Total Pageviews

Wednesday, 13 December 2017

Mereka mau anda lalai dengan Quran


Mereka mau anda lalai dengan Quran

Kecelaruan Masyarakat Islam Turki & Malaysia





Kemelut pemodenan Turki dengan mengamalkan budaya hidup Eropah dan meninggalkan budaya tradisi Turki-Islam mencapai kemuncaknya ketika pemerintahan Mustafa Kamal Atarturk. Turki mengisytiharkan menjadi menganut fahaman sekularisme pada tahun 1923.

Budaya Islam dirancang untuk dihapuskan hingga ke akar umbi masyarakat Turki. Pengisian rohani dilarang manakala pengisian hedonisme fizikal dan pemisahan agama dengan budaya masyarakat dikuatkuasakan.

Pengajian agama diharamkan. Abjad Arab ditukar dengan abjad Latin. Penertbitan buku agama dilarang dan perlaksanaan faraid dan pusaka dibatalkan.

Perkahwinan dilakukan secara budaya Barat.

Larangan berjamaah di masjid dikuatkuasakan. Wanita dilarang bertudung. Azan dengan kalimah Arab diharamkan dan diganti dengan azan berbahasa Turki. Mereka mencipta azan baru dalam versi Turki.

Minuman arak dilakukan secara terbuka. Budaya ini masih kekal hingga kini.

Sistem pemerintahan sekular yang memisahkan agama dan politik menjadi dasar nagara. Perundangan Barat menggantikan  hukum syariah Islam.

Penerbitan buku agama dilarang sama sekali.

Pakaian tradisi diganti dengan pakaian Eropah sepenuhnya. Kalimah sunatullah atau hukum Allah yang mentadbir alam semesta diganti dengan hukum tabii atau law of nature.


Eropah dan Barat menyambut usaha menghapuskan sistem nilai Islam dalam masyarakat   sebagai agenda bersama untuk kemodenan Turki. Nama Mustafa Kamal Ataturk dijaja ke seluruh tanah jajahan sebagai simbol kemodenan yang perlu diikuti oleh seluruh dunia Islam. 


Pemimpin Islam di tanah jajahan diajak bersama untuk menjadikan Turki sebagai negara contoh kemodenan. Negara Arab mula menyeru gerakan nasionalisme masing-masing manakala ketika itu Inggeris dan Perancis memainkan peranan masing-masing untuk menjauhkan umat Islam daripada al-Qur’an. 


Gladstone, Perdana Menteri British dalam parlimen British tahun 1882, dengan memegang al-Qurta’n di tangannya pernah  menyatakan bahawa selagi al-Qur’an berada dalam genggaman umat Islam di Mesir maka mereka tidak dapat dikalahkan. British menggunakan ulama yang berpihak kepada mereka di Mesir untuk menukar pandangan masyarakat Islam ke arah sekularisme. 


Sebahagian ilmuwan yang berkerja rapat dengan British membawa pemikiran pembaharuan yang melihat golobngan tradisi sebagai jumud. Mereka gelarkan gerakan ini sebagai gerakan permodenan dan pembaharuan.


Pada permukaannya gerakan ini bertujuan untuk membina kekuatan umat Islam tetapi dalam sudut yang lain pula mereka terlalu rapat dengan penjajah dan gerakan penjajah. Gerakan ini menjalar ke penjajahan British termasuk Tanah Melayu.


Amat sukar bagi umat Islam yang ditekan penjajah untuk melihat kebenaran atau kepalsuan perjuangan tersebut kerana kewujuan ulama besar berada bersama-sama dengan gerakan tersebut. Walaupun golongan pembaharuan membawa kalimah yang benar, tetapi British bijak menggunakan mereka untuk menolak ulama tradisi, lalu perpecahan berlaku dalam masyarakat Islam. 


Di Tanah Melayu, sebelum itu seruan kesatuan Islam yang diseru oleh Sultan Abdul Hamid untuk menyatukan seluruh negara Islam di bawah satu payung pentadbiran, disambut hangat oleh aliran Syeikh Ahmad al-Fatani.


Selepas Sultan Abdul Hamid digulingkan dan kumpulan Ataturk mengambil alih pemerintahan Turki, ada majalah di Alam melayu yang tidak menyedari perkara ini lalu menyokong gagasan Ataturk yang memperjuangkan sekularisme. Kekalutan pemikiran umat Melayu sukar dirungkaikan ketika itu sebab British memberi sokongan padu terhadap sekularisme Ataturk dan itulah hasrat mereka untuk memperkenalkan fahaman yang di Alam Melayu. 


Pada mulanya ramai yang berharap penggulingan Sultan Abdul Hamid yang terkenal dengan gagasan kesatuan Islamnya, memberi harapan kepada pembanguan umat Islam di bawah pimpinan Ataturk. Namun harapan mereka hanyalah ilusi semata-mata, kerana kumpulan Ataturk menentang Islam secara jelas dengan berselindung di sebalik slogan permodenan Turki.


Syeikh Rasyid Rida, tokoh islah yang terkenal pun mungkin terkeliru dengan perkembangan ini. Pada mulanya beliau menyokong gagasan kesatuan Islam Uthmaniyyah dan menulis dalam majalah al-Manarsebagai sokongannya kepada Sultan Abdul Hamid. Tidak lama kemudian, dengan nasihat mentornya Muhammad Abdul, beliau mula menyokong pembaharuan yang menentang Sultan.


Apabila Ataturk bertindak melampaui batas terhadap umat Islam Turki, beliau mengkritik pula regim Ataturk. Zahirnya, Syeikh Rashid Rida mempunyai pandangnnya tersendiri dalam persoalan umat Islam yang sukar ditanggapi oleh pengkritiknya. Kemelut identiti dan jati diri inilah mengalir ke Tanah Melayu. 


Masyarakat Melayu semakin keliru ketika itu kerana gagasan sekularisme Mustafa Kamal Ataturk dicanangkan pula oleh British sebagai model pembaharuan yang perlu ditiru oleh masyarakat jajahan yang lain.


Golongan wanita yang memperjuangkan kebebasan wanita untuk mendapat hak yang sama seperti lelaki turut digambarkan sebagai wanita maju.


Wanita Barat berusaha keras kebebasan menggugurkan bayi, kerana mengikut mereka bayi adalah sebahagian jasad mereka.


Wanita perlu mendapat hak pendidikan, pemilikan harta, memilih pemimpin dan sebagainya. Ini kerana mereka terpengaruh dengan dakwaan wanita Barat yang memang benar dinafikan hak tersebut.


Namun Islam telah memberikan hak kepada setiap lelaki dan wanita termasuk hak menuntut ilmu.




Ada golongan muda yang menyangka seruan Ataturk sebagai sebahagian daripada seruan pemurniaan agama, lalu disokong oleh sebahagian ilmuwan tempatan.


Ilmuwan tersebut menyedari kesilapan mereka setelah berlalu masa yang lama, apabila akhirnya diketahui bahawa Ataturk sebagai musuh agama Allah SWT yang sentiasa berusaha keras untuk memadamkan syiar Islam buat selama-lamanya di Turki.


Filem Melayu terbitan 1964 yang bertajuk Tiga Abdul mempunyai latar belakang sebuah keluarga bangsawan di Kota Istanbul (yang disebut Isketambola).


Filem berbentuk satira ini mengambarkan suasana Turki era pembaharuan menjelang kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah.


Hartawan tersebut Ismet Ulam Raja mempunyai tiga orang anak iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub. Watak utama filem ini ialah P.Ramlee, Haji Mahadi dan S.Kadarisman. Filem cereka ini disunting sebagai drama yang berbentuk satira bangsawan yang sinis sebagai iktibar yang penuh sistem nilai Turki dalam budaya Islam yang kian terpinggir. 


Gaya hidup Barat mula menjelma dalam msyarakat Turki era kemodenan. Pakaian kemeja berkot dan tali leher menjadi budaya dalam masyarakat tersebut.


Sistem faraid mula diabaikan apabila pembahagian pusaka tidak didasarkan kepada sistem syariah tersebut.


Kedua-dua abang yang tua menindas saudaranya yang bongsu.


Persaudaraan bukan lagi menjadi timbangtara apabila berdepan dengan harta dan ketamakan.


Keindahan syariat Islam dalam pembahagian pusaka tidak dapat dipertahankan dalam era kemodenan yang akhirnya membawa gaduh pertelingkahan dalam kalangan para pewaris harta si mati. 


Sistem penghambaan digambarkan masih wujud dalam masyarakat. Majlis tarian dan keramaian yang bercanggah dengan syariah Islam dipaparkan dalam filem untuk menggambarkan bahawa sistem sekular Barat mula menjelma dalam masyarakat Turki.


Muzik rancak irama Barat menjelma dalam masyarakat.


Mesej filem untuk menyatakan seseorang yang ikhlas dalam kehidupan akan mengalahkan yang tamak dan zalim, akhirnya. Nilai keadilan yang dibawa sepanjang era pemerintahan sultan Turki telah pupus dan masyarakat mula menjadikan keduniaan sebagai matlamat hidup mereka, walaupun terpaksa melakukan kezaliman kepada adik kandung sendiri.


Watak-watak Sadiq Sigaraga dan Kasim Patalon sebagai watak yang membawa akhlak yang buruk dibandingkan dengan peguam yang bernama Akhlakin, yang masih mengamalkan nilai yang mulia dengan mengembalikan kembali harta Ismet Ulam Raja kepada Abdul Wahub.


Seruan Mustafa Kamal Ataturk agar masyarakat Turki meninggalkan budaya hidup Islam dan mengamalkan budaya Barat mula menjadi nilai baru Turki.


Pergaulan bebas lelaki perempuan yang dilarang Islam, menjadi amalan moden Turki. Ataturk sendiri menunjukkan tradisi ini apabila menari mengikut tarian Barat dikhalayak ramai. Tarbus diharamkan dan diganti dengan topi Eropah.


Cara hidup yang bertemakan hedonisme Barat digalakkan dalam masyarakat. Hiburan, nyanyian yang diiringi muzik rancak menggantikan alunan al-Qur’an dan zikir. Majlis perkahwinan Abdul Wahub dengan pasangannya digambarkan punuh dengan tema kebaratan.  


Tiga Abdul
 menampilkan era peralihan antara Uthmaniyyah Islam dengan Turki sekular dengan peragaan pakaian tarbus tradisi yang dipadankan dengan pakaian bertali leher dan kot. Suasana harijadi Ismet Ulam Raja disuaikan antara tiupan lilin Barat dengan nyanyian yang bertemakan “Allah selamatkan kamu”.


Inilah wajah baru masyarakat Turki ketika itu yang menghadapi krisis identiti dengan menyangka kemajuan teknologi Barat berkait dengan pakaian, sedangkan teknologi Barat dicedok daripada teks sains dan teknologi Islam. 






No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.