MAT KILAU Pahlawan Melayu
Oleh Syahril A Kadir
PADA hari Jumaat 26 Disember 1969, negara telah dikejutkan apabila
seorang lelaki tua yang dikenali sebagai Mat Siam, membuat pengakuan terbuka
yang dialah sebenarnya MAT KILAU, anak Pahang yang terkenal dengan kehebatan
dan keberaniannya menentang penjajahan Inggeris pada akhir abad ke-19 dan awal
abad ke-20.
Pada hari tersebut, Mat Kilau telah pergi ke sebuah masjid di
Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah
membaca Al-Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Pengisytiharan ini telah MENGGEMPARKAN orang ramai sehingga
Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa
itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi
membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau.
Setelah DISAHKAN, maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos
1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, YAB
Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Namun empat hari selepas pengumuman
pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana
keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.
SIAPA MAT KILAU NI?
Generasi muda sekarang mungkin hanya pernah membaca kisah-kisahnya
dalam buku teks sejarah. Dan aku tak terkejut kalau ada yang confused antara
Mat Kilau dan raja gelek Datuk M Daud Kilau!
Kisah perjuangannya memerangi penjajah Inggeris pada akhir abad
ke-19 dan awal abad ke-20 adalah tiada tolok bandingannya dalam menegakkan
maruah bangsa daripada terus diperkotak-katikkan.
Mat Kilau bersama ayahnya Tok Gajah dan tokoh-tokoh pejuang lain
termasuk Datuk Bahaman, Pawang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, Mat Lela dan
Haji Mat Nor tidak pernah mengenal penat-lelah menentang penjajah dengan kudrat
empat tulang mereka.
Mat Kilau dan Tok Gajah pernah menggali parit yang dalam setinggi
pokok kelapa dan sepanjang 300 meter bagi menghadapi serangan 2,000 tentera
Inggeris dengan bantuan askar upahan Sikh dan Gurkha pada 1892. Setelah gagal
menawan kampung berkenaan, pihak Inggeris
bertindak kejam membakar seluruh kampung berkenaan dalam bulan Ramadan yang
menyebabkan kira-kira 300 penduduk maut.
Ada juga diceritakan amalan pahlawan itu berasaskan ayat-ayat
al-Quran sehingga beliau dikatakan ditetak tidak lut, ditembak tidak tembus dan
boleh ghaib. Terdapat juga kisah Mat Kilau berjaya mengalahkan harimau dengan
mengguna tangan sahaja ketika diserang haiwan berkenaan ketika berjalan kaki ke
Stesen Kereta Api Bukit Ibam, Pahang.
Selain menjadi buruan Inggeris, Mat Kilau dan pahlawan Melayu lain
turut diburu oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn Ke-V yang bersekongkol dengan
penjajah itu.
Sultan Kelantan turut diugut oleh Raja Siam supaya menangkap Mat
Kilau yang ketika itu bersembunyi di Hulu Kelantan jika tidak mahu sesuatu yang
buruk menimpa negeri itu.
Dengan kebijaksanaan Sultan Kelantan ketika itu iaitu Sultan
Mansur, Mat Kilau telah diisytihar mati ketika ditangkap pada 1895 dan keranda
yang diletakkan BATANG PISANG kemudiannya ditanam di Bunut Payong di negeri
itu.
Sebenarnya Mat Kilau tidak mati sebaliknya berpindah-randah di
merata tempat bagi mengelak dikesan termasuk Kampung Jambu, Patani; Kuala
Berang, Terengganu dan akhirnya di Batu Lima.
Nota: Dua tahun lepas sewaktu terlibat dalam kerja-kerja sukarela
membersihkan kawasan banjir di Jerantut, Pahang, aku kebetulan lalu di Kampung
Kedondong, Pulau Tawar, tempat di mana jenazahnya dikebumikan. Semoga Allah
mencucuri rahmat ke atas roh perjuangan anak bangsa yang semakin dilupakan ini.
Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.