MISTERI FLOR DE LA MAR, KHAZANAH EMPAYAR MELAKA YANG TENGGELAM
Dari semua
khazanah yang pernah tenggelam di dunia, terdapat satu lagenda yang kalau
korang nak tahu telah digambarkan sebagai hadiah paling lumayan bagi
pemburu-pemburu harta karun.
Ini adalah
lagenda tentang kapal Flor de la Mar yang karam di lautan dengan harta yang
cukup banyak. Kapal yang dilaporkan sarat dengan harta yang telah dicuri dari
Kesultanan Melayu Melaka, dianggarkan kini telah bernilai berbilion-bilion
ringgit.
Kapal dagang dan
perang paling besar dari Portugis, Flor de la Mar
Korang
tahu tak yang Flor de la Mar ni nama Melayu dia adalah “Bunga di
Lautan”. Puitis sungguh.
Flor Do Mar atau Flor De La Mar merupakan
sebuah kapal Portugis seberat 400 tan, ia juga dirujuk sebagai salah satu daripada kapal perang yang
telah dihantar untuk menawan kerajaan Melaka pada tahun 1511. Kalau
korang nak tahu, kapal ini telah dibina di Lisbon pada
tahun 1502 dan pada masa itu Flor De La Mar merupakan kapal yang paling
besar dan cantik dalam angkatan laut Portugis.
Kapal ini
telah memulakan pelayaran yang pertamanya ke India pada tahun 1502 di bawah
perintah Estêvão da Gama dan pada
tahun berikutnya kapal ini telah pulang ke Portugis dengan membawa bekalan
rempah dari India. Flor de la Mar bukan sahaja digunakan untuk perdagangan,
malahan juga untuk berperang pada tahun-tahun berikutnya.
Pada tahun
1507 misalnya, ia telah mengambil bahagian dalam penaklukan Portugis di Ormuz.
Pada
tahun berikutnya, kapal itu telah mengambil bahagian dalam pertempuran Diu di India dan turut
hadir dalam penaklukan Portugis ke atas Goa pada 1510.
Dan
akhirnya pada tahun 1511, Portugis
menetapkan tumpuan mereka pada Kesultanan Melaka,
yang pada ketika itu terkenal sebagai salah satu daripada
bandar-bandar terkaya di dunia. Penaklukan ini
telah diketuai oleh Afonso de Albuquerque, yang merupakan Gabenor Portugis di
India pada ketika itu.
Bila Portugis tak
dapat kaotim dengan Melaka, mereka datang menyerang!
Dalam
tahun 1400-an, Portugis mula cari peluang
perdagangan baru di laut sebab tak
nak bergantung sangat dengan jalan darat pasaran rempah Asia yang time
tu Venice banyak sapu. Jadi
Portugis memilih untuk mencari laluan laut ke China. Penjelajah Vasco de Gama berjaya
belayar mengelilingi hujung selatan Afrika pada tahun 1400-an, dengan bantuan
ahli pelayaran Islam yang mahir dengan Lautan Hindi.
Dengan
penemuan baru kat Eropah ni, Portugis dengan cepat menjadi kuasa tentera
laut di Lautan Hindi dan cuba untuk menguasai pasaran rempah Asia. Selepas
mewujudkan pangkalan di bandar-bandar India seperti Goa dan Calicut sekitar
1510, Portugis memandang ke Timur untuk mengembangkan empayar perniagaan
mereka.
Pada tahun
1511, mereka mengambil keputusan untuk menakluk pelabuhan penting di rantau ini
iaitu Melaka untuk mengawal perdagangan dengan China. Pada mulanya mereka ni cuba nak
buat hubungan mesra dengan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah. Tetapi apabila Sultan diberi amaran oleh orang
Islam Tamil yang telah melihat kekejaman Portugis di
India, Sultan Mahmud pun tidak mahu mengadakan hubungan dagangan
dengan Portugis.
Akibat
malu dan bengang apabila tawaran mereka ditolak oleh Sultan, pada 25 Julai,
1511, komander Portugis, Afonso
de Albuquerque dengan kekuatan 1200 orang dan 17 kapal telah memulakan serangan
ke atas Melaka. Walaupun bersekutu dengan negara jiran di
sekitar Asia Tenggara pada masa itu, Kesultanan Melayu Melaka tidak dapat
bertahan lama dengan teknologi senjata dan serangan bertali arus pihak tentera
lawan, dan pada 24 Ogos
1511 Melaka telah ditawan oleh Portugis.
Kerana kedegilan
Alfonso, kapal ini tenggelam bersama segala harta
Selepas
saja Alfonso de Albuquerque ni menang dan tawan Melaka, beliau telah
menggeledah Kota Melaka dan Istana Sultan untuk mencuri segala kekayaan Melaka
pada ketika itu. Pada masa itu, memang banyaklah harta yang diorang dapat dan
beliau telah membuat keputusan untuk membawa harta-harta rampasan perang
tersebut balik ke Portugal.
Afonso de
Albuquerque telah mencadangkan bahawa kapal Flor de la Mar yang besar tu
digunakan dalam pelayaran pulang ke Portugal untuk mengangkut segala harta yang
dikumpulkan dalam penaklukan Melaka.
Tetapi
Afonso ni lupa agaknya tentang reka bentuk kapal ini membuatkan ia berbahaya
dan tidak layak belayar dengan muatan yang penuh apatah lagi sebenarnya kapal dibina
untuk jangka hayat tiga atau empat tahun sahaja tetapi kapal ini telah digunakan selama 9 tahun iaitu
dari 1502-1511.
Akibat
sikap Afonso yang degil, apabila Flor do Mar keluar dari Melaka untuk belayar
ke arah Goa dan setibanya meraka di Selat Melaka, beliau telah diserang oleh
taufan yang dahsyat dengan ombak bergelora. Ternyata kapal itu tidak bertahan
lama mengharungi ribut dan telah tenggelam pada malam 20
November 1511, berdekatan Sumatra, di Selat
Melaka.
Albuquerque
dan anak perempuanya telah berjaya menyelamatkn diri. Namun, kapal tersebut
telah rosak dan tenggelam sepenuhnya dengan kekayaan
muatannya. Menurut Utusan
Malaysia, terdapat pelbagai jenis barangan
berharga di dalam kapal tersebut seperti 22 peti wang emas, perak,
mutiara, berlian dan batu permata serta dua patung monyet emas bertatahkan
batu permata yang diberikan kerajaan Thai kepada Kesultanan Melaka.
Cuba
korang bayangkan, 2000 keping barang-barang berharga telah
diambil dari Istana Sultan Melaka, ianya mengambil masa selama tiga hari untuk
mengangkut barang-barang tersebut ke dalam kapal Frol de la Mar dan dua
kapal lain turut digunakan untuk memuatkan semua kargo. Antara artifak yang
direkodkan adalah hadiah dari Raja Siam (Thailand) kepada Raja Portugal, tetapi
kebanyakan kargo itu dari Melaka yang merupakan pelabuhan laut terkaya di Asia
pada ketika itu.
Selain
daripada perbendaharaan Melaka, Flor de la Mar dikatakan telah mengangkut
penghormatan yang mengagumkan daripada Raja Siam untuk diberikan kepada Raja
Portugis, serta semua kekayaan peribadi Albuquerque.
Satu dunia cuba cari
kapal ni tapi tak jumpa-jumpa
Beberapa
percubaan untuk mencari bangkai kapal ini yang dikatakan sebagai salah satu
kargo yang paling kaya di dunia telah menemui kegagalan sehingga ke hari ini.
Pada tahun
1989 dan 1990 satu kumpulan pencari harta karun dari Australia dan Amerika
dengan kerjasama seorang ahli perniagaan Indonesia telah menubuhkan satu
syarikat “South East Asia Salvage (SEAS)”
dengan
tujuan untuk mencari bangkai kapal Flor de la Mar. Namun begitu pencarian
mereka telah menemui kegagalan dan pada tahun 1992 SEAS telah dibubarkan
sepenuhnya.
Pada tahun
1992 pula, Bob Marx dari Amerika yang
merupakan seorang ahli Arkeologi dan pencari harta karun terkemuka telah
menggemparkan dunia apabila mengatakan bahawa serpihan kapal tersebut telah
berjaya ditemui setelah 3 hari melakukan pencarian di sekitar Selat Melaka.
Namun begitu penemuan itu tidak dapat dibuktikan oleh beliau dan akhirnya ianya
senyap begitu sahaja.
Bukan
setakat Mat Salleh je yang beria nak cari kapal ni. Presiden Indonesia,
Soeharto juga pernah membelanjakan AS $20 juta dalam usaha mencari harta karun yang
dikatakan telah tenggelam di perairan Indonesia tetapi rezeki tidak
menyebelahinya.
Usaha
mengapungkan kapal Portugis, Flor De La Mar yang dipercayai tenggelam di
perairan Aceh, Indonesia masih lagi di teruskan dan kali ini oleh Malaysia
apabila Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan
Penyelidikan Flor de la Mar, Tan
Sri Rahim Tamby Chik pada tahun 2014 telah mengusulkan cadangan kerjasama
antara Malaysia, Indonesia dan juga Portugal untuk melaksanakan projek tersebut
namun ianya masih tiada khabar berita.
Kalau
korang nak tahu, Portugal, Malaysia dan negara-negara lain yang hartanya
telah dicuri kira-kira 500 tahun yang lalu pernah membuat tuntutan di Mahkamah Antarabangsa The Hague,
Belanda sebagai kemungkinan seandainya kapal ini di temui. Namun begitu,
pemilikan harta dan kapal tersebut sekiranya ia di jumpai masih belum di
tentukan sehinggalah ke hari ini.
Kesimpulannya, amat sukar untuk mencari harta karun
yang dikatakan hilang ditambah lagi dengan keadaan menyelam pada penglihatan
sifar, dengan bahagian bawah yang berlumpur dan korang bayangkanlah keadaan
kapal ni macam mana bila usianya dah 500 tahun.
Komen:
1. Kurang
benar tulisan yg mengatakan kerajaan Melaka tewas kerana kekurangan senjata
canggih kerana pada waktu itu askar2 yang mempertahankan melaka sudah
menggunakan pelbagai jenis meriam seperti lela dan rentaka, senapang dan lebih
canggih atau setara dengan tentera Portugis.... Melaka tewas kerana
pengkhianatan oleh saudagar2 dari Cina, India serta akibat terlalu percayakan
tentera upahan dari Jawa yg membocorkan pelan pertahanan kota Melaka... kebanyakkan
saudagar ini menyokong Portugis kerana sudah tidak tahan dengan amalan rasuah yang
berleluasa di kalangan penguasa di pelabuhan, rakyat Melaka pula hilang
kepercayaan kepada Sultan Mahmud yang zalim dan suka menghukum rakyat tanpa
usul periksa serta terlalu percayakan Raja Mandeliar dan Si Kitul yang suka
menyebar fitnah kepada orang yang memusuhi mereka.
2. Ada
beberapa fakta yang perlu diubah. Kelengkapan senjata Melaka adalah antara yang
terbaik di dunia pada waktu itu hingga dipuji sendri dalam manuskrip Portugis, Sepanyol,
Belanda & Siam. Jangan mudah percaya keadaan Melaka seperti mana yang ada di
bandar hilir. Kita dah banyak kene main dengan penjajah. cari lagi fakta2 yang
benar lagi ilmiah. Melaka hanya jatuh kerana kepimpinan je sebab faktor dalaman
seperti mana empayar China & Turkey
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.