Sejarah Yang Digelapkan 7
Jepun dan Islam - Tenggelamnya Harapan Ummah
Bersama Ertugrul
Tatkala tamadun Islam Uthmaniyyah di ambang
keruntuhan dek serangan luar dan dalam, ketika itulah suatu negeri baru
ditawarkan sebagai tapak menyuburkan Islam… bumi Jepun
Lebih 100 tahun yang lalu, tatkala Jepun
diperintah di bawah kepimpinan Maharaja Mutsuhito Meiji (1867 - 1912), beliau
pernah menghantar surat kepada ‘khalifah terakhir umat Islam’, Sultan
Othmaniyyah iaitu Sultan Abdul Hamid II (1876 - 1909) di Istanbul. Surat itu
merupakan perutusan dari seorang Maharaja ‘Timur’ kepada seorang Maharaja
‘Timur’ yang lain, menyatakan keinginan Maharaja Mutsuhito untuk mengangkat
persamaan ketimuran itu ke tahap yang lebih tinggi.
Surat Maharaja Meiji
“Kita berdua adalah Maharaja Timur, dan sudah
tentu menjadi tuntutan keperluan sesama kita dan rakyat kita, untuk bersahabat
dan saling berhubung, sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat sesama
mereka, tatkala Barat itu juga melihat kita sebagai ’satu’ iaitu ‘orang Timur’.
Beta melihat orang Barat menghantar misionari mereka ke negara ini untuk
menyebarkan agama mereka kerana kebebasan beragama yang ada di sini…
Beta melihat tuan tidak melakukan perkara yang
sama. Beta mahu tuan menghantar pendakwah-pendakwah ke negeri ini untuk
mengajar dan menyebarkan agama tuan, yang boleh menjadi asas ikatan moral
antara kita!”, titah Maharaja Mutsuhito Meiji di dalam perutusannya kepada
Sultan Abdul Hamid II di ibu kota Ummah, Istanbul''.
REAKSI KHALIFAH
Tatkala tamadun Islam di ambang keruntuhan dek serangan luar dan dalam, ketika itulah suatu negeri baru ditawarkan sebagai tapak menyuburkan Islam… bumi Jepun.
Surat Maharaja Meiji itu sangat menarik
perhatian Sultan Abdul Hamid II. Di Istana Yildiz, sebuah komiti telah ditubuhkan
untuk mengkaji akan hal ini. Komiti itu dibentuk bersama Sheikh al-Islam dan
Menteri Pendidikan, kedua-duanya sangat mengambil berat akan pelawaan luar
biasa ini. Ketika itu, kedua orang penting Istana ini telah berpakat bersama
Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, reformis Muslim terkemuka di zaman itu yang
bermastautin di Istanbul, untuk menyediakan perancangan berkaitan hal ini.
Mereka pergi mengadap Sultan dan diskusi bermula.
“Kami mencadangkan agar sebuah rombongan
deligasi dibentuk dari kalangan ilmuan Madrasah Istanbul untuk dihantar ke
Jepun”, kata Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan.
Sayyid Jamal al-Din al-Afghani hanya
mendiamkan diri. Sultan Abdul Hamid II merenung ke arahnya dan meminta
pandangan al-Afghani.
“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu
telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh
dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya
berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai,
memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas
ini mengikut keadaan semasa”, tegas Sayyid Jamal al-Din al-Afghani.
Sultan terdiam.
“Buat masa ini, cukuplah dihantar surat
perutusan bersama hadiah-hadiah yang sesuai untuk memaklumkan kepada Maharaja
Meiji bahawa jemputannya sudah diterima dan diberikan perhatian yang serius.
Nyatakan yang tuanku akan menunaikan jemputan itu dengan sebaik mungkin”,
simpul Sayyid Jamal al-Din al-Afghani kepada Sultan Abdul Hamid II.
Cadangan itu diterima.
Perutusan dihantar, namun agenda pendidikan
khas untuk pendakwah Islam ke Jepun itu tidak terlaksana. Jemputan itu ditelan
masa dan hilang dari ingatan…
Sultan Abdul Hamid II menggerakkan Agenda Pan
Islamisma beliau dengan begitu agresif. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani yang
sering berkonflik bersama beliau, adalah ideologue yang tidak boleh
dikesampingkan. Pan Islamisma adalah ibarat Islam sebagai ideologi politik,
bertujuan membina ikatan emosi dan rasa antara umat Islam seantero dunia, agar
bersatu padu mendepani imperialisma Barat yang semakin dominan.
Perutusan Pan Islamisma dihantar ke seluruh
dunia.
607 anak kapal bersama 57 pegawai telah
memulakan pelayaran jauh menuju Jepun pada 14 Julai 1889, bersama Kapten Ali
Bey sebagai ketuanya. Perjalanan membelah lautan itu sungguh dramatik.
Persinggahannya ke India, dan Semenanjung Tanah Melayu sarat dengan pelbagai
catatan yang berharga. Masakan tidak, kapal utusan khalifah bangsa Islam itu
belayar dengan misi besar, mengajak kaum Muslimin bersatu dari Istanbul ke hujung
terbitnya mentari harapan.
Selepas 11 bulan belayar, Ertugrul tiba di
Yokohama pada 7 Jun 1890.
Rombongan yang dipimpin oleh Kapten Ali Bey
itu disambut meriah oleh Maharaja Meiji dan penduduk Jepun. Mereka saling
bertukar hadiah dan meriam ditembak ke udara sebagai mengalu-alukan ketibaan
rombongan yang dinanti-nanti ini. Masyarakat Jepun keluar beramai-ramai
berpesta dan berebut-rebut melihat bendera dan kapal Othmaniyyah.
Selama beberapa hari, pelbagai majlis
diadakan. Ketibaan kaum Muslimin Othmaniyyah itu amat dialu-alukan.
TRAGEDI
“Tangguhkan sebentar. Ini musim taufan!”,
pesan watan kepada tetamu.
Namun Ertugrul tidak bertangguh. 15 September
1890, Ertugrul berlayar meninggalkan Yokohama.
Hari pertama cerah menyinar. Kapal itu ceria dengan
1001 berita yang ingin disampaikan kepada Sultan di Istanbul. Namun
segala-galanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila taufan 16 September datang
seperti yang dipesan. Ertugrul terperangkap di dalam bencana.
Sehingga lewat malam, kapal dan kira-kira 600
anak buahnya dalam keadaan genting. Pelbagai kerosakan berlaku dan tatkala
pekat malam mengundang pagi, Ertugrul terhempas berkecai merempuh terumbu di
Pulau Oshima, tidak jauh dari pantai Wakayama yang berbatu.
Dalam jerit pekik warga utusan khalifah,
Ertugrul tenggelam ditelan ombak. Lebih 500 anak kapal terbunuh. Maharaja Meiji
menyambut berita itu dengan kesedihan.
Tugu peringatan Tragedi Kapal Ertugrul di Pulau Oshima hari
ini
Terasa basah air mata mengenangkan kemalangan
itu. Ia bukan sekadar kemalangan yang menenggelamkan kapal utusan Khalifah, ia
juga menenggelamkan harapan ramai umat Islam di Kepulauan Melayu yang turut
sama mengirimkan mesej ke kapal Ertugrul agar Khalifah mengusahakan bantuan
membebaskan tanah air kita dari penjajahan Britain dan Belanda....
Bukan itu sahaja, ia turut sama menjadi siri
bencana yang akhirnya menyaksikan tenggelamnya legasi Ummah apabila Sultan
Abdul Hamid II sendiri digulingkan oleh Parti Ittihad ve Terakki pada 1909 dan
Khilafah Othmaniyyah dengan rasminya dikebumikan pada tahun 1924… tiada lagi
Islam dan Ummah sebagai satu. Turki menjadi Turki, Jepun sebagai Jepun, Tanah
Melayu bergelar Malaysia, dan semangat persaudaraan Islam hilang ditelan masa.
Maharaja Meiji telah menjemput Islam dan
Muslim… seakan semangat penduduk Madinah yang membuka ruang baru selepas
kesempitan Mekah yang menekan dakwah.
Ada yang mengatakan masyarakat jepun itu
umpama orang islam tanpa muslim, masyarakatnya terdidik dengan nilai-nilai yang
amat dekat dengan islam, sayang mereka tidak mengucap dua kalimah
syahadah...mereka sedang mencari makna hidup, tetapi siapa yang akan membimbing
mereka, mungkin kita boleh katakan Jepun kini adalah Yathrib bagi akhir zaman
ini..
(Artikel ini diambil daripada laman web Ust
hasrizal Abd Jamil)
Modernist Islam, 1840 - 1940: A Sourcebook
oleh Charles Kurzman mencatatkan satu peristiwa penting islam dan jepun.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.