knight of Rhodes, kejadian ini telah membuatkan adik bongsunya
terbunuh. Sejak daripada saat itu, Aruj dan Hayreddin melakukan aktiviti pelanunan
dan rompakan kepada semua kapal-kapal tentera Kristian. Aktiviti ini
sangat menggemparkan dan sangat ditakuti tentera Kristian, dikenali sebagai
lanun Barbarossa Brothers kerana kedua-duanya berjanggut merah. Makna
negatif Barbarossa dipropagandakan hingga sekarang oleh barat, contohnya
perompak pada komik Asterix dan watak Captain Barbarossa dalam filem Pirates of
the Carribean yang selalu sial.
Misi dendam Barbarossa Brothers akhirnya
berubah menjadi misi perjuangan Islam setelah mendengar jatuhnya
Andalusia. Puluhan ribu bangsa Moor (bahkan yang menghuni di pergunungan)
berjaya mereka selamatkan ke negeri-negeri Afrika Utara seperti Maghribi,
Tunisia dan Algeria, selain itu Algeria dijadikan pangkalan pertahanan lautnya.
Penguasa Algeria tidak seramah sultan di
Tunisia, Sultan Salim di Toumy malah pernah mengusir Barbarossa ketika sedang
bertempur dengan pasukan Kristian Sepanyol. Aruj mengambil keputusan kekal di
Algeria dan akhirnya memimpin bandar pelabuhan tersebut atas nama kesultanan
Turki. Pada tahun 1518, Sepanyol berjaya menghasut Amir bandar Tlemcen
(Tilmisan) untuk menentang Aruj, beliau menyerahkan Algeria kepada adiknya
Hayreddin dan beliau berangkat ke Tlemcen yang ternyata di sana beliau dan
tenteranya terpaksa berperang dengan saudara sendiri yang sesama Islam,
pasukannya tewas dan namun Aruj sempat meloloskan diri, namun banyak
pasukannya tertangkap. Namun, oleh kerana hubungannya dengan anak
buahnya yang lebih daripada sekadar kepentingan peribadi, Aruj kembali bertempur
dan gugur.
Gugurnya Aruj menjadikan pimpinan armada laut Algeria
Barbarossa berpindah ke Hayreddin. Sepanyol menyangka era Barbarossa telah
berakhir di Laut Tengah. Lalu, Sepanyol menghantar 20 000 tenteranya ke
Algeria, pertempuran hebat telah berlaku, namun Hayreddin berjaya mengalahkan
tentera laut tersebut. Beliau sedar terlalu banyak ancaman dari negeri di
sekelilingnya selain ancaman utama Sepanyol, hingga akhirnya Hayreddin meminta
melalui Algeria supaya Amir Tunisia dan Tlemcen dialihkan kekuasaannya atas
nama daulah Uthmaniah Turki, mereka pun bersetuju, hingga pada tahun 1519 Turki
mengangkat Hayreddin sebagai beylerbey atau wakil Turki di Algeria dan
memimpin pasukan Janissari, pasukan khas tentera elit Turki. Selama
Hayreddin memimpinnya, penyelamatan bangsa Moor di Andalusia semakin banyak
dilakukan, 7 kali pelayaran dengan 36 kapal direkodkan.
Kristian Eropah mula merasa tergugat dengan
kegemilangan Sulaiman I dari Turki, yang telah menguasai daratan dengan pasukan
Janissarinya dan menguasai Laut Tengah dengan keberadaan Hayreddin Barbarossa,
sang adik dari Aruj. Pada tahun 1529, di Pulau Penon disaat azan
berkumandang, tentera Sepanyol telah menembak meriam ke menara masjid, maka
terjadilah peperangan hebat dan setelah 20 hari peperangan, pulau tersebut
dikuasai Hayreddin. Di daratan pula, Sulaiman I cuba untuk merealisasikan
impiannya untuk menakluk Vienna, Austria, sebanyak dua kali serangan
dilancarkan namun kedua-duanya gagal. Pasukan Turki yang kembali pulang
sempat meninggalkan beberapa karung kopi serta menukar peraturan Pope Rom yang
sebelumnya mengharamkan minuman yang diminum kaum muslim itu. Kemudian
mereka menyebutnya sebagai cappuccino.
Pada tahun yang sama Andrea Doria di Genoa berjaya membaik
pulih Republik Genoa dan telah bersekutu dengan Charles V Sepanyol dan
meneruskan misi reconquista dengan berperang dengan Sulaiman I dan Barbarossa
yang menguasai perairan Laut Tengah. Kaum Eropah menyebut Barbarossa
sebagai lanun laut, walaupun tidak ada bendera hitam dan tengkorak yang menjadi
simbol, bahkan bendera yang diusung adalah berwarna hijau terdapat kaligrafi
doa “Nashrun minalLaah wa fathun qariib wa basysyiril mu'miniin”, ya Muhammad,
empat nama khulafa ur rasyidin, pedang zulfikar dan bintang segi enam
Yahudi. Ketika ini, bintang segi tiga itu masih belum digunakan oleh kaum
Yahudi malah ianya adalah simbol perjuangan. Hanya kini, kaum yahudi dan Israel
telah menggunakan simbol itu bagi pakatan zionis mereka dan telah menyebabkan
umat Islam fobia dengan simbol ini.
Charles V telah berusaha dengan bergabung
dengan Knights of Rhodes di Pulau Malta, namun masih lagi gagal membendung
penguasaan Barbarossa ke atas Laut Tengah. Turki yang kagum dengan
prestasi Barbarossa, telah mengangkat beliau menjadi Panglima Laut (Kapudan
Pasha) daulah Uthmaniah dan mengetuai angkatan Laut Turki Uthmaniah.
Pada tahun 1535, gabungan bersekutu Charles V
dan Andrea Doria yang telahpun mengubah nama kepada Knight of Malta telah
menyerang dan merebut Tunisia dengan 25 000 lebih pasukannya dalam 500
kapal. Pertempuran tersebut amat dahsyat dan Tunisia telah jatuh ke tangan
Sepanyol. Barbarossa walaupun kalah pada tahun-tahun berikutnya telah
berjaya menguasai kepulauan Beleares dan merampas kapal-kapal Portugis dan
Sepanyol di selat Gibraltar.
Pada tahun 1538, pakatan sekutu Itali Sepanyol
telah berperang di Preveza, tempatnya adalah di teluk Actium, tempat
pertempuran Octavian melawan Antonius dan Cleopatra dahulu kala. Preveza
merupakan pelabuhan penting di Laut Tengah ketika ini. Andrea memimpin 40
kapalnya dan Barbarossa dengan 20 kapal, namun dengan kepintaran Barbarossa
dalam mengatur strategi dan pengetahuannya yang mendalam ke atas bentuk muka
bumi dan geografi tempat pertempuran, pada waktu pagi sebelum pertempuran
bermula, armada Barbarossa telahpun bersiap siaga di mulut teluk Preveza dari
tiga arah dan telah mengebom armada Andrea sehingga armada Andrea berundur dari
pertempuran. Barbarossa tidak ingin berperang di laut lepas kerana
kapal-kapal armada laut Sepanyol mempunyai manuver yang lebih canggih.
Serangan ke atas Algeria oleh sekutu Charles V
dan Andrea Doria berlanjutan sehingga tiga tahun kemudian dengan 200 kapal di
luar perairan Algeria kerana kebimbangan diserang Barbarossa dari
belakang. Rakyat Algeria di bawah pimpinan Hasan Agha telah
bertempur bermati-matian mempertahankan negerinya. Semangat jihad mereka
membara untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Islam daripada jatuh ke tangan
kuffar dibantu pula dengan keberadaan ulama’-ulama’ di sana yang menjadi
pemangkin semangat kepada mereka. Charles V yang memperlekehkan dan mengambil
mudah pertahanan dan strategi peperangan Algeria yang ampuh, telah menyebabkan
armadanya huru-hara selain daripada telah dihentam dengan ribut laut yang
dahsyat ketika peperangan tersebut. Andrea Doria dan Charles V berjaya
selamat, dan kembali ke negerinya dengan kekalahan yang amat pahit.
Ketika Perancis berperang dengan Sepanyol,
Perancis telah bersekutu dengan Turki Uthmaniah, Barbarossa pun berangkat ke
Marseilles untuk merebut Nice dengan memimpin 30 000 orang tentera Turki
Uthmaniah. Sekepulangan dari Nice, Barbarossa kemudiannya berangkat ke Genoa
untuk membebaskan pembantu kepercayaannya, Turgut Reis. Beliau telah membawa
210 buah kapal ke sana dan mengancam akan menyerang Genoa melainkan Turgut Reis
yang telahpun dijadikan hamba serta dipenjara dibebaskan serta merta. Ugutan
ini telah membimbangkan Panglima Genoa, Andrea Doria yang mula membebaskan
tawanan itu dengan pertukaran hanya 3500 ducat emas. Setelah itu, banyak lagi
misi-misi penaklukan dan perluasan wilayah Islam telah diperintahkan oleh
Sultan Sulaiman 1 The Magnificient kepada Panglima Jeneral Angkatan Laut Turki
Uthmaniah ini, Hayreddin Barbarossa Pasha.
Panglima Hayreddin Barbarossa Pasha mula
bersara di Constantinople pada
tahun 1545, meninggalkan anaknya Hasan
Pasha sebagai waris penggantinya di
Algeria. Beliau kemudiannya menyerahkan memoir catatan
beliau kepada Muradi Sinan Reis. Ianya terdiri
daripada lima jilid yang
bertulisankan tangan yang dikenali
sebagai“Gazavati Hayreddin Pasa" (Penaklukan Hayreddin Pasha). Hari ini, ianya dipamerkan
dengan megah di Istana Topkapi dan Perpustakaan
Universiti Istanbul. Hayreddin Barbarossa Pasha meninggal dunia
pada 1546 di istana tepi laut di
kejiranan Büyükdere, Constantinople, di tepi barat
laut wilayah Bosphorus.
Beliau dimakamkan di makam yang
tinggi berhampiran dengan pelabuhan
feri daerah Besiktas di sebelah barat Istanbul yang
dibina pada 1541 oleh arkitek terkenal Mimar Sinan, tapak yang mana armadanya
digunakan untuk berhimpun. Memorial telah dibina pada tahun 1944, di sebelah
makam beliau.
Kita melihat betapa umat Islam dahulu kala
diangkat ke martabat yang tertinggi di muka bumi oleh Allah dek kerana
mempunyai pemimpin yang baik serta berkaliber, amanah dengan perjuangan
menegakkan syiar Islam ke serata dunia seperti Panglima Hayreddin Barbarossa
Pasha. Kita melihat betapa walaupun Barbarossa Brothers yang hanya dikenali
sebagai pelayar lautan berbangsa Turki yang biasa pada mulanya, seterusnya
digelar lanun di samudera pula, sanggup berkorban segalanya demi kemaslahatan
umat Islam walaupun yang berlainan bangsa dengan mereka iaitu bangsa
Moor.
Inilah ikatan ukhuwah Islamiah yang terdapat
pada umat Islam terdahulu yang merentasi sempadan negara, bangsa dan budaya,
hanyalah didasari atas kalimah tauhid yang satu. Maka di sinilah, perjuangan
mereka yang terdahulu perlu diteladani dan corak kepimpinan mereka perlu
dicontohi serta dipraktikkan oleh umat Islam khususnya di Malaysia. Pastikan
pemimpin yang kalian pilih itu adalah dari golongan mereka yang hampir,
beriman, taqwa dan mendapat petunjuk di jalan yang lurus lagi diredhai Allah
dan bukan mereka di jalan yang dimurkai Allah. Kerana dengan pemimpin kalian
yang terbaik dalam segala hal, bijaksana serta amanah dalam mentadbir urus
negara, maka dengan ini barulah umat Islam akan digeruni musuh dan disenangi
kawan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.