Misteri kejatuhan Melaka 1
Laksamana Hang Nadim, satu nama yang entah
kenapa sangat sunyi di dalam sejarah bangsa kita padahal beliau bukan
calang-calang tokoh. Tiada seorang pun anak Melayu diperkenalkan pada susuk
tubuh yang sangat berjasa dalam sejarah Melayu. Entah kenapa juga buku teks
negara kita begitu segan untuk menceritakan sejarah hebat anak lelaki Hang
Jebat dan juga menantu Hang Tuah ini.
Maka, biarlah The Patriots mengambil
inisiatif ini untuk memperkenalkan kepada anda kisah hidup Laksamana Hang
Nadim. Orang Melayu harus menjadikan Hang Nadim sebagai salah seorang daripada
pendekar yang harus dibanggakan. Cukuplah nama Hang Tuah dan Hang Jebat sahaja
meniti di bibir orang Melayu. Seolah-olah bangsa Melayu ini sengkek sangat
pahlawan dalam sejarah.
Hang Nadim, tak keterlaluan kalau saya
katakan beliau ialah kombinasi kualiti yang dimiliki oleh Hang Tuah dan Hang
Jebat. Dia memiliki kesetian, kelicikan dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh
Hang Tuah serta keberanian yang dimiliki oleh Hang Jebat. Perlu juga diketahui
Hang Nadim yang sedang kita bicarakan adalah berbeza dengan Hang Nadim pada
zaman Singapura Dilanggar Todak.
Sejarah awal Hang Nadim mencatatkan bahawa
ketika Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah, beliau masih berada dalam kandungan
ibunya. Selepas lahirnya Hang Nadim, dia diambil sebagai anak angkat oleh Hang
Tuah lalu dijaga dengan begitu baik oleh Hang Tuah. Ketika usianya menjejak
dewasa, dia telah dikahwin dengan anak perempuan Hang Tuah iaitu Tun Emas Jiwa.
Dari perkahwinan dengan anak gadis Hang Tuah ini, lahirlah Tun Ali.
Sejarah Hang Nadim sebenarnya mencatatkan
bahawa beliau mempunyai usia yang panjang. Disebut dalam sejarah bahawa beliau
berkhidmat di bawah Sultan Mahmud yang mangkat pada tahun 1528, kemudian
diikuti oleh Sultan Alaudin Riayat Shah II pada tahun 1564, lalu erus
berkhidmat dengan Sultan Muzaffar Shah II (1564 -1570), Sultan Abdul Jalil Shah
I (1570 -1571), dan Sultan Ali Jalla (1571-1597). Dikatakan bahawa Laksamana
Hang Nadim sebenarnya telah menyertai lebih daripada 32 BUAH PERTEMPURAN!!!
Sukanya saya untuk menggunakan tiga petikan
daripada buku Seni Peperangan yang ditulis oleh si genius bernama Sun Tzu. Buku
ini menjelaskan secara terperinci setiap startegi dan tips-tips peperangan dan
bagaimana jeneral perang yang hebat adalah memiliki ciri-ciri yang digariskan
oleh beliau. Maka, biarlah empat petikan daripada buku ini membuktikan kepada
anda siapakah Laksamana Hang Nadim itu sendiri:
1. “Kalau anda mengenali diri anda, mengenali
musuh, maka anda tidak perlu risau keputusan setiap pertempuran. Kalau anda
kenal diri anda, tetapi tidak kenal musuh, maka bagi setiap kemenangan, maka
akan disusuli oleh kekalahan. Kalau anda tidak kenal diri anda dan musuh, maka
anda akan kalah dalam setiap pertempuran.” – Sun Tzu
2. “Panglima Perang yang akan menang tahu bagaimana untuk mengendalikan pasukan yang jauh lebih kuat dan lemah.” – Sun Tzu
3. “Panglima Perang yang akan menang tahu pada bilakah dia patut menyerang musuh dan pada bilakah dia patut mengelak pertempuran.” – Sun Tzu
4. “Bila askar musuh dalam keadaan serba
cukup, maka bikinlah mereka kebulur. Ketika mereka sedang kelaparan, pastikan
mereka kekenyangan.” –
Sun Tzu
Sudah hadam setiap pesanan-pesanan Sun Tzu kepada jeneral-jeneral perang yang mahu turun ke medan perang di atas? Sekarang, anda akan bersama saya menyelusuri betapa segala yang digariskan oleh Sun Tzu betul-betul diaplikasikan oleh Hang Nadim dalam pertempurannya.
Baik, mari kita telusuri sejarah-sejarah
kehebatan Laksamana Hang Nadim. Sejarah mencatatkan betapa Laksamana Hang Nadim
ialah seorang yang sangat teliti. Dia berjaya membuat analisis-analisis
kelemahan-kelemahan tentera di bawah pimpinannya, dan di dalam masa yang sama
dia menganalisis kelemahan pasukan musuh iaitu Portugis. Tidak cukup dengan
itu, Laksamana Hang Nadim turun menyenaraikan kekuatan yang dimiliki oleh
kedua-dua pihak. Lantas analisis tajam beliau melahirkan sesuatu seperti di
bawah:
Kekuatan Askar Melaka:
1. Kapal-kapal orang Melayu boleh
dikendalikan di laut dan sungai walaupun ketiadaan angin kerana boleh didayung.
2. Kapal orang Melayu lebih laju dari Galleon
kerana saiznya yang lebih kecil.
3. Kapal orang Melayu mempunyai dasar dan
lantai yang lebih tinggi dari Galleon Portugis menyebabkan ianya tidak
mempunyai masalah mengharungi sungai yang cetek dasarnya.
Kelemahan Askar Melaka:
1. Selepas kejatuhan Melaka, semua
meriam-meriam hebat orang Melayu habis dirampas oleh Portugis, maka yang tinggal
dengan orang Melayu adalah meriam yang teknologinya tidak mampu menembak dengan
jauh dan kuat seperti Portugis.
2. Kapal-kapal yang dimiliki oleh orang
Melayu Melaka pula tidaklah sebesar kapal-kapal Galleon yang dibawa dari India
dan Portugis sendiri.
Kelebihan Askar Portugis:
1. Kapal Galleon yang mereka yang besar tidak
mampu ditembusi dek meriam orang Melayu.
2. Meriam mereka mampu menembak lebih jauh
dari meriam orang Melayu
3. Kota Melaka yang sangat kukuh pertahannya,
dipercayai datang daripada sistem pertahanan Melaka sendiri sebelum ianya jatuh
ke tangan Portugis.
Kelemahan Askar Portugis:
1. Mereka tidak mempunyai sumber makanan
mereka sendiri kerana bumi Melaka tidak berapa sesuai untuk penamaman. Lagipun
yang ditawan oleh mereka sekadar sebuah kota pelabuhan kecil yang lain,
manakala wilayah-wilayah lain di Semenanjung Tanah Melayu masih berdiri kukuh.
Lantas mereka terpaksa membawa makanan dari Burma, Siam dan Jawa.
2. Kapal Galleon yang besar tidak boleh
dikendalikan di tempat yang tiada angin dan tidak sesuai di sungai-sungai
Melayu serta selat Melaka yang sempit.
3. Kapal mereka akan tersangkut andai melalui
kawasan sungai atau laut yang cetek.
Dari senarai di atas, maka kita dapat tahu bahawa Laksamana Hang Nadim mengenali askar-askarnya sendiri serta musuhnya. Maka ciri-ciri pertama yang saya gariskan untuk Laksamana Hang Nadim dari quote Sun Tzu itu. Daripada persoalan yang dibangkitkan dari nombor satu, maka ianya terus sampai ke persoalan. Bagaimana Hang Nadim menggunakan analisis yang dilakukannya sendiri untuk mengendalikan angkatan Portugis?
Dari senarai di atas, maka kita dapat tahu bahawa Laksamana Hang Nadim mengenali askar-askarnya sendiri serta musuhnya. Maka ciri-ciri pertama yang saya gariskan untuk Laksamana Hang Nadim dari quote Sun Tzu itu. Daripada persoalan yang dibangkitkan dari nombor satu, maka ianya terus sampai ke persoalan. Bagaimana Hang Nadim menggunakan analisis yang dilakukannya sendiri untuk mengendalikan angkatan Portugis?
Mari, saya senaraikan di bawah. Bagaimana
kelebihan Hang Nadim. Hang Nadim memakai aplikasi yang digariskan oleh Sun Tzu
di nombor tiga untuk mengendalikan angkatan Portugis.
Menyedari bahawa kapal-kapal yang dipakai
oleh Portugis dilengkapi oleh Meriam yang jauh lebih hebat daripada yang
dimiliki oleh kapal-kapal Melayu, maka Hang Nadim telah mengerakkan perang
gerilla laut pertama dalam sejarah yang pernah dilihat. Setahu saya, sebelum
ini kita tidak pernah melihat perang gerilla di laut melainka di bawah Hang
Nadim.
Kelebihan kapal Melaka ianya adalah lebih
laju daripada kapal yang dimiliki oleh askar Portugis. Menyedari bahawa kapal
Galleon jauh lebih besar dan dilengkapi oleh teknologi canggih, maka Hang Nadim
mengelakkan pertempuran secara berdepan dan besar-besaran.
Lalu disuruhnya kapal-kapal Melaka untuk
mengumpan kapal besar Portugis ke kawasan perairan yang cetek. Apabila
kapal-kapal Portugis tersangkut di situ, maka kapal-kapal orang Melayu akan
menyerbu kapal-kapal Portugis dari serata arah dan merampas kapal mereka.
Laksamana Hang Nadim yang sudah mengkaji dengan mendalam kapal-kapal yang
dimiliki oleh Portugis dan meriam yang dimiliki oleh mereka mengetahui sejauh
mana dan arah mana yang tidak mampu ditembak oleh Portugis. Maka, diarahkan
kapal-kapal Melayu meluru ke arah kapal Portugis pada arah tertentu untuk
mengelakkan serangan meriam Portugis.
Selain itu, Laksamana Hang Nadim tahu betapa
kota Melaka yang ampuh itu tidak mungkin dapat ditawan oleh kekuatan orang
Melayu ketika itu. Jadi, satu-satunya cara untuk memastikan Portugis keluar
dari kota itu atau menyerah adalah dengan melakukan sejenis taktik dalam perang
yang dipanggil sebagai Ration War. Sejenis taktik yang memakan masa yang agak
lama untuk menewaskan musuh. Jadi apa yang dibuat oleh Laksamana Hang Nadim?
Maka Hang Nadim telah menyekat bekalan
makanan yang bakal datang ke Melaka. Armada-armada orang Melayu ditempatkan di
beberapa tempat seperti si Sungai Perlis, Sungai Pahang, yang di mana
kapal-kapal dari Burma, Jawa dan Siam akan datang membawa bekalan makanan. Maka
pedagang-pedagang yang mahu masuk ke Melaka akan ditahan dan diserang oleh
armada-armada kapal orang Melayu.
Maka ketika itu, dicatatkan bahawa Portugis
menghadapi kebuluran yang amat sangat. Kerugian yang amat sangat dialami oleh
orang Portugis di Kota Melaka menyebabkan mereka terpaksa menyerang Pulau
Bentan yang merupakan pusat pemerintahan Kerajaan Johor tempat Laksamana Hang
Nadim berkhidmat.
Sebanyak tiga kali serangan dilakukan oleh
Portugis iaitu pada tahun 1523, 1524 dan 1525. Sekali lagi Laksamana Hang Nadim
menggunakan bentuk muka bumi untuk menewaskan Portugis. Arus sungai Bentan dan
halangan yang dipasang pada dasar sungai tersebut membuatkan kapal-kapal besar
Portugis kalah teruk.
Namun, entah kenapa Sultan Mahmud ketika itu
tiba-tiba menjadi terlebih teruja. Dia tiba-tiba menyeru untuk Laksamana Hang
Nadim menghentikan serangan gerilla yang dibuat dan taktik menyekat makanan ke
dalam Kota Melaka. Hang Nadim cuba membantah namun Sultan Mahmud menjadi
terlebih yakin dengan rentetan demi rentetan pertempuran yang dimenangi oleh
Hang Nadim. Sudah adat orang Melayu, maka Hang Nadim terpaksa akur dengan
perintah sultan.
Maka Hang Nadim dan menantu Sultan Mahmud
ketika itu, menyerang kota Melaka. Namun, Melaka kalah teruk dan lebih daripada
600 daripada 2000 orang askar Melayu syahid. Berpuluh-puluh kapal orang Melayu
ditenggelamkan oleh Portugis. Tidak cukup dengan itu, Portugis yang mendapat
semangat dari pertempuran itu selepas rentetan kekalahan di tangan strategi
peperangan yang digunakan oleh Hang Nadim, terus melakukan serangan di bawah
Pedro Mascarenhas dengan angkatan yang besar 300 buah kapal, dibantu pula
dengan 600 orang pengkhianat dari orang Melayu sendiri dari Pulau Lingga.
Serangan kali ini berjaya dan Portugis
mengambil masa 14 hari untuk menakluk Bentan. Kemudian, kapal-kapal orang
Melayu serta kota Bentan habis dibakar oleh Portugis dan Sultan Mahmud serta
pengikut-pengikutnya iaitu Hang Nadim terpaksa melarikan diri di Kampar. Sultan
Mahmud kemudian mangkat 2 tahun kemudian.
Selepas itu, dicatatakn bahawa Hang Nadim
masih setia memimpin orang Melayu untuk menawan kembali kota Melaka namun
semuanya gagal. Bukanlah kerana Hang Nadim tidak efisyen, tetapi kerana
sultan-sultan yang Hang Nadim berkhidmat tidak sabar-sabar untuk menakluk
kembali Kota Melaka padahal taktikal dan strategi perang yang dipakai oleh Hang
Nadim mengambil masa dan jangka panjang untuk mendatangkan hasil.
Walaupun Hang Nadim gagal untuk membalas dendam atas apa yang berlaku pada Kesultanan Melayu Melaka, namun usaha demi usaha dari Hang Nadim memberi semangat kepada generasi-generasi orang Melayu seterusnya untuk menawan kota Melaka sehinggalah berjaya di bawah pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil yang menjalankan pakatan dengan Belanda.
Pada saya, Hang Nadim sebenarnya boleh
diibaratkan dengan seorang tokoh dari zaman tiga kerajaan, iaitu Zhuge Liang
yang berkhidmat untuk Kerajaan Shu. Kerajaan Shu sangat kekurangan sumber
militari, namun berkat kebijaksanaan Zhuge Liang, Shu mampu bersaing dengan Wei
dan Wu, serta warlord-warlod yang lain yang memerintah wilayah mereka
tersendiri.
Namun, kebijaksanaan Zhuge Liang yang hebat
itu disia-siakan oleh raja dan pemimpin yang lemah. Anak Liu Bei yang mengambil
alih takhta dari ayahnya yang menyebabkan Shu akhirnya dikalahkan oleh musuhnya
iaitu Wei.
Seperti mana Zhuge Liang, perjuangan
Laksamana Hang Nadim dikhianati oleh ketidaksabaran pemimpin yang mahukan
kejayaan dalam masa yang sangat singkat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.