Kehebatan MELAYU yang sengaja DIGELAPKAN
Anda tentu dah biasa melihat menara jam di bangunan
Stadhuys ini. Menara Jam Tan Beng Swee dibina pada tahun 1886 oleh Tan Jiak Kim
yang berasal dari Singapura sebagai kenangan kepada ayahnya yang bernama Tan
Beng Swee. Tidak banyak yang diketahui mengenai Menara Jam selain daripada
mekanisme yang menggerakkan jam berkenaan ditukar kepada jenama SEIKO pada
tahun 1982 yang menimbulkan kemarahan kepada golongan veteran yang menderitai
kekejaman Jepun semasa perang dunia kedua dahulu.
Kita melihat menara jam ini
sebagai sebahagian dari bangunan Stadhuys dan sering terbayangkan bahawa
senibinanya adalah berunsurkan Belanda. Bagi memperlengkapkan lagi dakwaan ini
dibina pula Victoria Fountain bersebelahannya.
Air Pancut Ratu Victoria telah dibina pada
tahun 1904 kononnya sebagai persembahan rakyat Melaka kepada Ratu Victoria
Regina yang memerintah pada 1837 - 1901.
Kita juga perlu mengaitkan dengan sebuah
jambatan berhampiran yang diberi nama Jambatan Tan Kim Seng. Jambatan ini
dikatakan dibina pada tahun 1862 oleh Tan Kim Seng, seorang dermawan Singapura
bagi menggantikan jambatan yang telah rosak. Asalnya jambatan ini adalah sebuah
jambatan kayu namun telah dibina semula daripada batu sebaik sahaja Portugis
berjaya menakluk Melaka pada tahun 1511.
Maka hasilnya sekarang terlihatlah sebuah menara
jam, air pancut serta sebuah jambatan yang dibina semasa pemerintahan penjajah
British di tengah-tengah pusat Bandaraya Melaka bersebelahan dengan bangunan
Stadhuys yang dibina Belanda pada tahun 1645.
Kita sendiri menjadi keliru dengan persembahan
British ini apatah lagi semua bangunan berkenaan di warnakan dengan warna yang
sama! Pernahkah kita terfikir kemungkinannya mereka sengaja merancang
sedemikian bagi mengaburi rakyat tempatan?
Kita lihat sendiri bagaimana Amerika memusnahkan
tamadun di Iraq dengan mencuri artifak bersejarah di muzium Iraq sebaik saja
mereka berjaya menawan Iraq. Kenapa? Apakah mereka sengaja berbuat demikian
bagi memadamkan sejarah kegemilangan Iraq supaya akan lahirnya pula satu
generasi yang terkapai-kapai tanpa menyedari sejarah gemilang mereka sendiri?
Lihat pula bagaimana Jepun menghancurkan Gerbang Gwanghwamun (Namdaemun Gate)
yang terletak di pusat bandar Seoul serta mendirikan sebuah gerbang lain
semata-mata bagi menghilangkan identiti rakyat Korea yang akhirnya lemah dan takut
kepada bayang-bayang sendiri.
Demi memastikan generasi muda Korea sentiasa
optimis dan yakin kepada kemampuan sendiri, kerajaan Korea memutuskan mencari
semula tapak asalnya yang terletak di tengah laluan terpenting dan tersibuk di
Seoul dan membangunkan semula gerbang yang dibina pada tahun 1395. Ajaibnya
semua kerja-kerja pembangunan semula dilakukan cukup teliti sehingga hampir
menyamai senibina asal.
Kita tentu tertanya-tanya kenapa hampir tiada
apa yang boleh kita banggakan di tanahair kita sendiri? (klik
: kota Melayu yang dimusnahkan) Semua tinggalan yang ada adalah milik penjajah.
Apa yang kita ada sebenarnya? Kita tewas kerana penjajah telah memusnahkan
kegemilangan kita. Bangsa kita tercari-cari identiti sendiri malah dibayangi
katakutan lantaran hilang keyakinan diri selepas beratus tahun terjajah.
British dengan rakusnya memusnahkan semua tinggalan yang kita miliki agar lahir
satu generasi yang bodoh yang hanya mengikut acuan yang diciptakan
mereka!
Percayalah bahawa generasi
kita sebenarnya telah ditipu tanpa kita sedar kelicikan mereka! Untuk apa
mereka menipu kita? Apakah suatu masa dahulu kita sememangnya telah membina
sebuah ketamadunan yang agung dan hebat sehingga menggusarkan para musuh Allah
ini apatah lagi mereka jelas mengetahui tentang kibaran panji hitam dari timur
kelak?
Generasi kita disogokkan dengan gambaran bahawa
Melayu adalah ketinggalan zaman dan kolot. Sejarah kegemilangan kita sengaja
dihitamkan oleh penjajah Barat pro Zionis, disokong para pemikir
Orientalis.Mereka amat berkuasa menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia
di samping mengawal kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang
tanah-air kita mengikut kaca-mata dan kepentingan mereka sahaja. Rangkaian
Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil memakai pelbagai
topeng untuk meneruskan penipuan ini kerana memang mahukan umat Islam sentiasa
rasa kerdil dan celaru jatidiri akibat kurang faham hakikat asal-usul kita yang
sebenar.
Sejarah kita direkodkan bermula pada 1403 dengan
kewujudan Kerajaan Melayu Melaka. Hanya baru-baru ini beberapa cendiakawan kita
berjaya membongkar dan mengesahkan Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya bermula
lebih awal iaitu pada tahun 1262. Bagaimana dengan kerajaan-kerajaan Melayu
lainnya yang lebih awal dari Melaka? Mungkinkah telah wujud kerajaan hebat
lainnya dan Melaka hanyalah salah sebuah kerajaan lain di dalam kerajaan yang
lebih hebat atau mungkinkah Melaka mewarisi kehebatan kerajaan Melayu lainnya?
Kesultanan Melayu Melaka dikatakan tewas di
tangan Portugis pada tahun 1511 kerana berperang dengan serba kekurangan.
Apakah istimewanya keris, tombak, panah dan pedang kalau nak dibandingkan
dengan pistol, senapang dan meriam. Kita juga digambarkan sebagai bangsa yang
pemalas dan tinggal di atas pokok. Begitulah bersungguhnya mereka menghilangkan
jatidiri bangsa kita!
Catatan
Portugis sendiri merekodkan rampasan sebanyak 3,000 meriam milik orang Melayu
malah mereka percaya Kota Melaka mempunyai 6,000 pucuk meriam! Dalam Hikayat
Hang Tuah ada mencatatkan perjalanan Hang Tuah ke Rom dan membeli 2,000 pucuk
meriam untuk kegunaan Kesultanan Melayu Melaka. Persoalannya kenapakah Hang
Tuah ke Rom pada masa itu? Cuba kita lihat Hikayat Merong Mahawangsa yang
mencatatkan Phra Ong Mahawangsa yang memeluk Islam pada tahun 1136 dan memakai
gelaran Sultan Mudzafar Shah. Dicatatkan dengan jelas bahawa Phra Ong
Mahawangsa ialah keturunan Iskandar Agung dari Macedonia, Rom. Mungkinkah
wujudnya kaitan ataupun hubungan diplomatik dengan kerajaan Rom pada masa itu
dengan kerajaan di Tanah Melayu?
Kerajaan Islam Andalusia yang menyinari
peradaban manusia tumbang pada 1492. Selepas tumbangnya Empayar Islam barulah
kuasa barat terutamanya Portugis dan Sepanyol bangkit dan memperluaskan
pengaruhnya. Ketamadunan dan kemajuan Islam dipergunakan untuk kepentingan
mereka yang kononnya berdagang. Lahirnya kerajaan Sepanyol yang menyambung
legasi Kekaisaran Romawi Suci (Holy Roman Empire), oleh raja yang berketurunan
Hasburg. Sepanyol berlumba-lumba dengan Portugis mencari jalan ke Timur untuk
memonopoli perdagangan rempah; dan paling utama mahu menghapuskan orang-orang
Islam di Timur. Mereka mencipta kapal-kapal yang boleh belayar jauh dan
mempelajari teknik pelayaran daripada tamadun Andalusia. Alfonso de
Alburqueque, negarawan dan penakluk Katolik Portugis mengatakan:
“Aku akan memancangkan segenap ceruk bumi ini
dengan palang-palang salib. Antara cita-citaku ialah kubur Muhammad akan ku
selongkar, agar dapat ditukar ganti dengan Jerusalem (tempat kelahiran Nabi Isa
alaihis salam)”
Merujuk catatan “Penjajahan Portugis dan
Sepanyol ke atas Asia Tenggara : Satu Pengamatan” nukilan Maruwiah Ahmat yang
mempersoalkan motif sebenar mereka yang utama bukanlah untuk memonopoli
perdagangan, tetapi sangat bersifat keagamaan. Antara hujah yang dikemukakan
ialah, rempah bukanlah bahan kritikal yang semakin berkurangan (seperti minyak
pada zaman sekarang). Ini kerana perdagangan rempah wujud lama di laut
Mediterranean sejak zaman Empayar Rom lagi. Tambahan lagi, ketika abad ke-16,
perdagangan rempah bukanlah suatu masalah.
Abad ke-16 merupakan kemuncak kepada pertarungan
dua blok kuasa besar; iaitu Islam dan Kristian. Barnaby Rogerson yang menulis
The Last Crusaders merakamkan persengketaan lebih seratus tahun antara Daulah
Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Sultan Sulaiman al-Qanuni dan Raja Henry V yang
mengepalai Kekaisaran Romawi Suci Hasburg. Orang Eropah menggelarnya sebagai
‘Magnificient’ ataupun yang ‘Agung.’ Daulah Uthmaniyyah yang memayungi umat
Islam mencapai zaman keemasan keluasan wilayah dan kekuatan tentera yang ampuh.
Kedua-dua pemimpin merupakan figur karismatik agama masing-masing yang menjadi
juara di kalangan rakyat mereka.
Meskipun demikian, Daulah Uthmaniyyah pada abad
ke-16 bertempur sengit di Eropah Timur dan laut Mediterranean. Beberapa kali
pihak Portugis cuba mengepung kota Haramain (Mekah dan Madinah), akan tetapi
berjaya dikekang oleh Daulah Uthmaniyyah. Namun demikian, dalam menghadapi
serangan bertubi-tubi dari segenap penjuru, Daulah Uthmaniyyah tidak mampu
untuk menyelamatkan wilayah-wilayah (imrah-imrah kerajaan Islam) di Timur,
terutamanya Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Portugis kemudiannya menawan
Goa dan Calicut seterusnya Melaka serta kerajaan-kerajaan Islam Melayu yang
lain seperti Demak, Cebu dan Makasar. Di utara pula, kerajaan Islam Melayu
Brunei mula digempur oleh Sepanyol dan merampas Manila.
Dikhabarkan, Melaka memohon bantuan kepada
baginda Sultan dan ekspedisi armada Daulah Uthmaniyyah dihantar untuk membantu
Melaka. Akan tetapi, setelah mengetahui Melaka telah jatuh pada 1511, armada
tersebut berpatah balik. Acheh setelah kejatuhan Melaka juga menghantar utusan
meminta bantuan kepada Daulah Uthmaniyyah dan berkekalan sehinggalah abad
ke-19.
Berbalik kepada Sepanyol, kerajaan tersebut
telah mencapai keagungannya cuba mengejar perkembangan Portugis yang telah
mendahului mereka. Di Nusantara, kerana telah lambat tiba berbanding Portugis,
Sepanyol telah tiba di Filipina dan Brunei melalui jalan Lautan Pasifik.
Rombongan pertama tiba di Filipina oleh Ferdinand Magellan. Rombongan yang
dipimpin beliau didakwa yang pertama telah mengelilingi dunia. Menariknya juga
seorang Melayu yang ditawan dari Melaka dan menjadi orang suruhan turut bersama
Magellan.
Setelah Magellan terbunuh dalam satu konflik
dengan orang tempatan di Kepulauan Cebu, pemuda Melayu tersebut telah melarikan
diri sehingga ke Brunei dan terjumpa dengan Panglima Hitam, seorang panglima
yang digelar lanun oleh Portugis yang berjaya mengkucar-kacirkan perdagangan
Portugis di sebelah timur. Panglima Hitam kemudiannya membawa pemuda Melayu
berkenaan pulang ke Melaka dan sekaligus melengkapkan pelayarannya mengelilingi
dunia. Pemuda itulah yang di kenali sebagai Panglima Awang ataupun dikenali dengan
nama Henry The Black.
Ketika Sepanyol tiba di Manila, Filipina,
Kerajaan Melayu Brunei merupakan kuasa besar di Borneo dan Filipina. Setelah
beberapa pertembungan antara Sepanyol dan Brunei, maka Sepanyol telah menawan
ibu kota Brunei. Kejatuhan Brunei hanya bertahan selama 72 hari. Sultan dan
rakyat Brunei kembali dengan semangat jihad yang tinggi, sekaligus mengusir
keberadaan Sepanyol dalam Perang Kastila (1588).
Terlihat jelas kepada kita kegemilangan
kerajaan-kerajaan Melayu di Asia Tenggara adalah sezaman dengan keagungan
kerajaan Islam. Kita sebenarnya telah terlibat dalam perang Salib ketika itu.
Bagaimana mereka menggelapkan tamadun Islam serta mengakui mencipta pelbagai
pengetahuan untuk umat manusia sedangkan mereka sebenarnya mencedok dari
kebijaksanaan cendiakawan Islam.
Dikhabarkan juga Portugis menjumpai benda ajaib
dalam Istana Melaka, apabila dipandang objek tersebut maka muncullah muka
manusia di dalamnya. Sekiranya benar dakwaan ini maka jelaslah orang Melayu
telah lama menggunakan cermin berbanding Portugis yang serba kekurangan!
Melaka dikenali sebagai 'Venice di Timur' oleh
Tom Pires. Malah terdapat 83 bahasa dipertuturkan ketika itu. Masih kelirukah
anda dengan kehebatan Melaka? Kita sebenarnya mempunyai empayar yang agung. Kita
menguasai ilmu pelayaran dengan baik malah Portugis sendiri mengakui
kapal-kapal Melayu adalah kuat, teguh serta belayar dengan laju! Kita mempunyai
hubungan diplomatik dengan lain-lain kerajaan hebat ketika itu dan sering
menghantar utusan dan sebagainya.
Bagaimana kita boleh tewas?
Tidakkah empayar Melayu Melaka itu luas dan tidak mungkin dengan mudahnya
Portugis mampu merapati Kota Melaka dengan mudah. Kita tewas samalah jua dengan
kejatuhan tamadun Islam lainnya. Perpecahan adalah punca utamanya. Siapa yang
memecahkan kita? Mereka sebenarnya memasuki secara sulit akal dan fikiran kita
sehingga kita lalai yang akhirnya memusnahkan keseluruhannya. Tamak, rasuah,
dengki, iri hati dan lain-lainnya adalah rencah bagi menjatuhkan kita.
Lukisan ini membuktikan betapa kita sebenarnya
mempunyai kota yang hebat dan bertepatan dengan gelaran 'Venice di Timur' yang
mereka berikan kepada Melaka. Cuba bandingkan Venice ketika itu dengan Melaka.
Sebagai sebuah kerajaan yang kuat serta mempunyai pusat perdagangan yang ulung
di timur adalah munasabah untuk kita mempunyai sebuah kota yang kukuh. Cuba
perhatikan bangunan bertingkat di sebelah kiri? Adakah bertepatan dengan
gambaran yang dinyatakan dalam sejarah Melayu yang menyatakan istana Sultan Melaka
adalah bertingkat. Perhatikan pakaian para pengawal di luar kota. Apakah itu
pakaian panglima kita ketika itu yang memegang sejenis senjata yang pastinya
bukan tombak. Perhatikan juga para pengawal yang mengiringi rombongan.
Perhatikan pula gajah yang digunakan yang sememangnya mempunyai persamaan
seperti yang digambarkan dalam Sulalatus Salatin. Lihat juga gerbang Kota
Melaka apakah mempunyai persamaan dengan Kota A'Famosa ataupun Bastion
Santiago? Apakah gerbang ini yang kemudiannya diubahsuai Belanda adalah yang
kita lihat di Banda Hilir sehingga sekarang?
Lukisan ini juga adalah dari sumber Portugis
yang menggambarkan situasi ketika peperangan yang akhirnya menyebabkan
Kesultanan Melayu Melaka tewas pada 1511. Nampakkah berapa ramai askar Portugis
yang menyerang dan berapa ramai pula panglima Melayu yang bertahan? Adakah ini
adalah situasi terakhir ketika semua pertahanan Melayu telah kalah yang
akhirnya memaksa para hulubalang dan pengawal keluar dan mempertahankan Kota
Melaka dengan Gajah. Atau apakah di atas gajah berkenaan adalah kumpulan Sultan
Melaka sendiri yang turut serta mempertahankan Melaka?
Apakah Portugis menang kerana adanya strategi
unggul yang memaksa Melaka berundur ataupun adakah disebabkan senjata yang
tidak diketahui oleh kita? Dalam gambaran ini jelas menunjukkan angkatan
Portugis yang bersenjatakan senapang manakala Panglima Melayu hanya
bersenjatakan tombak. Inilah propaganda yang mereka gunakan sepertimana gambar
sebelumnya yang menunjukkan pegawai mereka di atas gajah kelihatan lebih
menonjol berbanding orang Melayu yang mengiringinya.
Namun yang paling penting adalah terlihat jelas
gambaran Kota Melaka ketika itu. Terlihat Kota Melaka dengan tembok batu dan
bukannya kayu yang mengelilingi keseluruhan kota! Cuba lihat bangunan di
dalamnya yang kelihatannya seperti binaan batu yang bertingkat! Gaya senibina
rumah tradisional Melayu Melaka ataupun nampak agak moden? Cuba lihat pula
beberapa buah menara tinjau sekitar kota... cuba anda bandingkan gaya
senibinanya dengan Menara Jam Tan Beng Swee yang terdapat sekarang!
Apakah menara jam ini adalah binaan asal yang
sengaja ditinggalkan British semasa merobohkan Kota Melaka sepertimana Gerbang
Selatan Santiago? Sejarah dicatat oleh mereka yang menang, maka dicatatkan pula
jam berkenaan dibina pada tahun 1886 bagi mengelirukan kita? Munshi
Abdullah dalam hikayatnya yang pro British ada menceritakan bagaimana kesukaran
yang dilalui ketika kerja-kerja meruntuhkan tembok Kota Melaka. Cuba baca dan
fahami maksud tersirat, Munshi Abdullah memberitahu bahawa Kota Melaka ini
sangat sukar dirobohkan malah penduduk Melaka ketika itu tidak yakin bahawa
kota Melaka boleh diruntuhkan British. Usaha meruntuhkan dari laut dilakukan
sehinggalah kepada menebuk lubang dan mengisi bahan letupan yang banyak
sehingga tembok sebesar rumah berterbangan hancur dan membawa kematian di
kalangan penduduk.
Munshi Abdullah seolah menggambarkan betapa kota
ini akan roboh dan dalam masa yang sama penduduk Melaka tidak yakin British
berjaya merobohkan Kota Melaka. Mungkinkah mereka sebagai generasi yang
mengetahui asal usul Kota Melaka ketika itu sememangnya mengharapkan agar
British gagal meruntuhkan kota warisan kemegahan mereka itu. Kita juga
dibodohkan lagi, malah menganggap Stamford Raffles sebagai seorang wira yang
berjaya menghalang Kota Melaka dari dirobohkan sepenuhnya. Maka sekarang
tinggallah hanya secebis warisan yang kemudiannya dipalsukan pula sebagai
warisan dari Portugis? Maka akhirnya kita kehilangan keseluruhan identiti
warisan kita.
Perlu diingat bahawa selepas British mengambil
alih Melaka pada tahun 1824, mereka dikawal oleh golongan gereja yang
kemudiannya mendirikan sebuah sekolah, Melaka High School di bangunan Stadhuys.
Begitulah sistem pendidikan kemudiannya dijelmakan beracuankan penjajah sehinggakan
hanya bangsawan dan pembesar sahaja yang kebanyakannya belajar di sana. Kenapa?
Kerana adalah lebih mudah mennggunakan golongan ini yang mempunyai pengaruh
besar dalam masyarakat. Akhirnya sekolah aliran Inggeris yang asalnya adalah
ekslusif akhirnya mengukir nama dan menjadi keperluan dan berjaya mengubah
keseluruhan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Menerusi pendidikan inilah
mereka mengajarkan pembohongan demi pembohongan kepada masyarakat tempatan.
Kesannya? Begitu banyak usaha dilakukan oleh
pelbagai pihak namun usaha menyedarkan keseluruhan masyarakat untuk mengenali
semula warisan bangsanya dan jati dirinya menjadi semakin sia-sia... majoriti
masyarakat dengan mudah menuduh golongan ini pula sebagai pembelit dan
pembohong, yang sentiasa berfantasi dalam dunia realiti yang diciptakan oleh
musuh kita yang sebenarnya!!!
Satu lagi lakaran serangan Portugis ke atas
Melaka pada tahun 1511. Jelas kelihatan Kota Melaka yang tersusun hebat dengan
binaan bangunan yang bertingkat-tingkat. Bangunannya pula mempunyai unsur
senibina China, apakah kaitannya antara Melaka dengan kerajaan China? Apakah
senibina sedemikian adalah ditiru dari senibina China ataupun adakah
kemungkinannya kita yang membawa senibina tersebut ke China? Terdapat juga
binaan berbentuk kubah. Apakah ianya masjid ataupun sebahagian dari Istana
Melaka yang berkubahkan emas?
Akhirnya cuba teliti catatan Portugis yang sukar
mengalahkan Melaka sehinggalah mereka memutuskan kekuatan Melaka adalah kerana
kedudukan strategik jambatan yang merentangi Sungai Melaka. Portugis menyerang
bertubi-tubi jambatan tersebut selama 7 hari sehinggalah jambatan tersebut
musnah sehingga berjaya memudahkan proses menawan Melaka. Jambatan kayu takkan
Portugis hancurkan sampai perlukan 7 hari?
Terlalu banyak pembohongan dan terlalu banyak
kajian yang perlu dilakukan. Biarpun besar mana sekalipun wang ringgit dan
usaha perlu dikorbankan, langkah ini sangat-sangat perlu diambil bagi
mengembalikan semula kegemilangan kita...Insya Allah
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.