Total Pageviews

Wednesday 13 December 2017

Rahsia kehebatan Mat Kilau


Rahsia kehebatan Mat Kilau







BUKU ini menghimpunkan sejumlah tulisan ahli sejarah, sasterawan dan peminat sejarah tanah air mengenai kisah hidup dan kehebatan pahlawan Mat Kilau yang berasal dari Pahang.

Kisah perjuangannya memerangi­ penjajah Inggeris pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 adalah tiada tolok bandingannya dalam menegakkan maruah bangsa daripada terus diperkotak-katikkan.

Mat Kilau bersama ayahnya Tok Gajah dan tokoh-tokoh pejuang lain termasuk Datuk Bahaman, Pawang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, Mat Lela dan Haji Mat Nor tidak pernah mengenal penat-lelah menentang penjajah sejak 1890.

Beliau meninggal dunia setelah 10 hari kerajaan Pahang mengesahkan identitinya pada 16 Ogos 1970 di Batu Lima, Jalan Gambang, Kuantan ketika berusia 122 tahun. Di rumah itu juga Mat Kilau menetap selama 43 tahun sejak 1927 dengan menggunakan nama Mat Siam@ Mat Din Ibrahim bagi mengelak dikesan oleh Inggeris.

Selain menjadi buruan Inggeris, Mat Kilau dan pahlawan Melayu lain turut diburu oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn Ke-V yang bersekongkol dengan penjajah itu.

Sultan Kelantan turut diugut oleh Raja Siam supaya menangkap Mat Kilau yang ketika itu bersembunyi di Hulu Kelantan jika tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa negeri itu.

Dengan kebijaksanaan Sultan Kelantan ketika itu iaitu Sultan Mansur, Mat Kilau telah diisytihar mati ketika ditangkap pada 1895 dan keranda yang diletakkan batang pisang kemudiannya dita­nam di Bunut Payong di negeri itu.

Sebenarnya Mat Kilau tidak mati sebaliknya berpindah-randah di merata tempat bagi mengelak dikesan termasuk Kampung Jambu, Patani; Kuala Berang, Terengganu dan akhirnya di Batu Lima.

Beliau hanya mendedahkan identiti sebenar selepas sembah­yang Jumaat pada 26 Disember 1969 di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.

Buku ini turut menyiarkan se­mula tulisan wartawan Mastika, Sahidan Jaafar pada 2006 yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Mat Kilau mengenai pengalamannya bertemu dengan pahlawan berkenaan sehari selepas beliau mendedahkan identitinya.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Sahidan yang ketika itu berusia enam tahun ialah apabila Mat Kilau memeluknya sambil mengusap-usap kepala dan badannya.

Turut dimuatkan catatan wartawan Utusan Malaysia, Faizah Izzani Zakaria yang meninjau Kampung Budu, Benta, Kuala Lipis pada 2015.

Di kampung itulah Mat Kilau dan Tok Gajah menggali parit yang dalam setinggi pokok kelapa dan sepanjang 300 meter bagi menghadapi serangan 2,000 tentera Inggeris dengan bantuan askar upahan Sikh dan Gurkha pada 1892.

Setelah gagal menawan kampung berkenaan, pihak Inggeris bertindak kejam membakar seluruh kampung berkenaan dalam bulan Ramadan yang menyebabkan kira-kira 300 penduduk maut.

Dalam pada itu, satu keistimewaan buku ini ialah dilampirkan salinan Kitab Mat Kilau dalam tulisan jawi setebal 139 muka surat mengenai amalan pahlawan itu berasaskan ayat-ayat al-Quran sehingga beliau dikatakan ditetak tidak lut, ditembak tidak tembus dan boleh ghaib.

Terdapat juga kisah Mat Kilau berjaya mengalahkan harimau de­ngan mengguna tangan sahaja ketika diserang haiwan berkenaan ketika berjalan kaki ke Stesen Kereta Api Bukit Ibam, Pahang. Kitab itu telah diterbit semula oleh Utusan Melayu (M) Berhad pada 1970.

Kitab itu adalah salinan daripada naskhah asal milik Mat Kilau dan keizinan untuk menerbit kitab itu telah diberikan pahlawan tersebut ketika bekas Pengurus Besar syarikat akhbar itu, Mohd. Idris Ibrahim melawatnya yang sedang sakit.

Iman Besar Masjid Negara pada 1970, Muhammad Salleh Hassan Farid dalam pendahuluan buku itu menjelaskan beliau telah menye­mak kandungan kitab berkenaan yang mengandungi bermacam-macam wirid, jampi, tangkal dan ayat untuk perlindungan diri dan mengubat penyakit.

Beliau berpendapat, jampi dan tangkal yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan 99 nama Allah adalah dibolehkan.

Sementara itu, untuk pengetahuan pembaca, buku ini dicetak dengan kos sendiri oleh Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Talib Samat. Sehubungan itu naskhah berkenaan tidak dijual di kedai-kedai buku.

Sesiapa yang berminat membeli buku berkenaan boleh menghubungi­ beliau di talian 012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com.








No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.